Khartoum, Sudan
Seorang lelaki sedang melutut di kakinya, merayu-rayu di dalam bahasa arab supaya diselamatkan nyawanya. Namun Qabar tidak endahkan, mencari lelaki bernama Bilal ini satu tugas yang susah. Dia tidak akan melepaskannya lagi, tiada pujuk rayu yang akan diterimanya. Mereka berada di atas bumbung bangunan ini pada malam ini kerana takdir sudah menentukan yang Bilal akan tewas di tangan Qabar.
Sabitnya muncul dari udara nipis, berubah menjadi zat yang boleh dilihat dan digenggam tangan kasarnya. Senjata besar itu dilibas di udara sebelum diayunkan sekuat hati ke batang badan Bilal, menghancurkan sejenis perisai lutsinar yang melindungi tubuhnya selama ini. Lelaki itu kemudian pengsan dengan mulut yang berbuih.
Lelaki berjubah hitam itu kemudian duduk di hadapan Bilal yang sudah tidak terlindung dengan sebarang jampi sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu dan menekankan jari telunjuknya pada perut Bilal. Badan Bilal menggelupur kepanasan, menggeletar daripada dalam apabila Qabar menggerakkan jari telunjuknya daripada perut naik ke leher, kemudian naik lagi sehingga ke mulut. Akhirnya termuntah juga geliga hitam yang disimpan di dalam badannya.
Geliga hitam itu dijemput Qabar dengan hujung jarinya. Kemudian dihancurkan selaput kulitnya dengan sekali genggam. Menampakkan sebentuk cincin dengan ukiran burung merak serta bertanda abjad rencong.
"Yang ke-11..." tutur Qabar.
Qabar...
Satu suara muncul di telinganya. Ditutur di dalam ilmu selang udara. Satu bentuk telepati.
Farouq? Kau memanggilku?
Sudah kau jumpa Cincin Pelepah di Sudan?
Sudah. Kau mahu aku ke mana pula?
Keluarkan delima kuning, ketuk 3 kali.
Arahan itu diterima. Qabar kemudiannya mengeluarkan sebentuk delima kuning dari kocek bajunya. Batu itu diketuk sebanyak 3 kali, lalu ia menghasilkan getaran. Qabar duduk bersila di hadapan mayat Bilal dan memejamkan matanya.
Apabila Qabar membuka mata, dia sudah pun berada di sebuah Balairung yang bergemerlapan dengan struktur binaan berlian dan emas. Di hadapannya, ada individu-individu yang dikenali dan ada juga yang tidak. Berbaris sebelah menyebelah menanti Farouq naik ke singgahsana.
Lelaki berambut putih itu sedang mendaki sebuah anak tangga untuk naik ke singgahsananya yang bertatahkan berlian. Sebaik sahaja Farouq melabuhkan punggung, semua yang berada di situ mula duduk melutut, kecuali Qabar dan Asyar yang hanya bertindak sebagai pemerhati.
"3 minggu lalu, aku menghantar kalian, Pungguk 11, untuk mengumpul 11 Cincin Pelepah yang bertebaran di seluruh dunia. Berapa yang sudah dikumpul?"
Pungguk 11 merupakan 11 Laksamana jin tertinggi di dalam Empayar Iblis Putih. Mereka adalah yang terbaik di kalangan terbaik. 3 daripada ahli Pungguk ialah Qabar, Asyar dan Ghul. Manakala bakinya datang dalam pelbagai jenis rupa. Ada yang bersayap, memiliki ekor, bertanduk dan ada juga yang dalam rupa manusia biasa. Mereka hadir di dalam pantulan rupa, diseru dari setiap penjuru dunia untuk melaporkan status misi masing-masing.
"Aku sudah menjumpai Pelepah ke-4, dari Azerbaijan..." tutur seekor makhluk kurus kering berkulit merah.
"Pelepah ke-3 dan ke-5, disimpan oleh Buya Amin dari Surabaya...aku menangkapya pagi tadi." sambung seorang lelaki berserban ungu dan berjubah hitam disebelahnya.
"Dari Malaysia, di dalam jagaan Merak Sakti. Yang ke-10 juga sudah saya perolehi, Tuan." tutur Ghul secara hemat.
"Yang ini...yang ke-2, penjaga Banjaran Himalaya minta sebelah tanduk saya sebagai gantinya..." Asyar menjunjung geliga yang ditukarnya dengan penjaga Banjaran.
"Dari Sudan, dalam jagaan Bilal. Berdasarkan angka rencong pada kulitnya, yang ke-11." Qabar menjadi yang terakhir mempamerkan hasil buruannya.
Berbanding yang lain, hanya Asyar dan Qabar mampu menunjukkan bukti yang cincin itu sudah diperolehi mereka. Ini kerana Pelepah ke-2 tidak disimpan di dalam badan sepertimana Pelepah yang lain dan Pelepah ke-11 pula mampu dikeluarkan Qabar kerana di kalangan mereka semua, hanya Qabar yang tahu cara untuk mengeluarkan cincin itu daripada badan penyimpannya.
