Kesan tapak kaki itu terlihat seperti ular, melingkar dan memanjang sehingga ke hujung horizon. Di padang pasir yang tandus, tiada sumber hidup seperti ini, hanya kelibat lelaki berjubah itu yang kelihatan.
Siapa tahu sudah berapa lama dia berjalan. Mungkin terasa penat sekiranya dia mempunyai tenaga seperti manusia biasa. Namun jangankan desahan dahaga, setitik peluh pun tidak keluar daripada liangnya.
Menghampiri kawasan yang sudah mula kuat ribut pasirnya, lelaki ini menutup wajahnya dengan selendang yang dilingkar di leher. Dia kini sepatutnya sudah hilang arah panduan, biarpun tadinya mungkin dibimbing mentari, ataupun gunung-ganang pasir yang entah benar atau cuma fatamorgana. Namun arah kakinya tidak berubah, seolah-olah masih teguh dan yakin yang dia tidak akan lari dari haluan asalnya.
Dengan tidak semena-mena, muncul satu makhluk berupa ular bertanduk. Melungsuri padang pasir dari belakang lelaki ini, perlahan-lahan, bergerak bersama-samanya menuju ke sebuah destinasi. Ular itu mula bertutur.
"Aku tidak menjangkakan kau si sini," kata ular itu.
Namun lelaki ini tidak menjawab. Mungkin ada sekelumit senyuman di balik selendang yang masih menutup wajah pucatnya.
Apabila ribut pasir itu beransur-ansur reda, menghilangkan juga realiti asal yang zahir di mata manusia, mereka dihidangkan dengan pemandangan berdarah.
Di hadapan mereka sekarang, ada selautan askar berzirah besi yang sudah tumbang, hampir tenggelam di dalam pasir. Warna pekat kemerahan yang tersejat di dalam pasir itu mereka yakini darah empunya askar-askar ini. Tombak-tombak mereka terpacak bersama-sama panji yang sudah koyak rabak. Lelaki berjubah ini melangkah mayat-mayat kejung itu sementara ular bertanduk itu masih setia menyusuri di belakang.
"Masih kejam macam dulu," ulah lelaki itu.
"Lebih daripada tuan?" tanya ular bertanduk pula.
"Tidak, Asyar. Aku tidak kejam. Aku menghargai semua nyawa di dunia ini."
Ular itu ketawa berdekah-dekah.
Apabila mereka sudah berjalan hampir satu batu, barulah Istana yang berbentuk piramid itu menjamah mata. Terdapat seekor makhluk berupa kucing sphinx gergasi yang bersayap dipasak perutnya dengan senjata besar berupa tombak, tergantung di sisi piramid yang sudah hampir roboh.
Lelaki itu memberhentikan langkahnya. Dia dapat melihat dari kejauhan, satu susuk hitam yang membawa sabit sedang mengheret seorang lelaki berperisai emas ke arahnya. Lelaki itu sedang nazak, nafasnya berat apabila diperlakukan demikian. Namun tiada belas ehsan yang ditunjukkan si pelaku, lelaki yang membawa sabit itu.
"Qabar," tegur lelaki berjubah ini kepada lelaki bersabit berjubah hitam itu.
"Kau tidak perlu datang, Farouq. Kerja sudah selesai." Qabar menghumban lelaki berperisai emas itu di hadapan Farouq.
"Maharaja Wazad," Farouq menegur pula lelaki berbaju emas itu.
"Kau...kau tidak akan menang...kami sudah bersumpah..." Maharaja Wazad tercungap-cungap. Di setiap kata-katanya, ada darah yang memercik keluar.
Farouq kemudian duduk mencangkung di hadapan Maharaja Wazad. Dia mengusap-usap kepala sang raja yang hanya pada satu malam, sudah tewas seluruh kerajaannya kepada seorang lelaki sahaja.
"Aku tidak akan menang katamu? Apa kau menggangap dirimu raja sekalian alam? Yang memakbulkan doa?"
Farouq mencengkam kepala Maharaja Wazad, menarik rambutnya sehingga dia terdongak di hadapan wajah Farouq.
"Aku datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan apa yang kau simpan, yang diamanahkan engkau oleh pengembara yang datang daripada Tanah Melayu..."
Serentak itu, Qabar membaca jampi serampah di dalam bahasa yang sukar difahami. Turutan manteranya bercampur-aduk, diadun supaya kesaktiannya lebih kekar dan keras, sesuai untuk mengeluarkan apa sahaja yang disimpan di dalam badan Maharaja itu yang bermati-matian melindunginya selama 20 tahun.
Maharaja Wazad menggelupur, urat-uratnya tersembul menahan kesakitan. Kemudian, dengan seksa yang amat sangat, keluarnya sebentuk geliga hitam daripada mulutnya. Maharaja Wazad terbatuk-batuk sebelum kejung di kaki Farouq, hampir ditarik rohnya.
Melihatkan situasi itu, ular bertanduk tadi menyusur pantas dari belakang Farouq. Dia membelit badan Maharaja Wazad sehingga tulang lelaki itu hancur sebelum membuka mulutnya seluas-luas alam dan bertindak menelan Maharaja Wazad saat dia masih hidup. Raungannya ketika ditelan, perlahan-lahan hilang di dalam perut ular itu.
"Rakus kau ni, Asyar." kata Qabar, mencemuh ular itu.
Ular bertanduk ini, kemudian menggulungkan tubuhnya dan berubah bentuk menjadi manusia semula. Rambutnya panjang, berpacak sehingga ke pinggang dengan wajahnya yang bengis itu disolek senyuman yang menyeramkan.
"Aku kena selalu makan, tak macam kau, cuma kenyang minum darah." balas Asyar, si lelaki seribu jadian.
Farouq hanya terdiam melihat orang-orang kepercayaannya itu menyindir satu sama lain sebelum dia mengambil isi muntahan Maharaja Wazad. Geliga hitam sebesar tapak tangannya itu kemudian diggengam, memecahkan kulit luarnya, menampakkan sebentuk cincin emas yang terukir corak burung merak.
"Setelah bertahun-tahun aku mencari, akhirnya..." ujar lelaki itu.
"Melihatkan angka rencongnya, Pelepah yang pertama." sambung Asyar.
"Satu daripada sebelas, ke mana kita selepas ini?" tanya Qabar apabila melihat senyuman puas pada wajah Farouq.
"Ada satu di Sudan, dengan lelaki bernama Bilal. Ada satu di Banjaran Himalaya, tetapi masih misteri siapa penjaganya. Kalian ke sana dahulu, aku akan Itali dan seterusnya ke tanah tumpah darah aku..." Farouq berpusing, berjalan mendahului dua lelaki itu.
"Malaysia?" tanya Asyar. Qabar hanya terdiam dan menjeling ke arahnya.
Matanya, kelabu seperti mata ikan mati. Namun apa yang ada di minda dan hatinya masih misteri untuk semua yang bernyawa. Namun begitu, perancangan besarnya sudah pun bermula daripada persediaan beribu tahun yang lalu. Bencana akan tiba, dan ianya akan melanda seluruh dunia.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...