BAB 6 - Wanita berambut emas

84 2 0
                                    


Beberapa hari berlalu setelah Ikhwan dan Faizal menerima misi daripada Merak Sakti. Atas bantuan Bobby, Yusuf Ikhwan memperolehi nama-nama anggota polis yang pernah terlibat di dalam kes pembunuhan di Sabak Bernam pada 2002. Ada satu nama anggota polis yang dikenali Yusuf Ikhwan. Inspektor Mazlan Jamaluddin. Dia pernah bekerja untuk lelaki ini dahulu dalam usaha untuk menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia pada 2013. Tidak pula Ikhwan ketahui yang lelaki ini pernah berjumpa dan bekerja secara langsung dengan ejen-ejen Merak Sakti. Jika nasibnya baik, dan Tuhan ingin permudahkan pencariannya, mungkin jejak Sophia mampu dihidunya terlebih dahulu.

Fairlady Z itu sampai ke Kampung Baru, ke rumah Haji Hisyam, salah seorang ketua gangster di ibu kota. Sekumpulan lelaki menanti kehadirannya di perkarangan banglo 3 tingkat itu. Mereka ialah pengikut-pengikut Haji Hisyam, samseng-samseng terpimpin Ikhwan gelarkan. Turun sahaja daripada kereta, Ikhwan dijemput oleh 2 orang kembar, Muiz dan Malik.

"Bang Wan," sapa Muiz,

"Ayah Haji dah tunggu kat dalam, dengan polis tu." sambung Malik.

Yusuf Ikhwan menyedut asap rokok itu dengan panjang sebelum memberikan putung yang masih panjang itu kepada Malik dan menepuk-nepuk bahunya. Sebuah BMW berplat Wilayah dijelingnya sebelum dia menapak masuk ke dalam rumah.

Yusuf Ikhwan tidak menghubungi Inspektor Mazlan secara langsung, sebaliknya meminta Haji Hisyam untuk mengaturkan pertemuan mereka pada malam itu. Ini kerana Ikhwan tidak ingin muncul di hadapan anggota polis itu sebagai seorang informer, tetapi sebagai kenalan kepada seorang sahabat. Di dalam dunia gelap ini, hubungan di antara polis dan kumpulan gangster itu perkara normal, masing-masing menjaga kepentingan masing-masing. Jadi Ikhwan juga menggunakan hubungan baiknya dengan Haji Hisyam untuk berhubung dengan Inspektor Mazlan.

Dia berjalan sehingga ke ruang tamu. Haji Hisyam tersenyum melihat kehadiran Ikhwan ketika sedang berborak dengan seorang lelaki berjaket kulit yang sedang duduk di atas sofa bertentangannya. Ada sedikit kuih-muih dan kopi yang terhidang di atas meja tamu itu.

"Assalamualaikum, Ayah Haji." Ikhwan mencium tangan Haji Hisyam dan berjabat tangan dengan Inspektor Mazlan yang mungkin sudah lupa dengan wajahnya.

"Ini ke orangnya, Haji?" Inspektor Mazlan bertanya. Disambut anggukkan Haji Hisyam.

"Satar dan otak-otak ni Hajjah kamu bawak balik dari kampungnya di Terengganu, makanlah dulu," Haji Hisyam tahu pertemuan pada hari itu terlalu sulit untuk dia dengari. Untuk menghormati Yusuf Ikhwan, bekas anak murid silatnya itu, Haji Hisyam meninggalkan dua orang tetamunya itu.

"Apa khabar, Tuan Inspektor?"

"Kecil betul dunia ni. Siapa sangka yang awak ni anak buah Ayah Haji."

Yusuf Ikhwan tersenyum kecil. Nampaknya lelaki itu masih mengecam wajah yang pernah membantunya dahulu.

"Saya dah tak buat kerja lama, Tuan Inspektor. Dah cuci tangan. Saya mintak Ayah Haji atur pertemuan kita hari ni pun sebab hajat saya lain niatnya."

"Hajat yang macam mana tu?"

Yusuf Ikhwan mengeluarkan telefon pintarnya. Aplikasi merakam suara dibuka dan diletakkan di atas meja tamu. Sementara Inspektor Mazlan hanya memerhati tindak-tanduknya. Untuk sekian waktu yang lama, dia terasa seolah-olah bakal disoal siasat. Sekarang mungkin dia mengerti perasaan orang-orang yang berada di sebelah meja yang bertentangan dengannya di dalam bilik interogasi.

"Saya terus-terang lah ya, Tuan Inspektor. Saya ke sini mewakili Merak Sakti. Dan saya ditugaskan untuk cari seseorang yang saya percaya tuan pernah berkerja dulu."

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now