Iblis Putih terlihat puas. Tidak sia-sia Pungguk 11 ini dikumpulnya. Semuanya berjalan dengan lancar sesuai rencananya.
"Kerja yang bagus. Bagaimana dengan Pelepah ke-6, 7 dan 8? Ghul? Cengal?" tanya penguasa besar itu.
Semua perhatian ahli Pungguk terarah ke arah Ghul, lelaki botak bersut biru gelap dan Cengal, seorang lelaki berambut panjang berjubah hitam dengan kulit yang hitam legam. Di sisinya ada seekor raksasa mawas yang hanya berdiam diri.
"Pelepah ke-8 ada di Pulau Sri Kemboja. Di dalam jagaan keluarga Lee. Tetapi tuanku, sejak serangan Maharani Kandita tempoh hari, Pulau Sri Kemboja sudah dilitup dengan perlindungan anasir jahat. Sebarang bentuk kejahatan yang cuba masuk dari luar akan dihancurkan serta-merta oleh kubah perlindungan mereka. Puteri Bunian Bulan sudah pun bangkit, Putera Naga Bintang juga sudah menjadi raja." terang Cengal yang tidak berani mengangkat muka.
Farouq mendongakkan kepala, memangku dagunya dengan tangan.
"Pulau Sri Kemboja adalah sarang musuh terkuat kita sekarang, Farouq." sampuk Qabar, cuba menyelamatkan Cengal daripada dipenggal.
"Apa silap aku, menanti sang naga menjadi sekutu?" tutur Farouq sendiri.
Farouq menjeling pula ke arah Ghul.
"Bagaimana dengan Diana?"
"Ya! Kami berjaya dapatkan Pelepah Ke-10 atas pertolongan dia. Soal Pelepah Ke-6 dan Ke-7 pula, kami sedang berusaha untuk jejaki. Ini kerana kedua-dua cincin itu dijaga oleh pendekar-pendekar Merak Sakti." terang Ghul, tertunduk-tunduk.
Farouq tahu, Pelepah yang paling susah diperolehi ialah Pelepah yang masih dijaga oleh Merak Sakti. Dia sendiri dulu pun bersusah payah untuk menjejak keberadaan cincin-cincin itu ketika pernah "berkhidmat" di dalam Merak Sakti. Keselamatan cincin-cincin itu lebih utama daripada keselamatan Perdana Menteri, lebih penting daripada nyawa Raja-raja Melayu.
"Anakku pula?" tanya Farouq tentang Jahim Zain.
Ghul tersenyum dan mengangkat muka memandang Farouq.
"Dia sudah bersedia untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rancangan setakat ni sedang berjalan lancar. Apabila kita perolehi Putrajaya, tugas mencari cincin yang berbaki itu akan menjadi lebih mudah."
Walaupun kata-kata manis itu terluah daripada lidah Ghul, tetapi dia sendiri tiada jaminan yang mereka akan memperolehi Pelepah Ke-6 dan Ke-7 semudah Pelepah Ke-10. Itu pun kerana kecuaian Sophia pada malam di muzium tempoh hari.
Farouq menggerak-gerakkan jari jemari yang ditongkat di atas bibirnya sambil termenung seketika. Semuanya berjalan dengan agak lancar, kecuali sedikit ralat yang berlaku di Pulau Sri Kemboja. Sepatutnya Purnama Sari dan Bara Pawaka akan menjadi aset ketenteraan terbesar mereka, namun sekarang kedua-dua kerajaan ghaib itu sudah menjadi musuh utama pula.
"Kecuali Ghul yang masih perlu mencari Pelepah Ke-6 dan Ke-7, bersiaplah kalian untuk ke Bahtera Hitam, masih ada ramai yang perlu ditawan sebelum kita mengetuk pintu Sri Kemboja."
Habis sahaja perintahnya di lidah, Farouq mengangkat punggung dan berpusing melewati singgahsananya lalu mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara, seolah-olah seorang ahli silap mata yang ingin mempersembahkan kemahirannya kepada penonton yang terhijab dari pandangan mata. Dengan tidak semena-mena, dinding di belakang singgahsana itu hancur luluh seolah-olah diledak dengan kuat dari dalam. Pancaran cahaya menembusi masuk ruangan balairung itu sebelum ribuan kawanan gagak muncul dari belakang mereka dan menerobos keluar dari balairung itu.
"Tentera-tentera gagakku! Bertebarlah ke seluruh dunia! Sampaikan berita kebangkitanku kepada 3 Maharaja Jin di Bumi! Maharani Carmilla di Utara! Maharaja Rodrigo di Barat! Maharaja Behanzin di Selatan! Berlindunglah dan berdoalah dengan apa sahaja yang kamu sembah! Kerana di hujung belasku nanti, kamu akan berharap Tuhan itu tiada..."
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...