Topi besbol berwarna hitam itu dibetulkan sambil langkah kanannya mengekori bukaan pintu kaca. Setapak melangkah, hidungnya tercium bauan besi yang kuat. Telinganya juga dapat menangkap bunyi dentingan besi yang berpunca daripada tingkat 2 bangunan kedai itu. Di dinding, terdapat gantungan objek keras di dalam bentuk pelbagai jenis senjata tangan. Keris, tombak, belantan, pedang, malahan kapak yang beraneka bentuk. Kena lah dengan nama kedainya, Penang Finest Blacksmith.
Yang menjaga kaunter adalah seorang lelaki yang berdecap-decip mengunyah kacang gajus, berambut perang. Isi dalam kabinet kaca yang menjadi meja kaunter itu pula tersusun senjata bersaiz kecil yang boleh disimpan di dalam poket atau baju. Pada waktu ini lah yang Ikhwan pasti, dia telah datang ke tempat yang betul.
"Selamat datang, cari apa bang?" tegur lelaki yang menjaga kaunter.
Yusuf Ikhwan menyeluk bahagian dalam jaket kulitnya, mengeluarkan sebilah kerambit berhulu merah yang berukuran 2 inci jika diluruskan lengkuknya.
"Saya cari orang yang buat kerambit ni."
Senjata kecil itu diimbang pada hujung jari sebelum dihulurkan kepada lelaki yang menjaga kaunter itu.
Hulunya berwarna merah, dibuat daripada hulu kayu kemuning. Hujung safety ringnya diukir corak yang menyerupai balung. Pada bilahnya yang tajam melengkuk itu pula, diukir akronim H. ABDULLAH.
Lelaki itu mencuri pandang wajah Ikhwan sekali lalu.
"Sekejap ya,"
Setelah pisau itu dipulangkan kembali ke tangan si pembawa, lelaki itu beredar daripada kaunter dan memanjat anak tangga ke tingkat 2 dengan laju, meninggalkan Yusuf Ikhwan dengan jambang palsu dan cermin mata tanpa kuasanya itu keseorangan. Beberapa ketika, muncul seorang lelaki berbangsa melayu. Berwajah comot, berjambang lebat, berbadan sasa tetapi sedikit boroi di dalam pagoda putih bersarung apronnya sambil mengangkat kening dan tersenyum ke arah Ikhwan. Telapak tangan kasar penempa senjata itu disambut Ikhwan.
"Maaf encik, banyak tempahan." lelaki sekitar 50 tahun itu mesra.
"Tak apa, saya faham."
"Anak saya kata, awak bawa kerambit yang saya pernah buat."
Ikhwan tersenyum dan menayangkan senjata itu.
Kerambit tersebut diambil, ditimbang-timbang tangan kasarnya. Besinya ditilik depan dan belakang, mengesan calar dan kerosakan pada mata bilahnya.
"Kerambit ni, kalau tak silap saya milik seorang perempuan." gumam lelaki itu sambil mengerling ke arah Ikhwan. Dia mengenali kerambit itu, kerana dia yang menempa kerambit itu, dia juga yang mengukir nama pada senjata itu belasan tahun yang lalu. Dan walau beribu senjata yang dia tempa, tiada satu pun yang benar-benar sama. Sebilah senjata hanya akan dituani satu wajah. Dan tuan kepada kerambit ini adalah seorang wanita yang dikenalinya.
Ikhwan memaniskan wajah, mempamerkan riak wajah ceria.
"Ini hadiah daripada kawan perempuan saya dulu. Dia kata kerambit ni ditempa istimewa oleh pembuat senjata paling terkenal di Pulau Pinang."
Sudah tentulah ia hanya satu pembohongan. Kerambit ini diberikan oleh Inspektor Mazlan beberapa hari lepas ketika pertemuan mereka di banglo Haji Hisyam. Kata Inspektor Mazlan, kerambit itu adalah "cenderahati" daripada Sophia. Senjata yang digunakan untuk menangkap pembunuh upahan ketika joint operation diantara ejen-ejen elit Merak Sakti dan pasukan kendalian Inspektor Mazlan di Sabak Bernam pada 2002.
"Oh, kawan perempuan awak ada tempah sebilah pedang dalam 2 bulan lepas. Kalau berjodoh, mungkin dalam 2-3 hari ni dia datang ambik. Awak datang ni dia tahu ke?"
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...