ANAK MATA Muhammad Mirza tajam menikam pakaian yang disuakan kepadanya. Apa jenis pakaian yang Qaira Najwa ada sebenarnya? Sakit matanya memandang. Sejak dari tadi lagi dia perlu memberi cadangan tentang pakaian apa yang harus dipakai oleh gadis itu. Sudahlah dia lelaki, manalah tahu fesyen perempuan. Lainlah dia pondan, mungkin sedikit sebanyak tahulah jugak. Aduh! Parah!
"Pakaian apa ni Qaira? Seksinya!" Muhammad Mirza mencampak kembali pakaian itu ke atas sofa di ruang rehat. Hampir satu jam dia mencuci mata dengan pakaian-pakaian sebegitu. Balik nanti, dia perlu cuci jiwa agaknya. Sempat dia beristighfar.
"Seksi? Mana ada..." Dress berwarna sky blue diambilnya lantas disuakan ke badan. Baginya biasa sahaja. Apa yang seksinya? Peliklah.
"Tak seksi pun. Biasa aje." Qaira Najwa memuncungkan bibir ke hadapan. Laju Muhammad Mirza menggeleng kepala lantas menyilang tangannya di dada. Apalah nak jadi dengan perempuan zaman sekarang.
"Tak seksi? Tak seksi ke kalau bahagian dada tu macam terdedah. Lepas tu, bahagian bahu pulak terdedah. Semua terdedah, macam tak cukup kain," kutuk Muhammad Mirza lantas mengalihkan pandangan ke arah lain. Tidak mahu dia lama-lama melihat pakaian itu nanti otaknya rosak.
"Ya ke?" Qaira Najwa seakan tidak percaya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut kawan baiknya itu. Bukankah lelaki suka wanita seksi?
"Peliklah kau ni. Selalunya kau takde pun marah-marah macam ni." Dress tadi diletakkan semula di atas sofa. Anak matanya merenung lama wajah Muhammad Mirza. Dia inginkan jawapan.
"Mestilah aku marah. Kau sebelum ni takde pulak nak pakai pakaian tak cukup kain macam ni depan aku. Kau tahu tak pakaian macam ni membolehkan lelaki ghairah kalau tengok. Isy... tak faham aku dengan kau kekadang." Muhammad Mirza membetulkan posisi duduknya sambil menunding jari ke arah pakaian tadi. Hantu punya baju!
"Ouh okey! Okey! Releks. Aku takkan pakai baju tu. Don't worry babe. (Jangan risau babe)." Qaira Najwa mengalah juga. Tetapi, betullah apa yang dikatakan oleh Mirza. Sebelum ini tiada pula dia berani memakai pakaian sebegitu di hadapan lelaki itu. Tidak pernah walaupun sekali.
Sebenarnya, dress itu dibeli di United Kingdom hampir setahun yang lepas tetapi tidak pernah dipakainya. Jadi, memandangkan malam ini dia akan keluar dating bersama buah hati kesayangannya, tidak salah jika dia melawa. Cantik sekali sekala. Tidak salahkan?
"Aku bukan apa. Kau macam dah berubah sejak bercinta dengan 'dia' tu." Kata-kata itu memberi tamparan kepada Qaira Najwa. Lama gadis itu mendiamkan diri. Dia hanya mendengar. 'Dia' yang dimaksudkan oleh Mirza sudah tentu Haziq.
"Kau tahu kan yang mata lelaki ni tajam. Sampai boleh tembus pakaian kalau boleh. Aku bukan apa, risaulah jugak apabila kau keluar dengan dia. Bercinta dengan dia pun aku risau jugak. Kita tak kenal pun dia jenis lelaki macam mana." Tambah Muhammad Mirza lagi.
Qaira Najwa mengukir senyuman walaupun hatinya sebenarnya sudah merasa lain. Tetapi dia cuba hindari perasaan itu. Punggungnya dilabuhkan duduk berhadapan dengan kawan baiknya itu. Anak matanya memandang lama wajah kacak milik Muhammad Mirza.
