Berdirinya sebuah blok usang di belakang stor Kemahiran Hidup SMK Haji Mahmud. Ianya merupakan bangunan bilik darjah yang ditinggalkan kosong sejak blok-blok baru dibina beberapa tahun yang lalu. Di sinilah Ikhwan datang setiap hari ketika waktu rehat dengan sebungkus burger dan sekotak air laici. Sudah tersedia sebuah kerusi kayu berwarna biru lusuh di koridor tingkat 2 bangunan itu yang dia tempatkan menghadap sebatang pokok asam jawa yang rimbun. Tetapi hari ini, sudah ada orang lain yang sampai lebih awal daripadanya. Orang itu adalah gadis yang disukainya.
Mungkin Diana Wilson tidak perasan, tetapi Yusuf Ikhwan hanya diam di bangku sambil menyedut air laici itu tidak berapa jauh daripada tempatnya sedang duduk, iaitu di atas tembok koridor tingkat 2. Hanya perlukan sedikit tolakan daripada belakang untuk menjatuhkan Diana ke lantai simen di tingkat bawah. Selepas mendengar bukaan pembalut burger yang dibawa Ikhwan, Diana berpusing ke belakang, merenung remaja lelaki yang cuba berlagak tenang itu.
"Kenapa kau datang sini?" tanya Diana, sedikit kuat.
"Tak mati kalau terjun kat sini, paling tidak patah kaki. Nanti buat malu je terhencut-hencut masuk kelas." jawab Ikhwan sambil mengunyah daging murah yang diapit roti itu.
Diana membatalkan niatnya untuk terjun. Dia turun ke koridor dan berjalan laju melepasi Ikhwan yang masih keras di situ, tidak berkata apa-apa.
Ikhwan sama sekali tidak tahu apa yang berada di dalam kepada gadis cantik berambut kuning keemasan itu. Wajahnya manis, namun tidak pernah senyum. Seperti Ikhwan juga. Tidak pernah senyum. Tetapi jika gadis sebayanya ingin membunuh diri, boleh jadi Diana juga merasai kekosongan hidup yang dia rasai? Atau masalah peribadi yang jauh lebih rumit untuk dia peduli? Dia tidak mahu berfikir tentang masalah Diana, sedangkan dirinya sendiri sudah bertahun-tahun cuba untuk terjun dari koridor yang sama, tetapi dia pengecut. Nak naik ke tembok itu pun dia sudah menggeletar. Walaupun paling tidak, cuma patah kaki.
Keesokan harinya, Ikhwan datang lebih awal ke blok bangunan usang itu, meninggalkan sebungkus burger dan sekotak air laici pada tembok koridor yang sama dengan tempat Diana ingin terjun semalam. Sebaik tamat waktu persekolahan, Ikhwan datang semula ke situ untuk memeriksa bekal makanan yang ditinggalkan untuk gadis itu. Ternyata tidak terusik.
Keesokan harinya pula, Ikhwan masih melakukan hal yang sama. Dia akan meninggalkan sebungkus burger dan sekotak air, tetapi kali ini, sekotak air mangga. Dan apabila diperiksa selepas tamat waktu persekolahan, ada sedikit perbezaan. Air kotak berperisa mangga itu habis diminum walaupun burger tidak terusik. Ada senyuman kecil di bibir Ikhwan.
Keesokannya lagi, sedikit berbeza. Ketika ikhwan sampai ke tingkat 2, ada sebungkus burger dan sekotak air laici ditinggalkan di atas kerusi biru lusuhnya dengan sekeping nota yang bertulis "Thank you". Senyuman makin lebar di bibir remaja lelaki itu.
Dan pada suatu hari, Bobby mampu bersumpah yang dia melihat Ikhwan dan Diana berjalan beriringan pada waktu rehat dengan sebungkus burger dan sekotak air di tangan masing-masing, berjalan menghala ke blok usang yang sunyi itu.
"Laju betul budak ni buat kerja." komen Bobby.
Di tingkat 2 blok usang itu, sebuah kerusi lusuh lagi ditambah. Mereka berdua mengunyah makanan ringan itu bertemankan pemain mp3 yang memainkan lagu-lagu Avril Lavigne sambil menikmati angin pagi yang meniup lembut wajah mereka.
"Aku tak tahu kau tak suka air laici." kata Ikhwan, selang lagu bertukar.
"Too sweet." balas Diana.
Yusuf Ikhwan mengganguk-angguk sebelum mereka berdua terus menikmati makanan segera itu dalam keadaan bisu. Tetapi hati Ikhwan gembira mendengar kunyahan gadis yang mencuri hatinya itu. Ganjilnya, ia menghasilkan melodi penerimaan yang merdu.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...