Epilog

2K 21 4
                                    

Rumah agam Fahmi Ilham Fakhri riuh rendah dengan kehadiran tetamu dari kalangan keluarga terdekat dan sahabat handai. Ruang legar dihias indah dengan bungaan hydrangea dan frangipani berwarna putih membuatkan ruang itu kelihatan sungguh anggun dan romantis. 

Terlihat Fahmi sedang duduk bersila di tengah ruang legar itu, berwajah tenang. Kelihatan kacak mengenakan baju melayu cekak musang berwarna krim dan bersongkok. Ada seri di wajah itu. Fahmi menoleh ke arah Liam Arian yang duduk bersila di sebelahnya, tersenyum ke arah anak lelakinya itu yang sudah hampir menginjak ke umur tujuh tahun. Liam  membalas senyuman Papanya itu dengan satu senyuman yang lebar sebelum memeluk tubuh Fahmi. 

"Dah sedia?" terdengar Tuan Fakhri Khalid berbisik ke telinga Fahmi. Fahmi tersenyum dan mengangguk kecil. Tuan Fakhri Khalid turut tersenyum seraya menepuk lembut bahu anaknya itu.

"Papa," terdengar suara Liam memanggil Fahmi, jari Liam menuding ke arah pintu gerbang yang diperbuat dari jambangan bunga. Fahmi menoleh. Terasa bergetar hatinya melihat susuk tubuh yang anggun disarung baju kurung moden mengikut bentuk tubuh berwarna krim menapak perlahan ke arahnya. Sempat Fahmi mengenyitkan matanya nakal, saat melihat Ilee Sahara Azlan Rasheed menjeling ke arahnya. Ilee membuntangkan matanya, sebelum menapak hampir untuk duduk bersimpuh tidak jauh di sebelah Fahmi. 

Fahmi berdehem, membetulkan duduknya. Nafasnya ditarik dalam bagi menenangkan getaran di hati. Tangan jurunikah yang terhulur di hadapannya disambut dan digenggam utuh. 

"Aku nikahkan kau Fahmi Ilham Fakhri dengan Ilee Sahara Azlan Rasheed dengan mas kahwin RM1200 tunai." 

"Aku terima nikahnya Ilee Sahara Azlan Rasheed dengan mas kahwin yang tersebut." 

Fahmi tersenyum puas tatkala lafaz akad disahkan. Fahmi memalingkan tubuhnya agar menghadap Ilee, tangan dihulurkan agar Ilee meletakkan tangannya ke dalam genggaman Fahmi. 

"Selamat pengantin baru lagi, sayang," bisik Fahmi mengusik, seraya menyarungkan cincin perkahwinan Cartier ke jari manis Ilee. Ilee mencubit manja lengan Fahmi, membuatkan Fahmi tertawa kecil. Sempat Fahmi mencuit hidung kecil milik Lily Alanis yang duduk di sebelah Mummynya. 

Tetamu sedang sibuk berbual dan beramah mesra sambil menjamu selera di ruang taman belakang rumah yang turut dihias indah selesai upacara akad nikah. Rumah agam yang dahulu dikongsi bersama Ilee, kembali bersinar ceria lagi setelah Fahmi mengajak Ilee untuk berpindah kembali ke rumah itu. Tidak lama selepas berpindah, Fahmi telah melamar Ilee sekali lagi. Kali ini, majlis tidaklah dibuat sebesar dahulu, namun tetap meriah. 

Fahmi menarik pergelangan tangan Ilee, menuju ke satu sudut ruang rumah yang agak berselindung, agar tidak dapat dilihat oleh para tetamu. Sejak upacara akad nikah tadi, Fahmi belum punya masa untuk berduaan dengan Ilee. 

"Sayang, apa ni..." rungut Ilee manja, tatkala Fahmi menolak tubuhnya lembut ke dinding. Tubuh Fahmi terlalu hampir, seakan menindih tubuhnya. Wajah Fahmi didekatkan ke wajahnya. Ada raut nakal di wajah kacak itu. 

"Saya nak rasmikan isteri saya," bisik Fahmi menggoda ke telinga Ilee. Bibir Fahmi menyentuh lembut cuping telinga Ilee membuatkan bulu roma Ilee meremang. 

"Sayang, sabarlah," pujuk Ilee, tangannya membelai lembut helaian rambut Fahmi yang berombak di tengkuk. 

"Saya tak boleh sabar, sayang," balas Fahmi lagi, dengan bisikan yang menggoda. Terasa lemah lutut Ilee. Jantung Ilee berdetak kencang. 

"Macamlah tak biasa," usik Ilee, cuba untuk mengalih perhatian Fahmi. Takut benar dia diterkam Fahmi di saat itu. 

Fahmi merenung kedua anak mata Ilee dengan tajam, nafasnya dihembuskan, bibirnya digigit. "Hmm, betul juga kata awak. Almaklumlah, ni kali ketiga dah saya kahwin," usik Fahmi, mengenyitkan matanya. 

CIKLET: Bila Aku Masih MilikmuWhere stories live. Discover now