"Okey. Aku tahu kau risaukan aku. Tapi, tak bermakna dia jahat, kan? Kau sendiri dah jumpa dia depan mata kau. Kau sendiri dah kenal dia. Janganlah terlalu risau. Insyaallah, takde apa-apa pun berlaku kepada aku." Senyuman mulai terukir pada bibirnya. Muhammad Mirza melepaskan keluhan berat. Bagaimana cara dia mahu menceritakan perihal itu kepada Qaira Najwa?
♔ ♔ ♔
JAM tepat menunjukkan pukul 9 malam. Usai menunaikan solat isyak sebentar tadi, terus Muhammad Mirza berbaring di atas katil. Matanya dipejamkan. Lama. Penatnya mulai terasa. Kejadian kelmarin masih lagi tidak dapat dilupakan olehnya. Entah kenapa firasatnya benar-benar mengatakan yang Haziq itu jahat orangnya bukannya baik. Dia juga bukannya ingin berlagak baik tetapi itulah hakikatnya.
Jika Farhan tidak memberitahu dia mengenai perihal itu sudah tentu dia tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah pepatah berbunyi. Nak sorokkan macam mana sekalipun, tetap akan diketahui juga lambat-laun. Gerimis hujan mulai membasahi perut bumi.
Lama-kelamaan, Muhammad Mirza terlena dibuai mimpi. Dia kepenatan dan perlukan rehat. Cukup penat untuk dia fikirkan soal hubungan toxic di antara Haziq dan Qaira.
♔ ♔ ♔
QAIRA NAJWA mendongak kepala memandang ke dada langit. Langit yang tadi sedikit cerah yang dihiasi cahaya bulan kini gelap. Awan mulai mendung dan berasak-asak seperti mahu hujan. Hati kecilnya sudah tidak sedap hati sedari tadi. Entah berapa lama dia akan terkurung di tempat ini.
"Awak bila lagi nak siap?" soal Qaira Najwa, lembut.
"Kejaplah baby. Kereta saya rosak ni. Apabila siap saya bagitahu baby tau. Kalau baby penat baby tidurlah, saya akan call mekanik lepas ni." Haziq menguntum senyuman manis buat Qaira Najwa lantas dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.
Tanpa berasa syak-wasangka dengan Haziq. Terus Qaira Najwa menyandarkan badannya pada kusyen dan bersedia untuk tidur. Sebaris senyuman jahat mulai terlakar pada wajah Haziq. Baginya, kenapalah semua gadis lembap sangat? Terlalu lemah dan mudah percaya pada janji manis lelaki. Kerana itu mereka mudah ditipu. Dasar lemah.
Haziq mengeluarkan telefon pintar daripada kocek seluar dan menghubungi mamanya. Dia memberitahu mamanya bahawa malam ini dia akan bermalam di rumah kawannya. Biasalah, alasan itu seringkali diguna pakai. Siapa yang tak percaya? Apa lagi, mamanya mengizinkannya berada di rumah kawannya walaupun hakikat yang sebenarnya, kini dia sedang berada di tepi jalan bersama seorang gadis yang naif.
Kereta rosak? Siapa cakap keretanya rosak. Itu hanya lakonan sahaja. Lakonan yang selama ini ditonjolkan kepada sesiapa sahaja yang diinginkannya. Tetapi, lakonannya seakan tidak menjadi apabila dia berhadapan dengan Muhammad Mirza. Dasar celaka!
'Kau nak sangat aku putus dengan Qaira Najwa? Tengoklah nanti apa aku buat kepada dia. Akan aku hantar anjing buangan kat kau nanti, dasar lelaki tak guna!' bisik hati jahatnya.
■ BERSAMBUNG ■
YOU ARE READING
𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐅𝐈𝐑𝐀𝐔𝐍 𝐂𝐈𝐍𝐓𝐀 (✓)
Short Story♡ 𝐅𝐢𝐫𝐬𝐭 𝐛𝐨𝐨𝐤 : 𝟐𝟎𝟐𝟏 ♡ 𝙈𝙚𝙣𝙜𝙞𝙨𝙖𝙝𝙠𝙖𝙣 tentang persahabatan akrab di antara Qaira Najwa dengan Muhammad Mirza, sejak kecil sehingga muncullah bibit-bibit cinta di hati Muhammad Mirza tanpa diketahui oleh si gadis itu. Apakan...