Yusuf Ikhwan masih menyandar pada tayar keretanya. Dia terlalu sakit untuk bangun. Kepalanya tertunduk dengan darah daripada dahinya menitik-nitik di hujung dagu. Namun dia gagahkan juga kelopak matanya daripada tertutup. Samar-samar dia melihat Faizal Ilyas yang sedang cuba untuk bercakap dengan Diana yang sedang mengheret seorang perempuan di atas jalan raya, semakin lama semakin menjauh darinya.
"Diana! Ni betul-betul kau ke? Apa dah jadi ni?" Faizal Ilyas menggigil.
Celaka apa tengah berlaku ni? Diana palsukan kematian dia ke 5 tahun lepas? Habis tu mayat siapa yang aku tengok masuk dalam kubur tu? Apa benda yang Ghul rahsiakan daripada aku ni, bangsat!
Diana Wilson tidak membalas, dia menepis tangan Faizal berkali-kali dalam keadaan tercungap-cungap dan pening yang teramat sangat. Sesekali, dia akan rebah di atas jalan.
"Bagitahu aku, Diana! Apa tengah jadi ni? Apa yang aku tak tahu? Tolonglah, aku merayu dekat kau!" Faizal sudah hampir untuk hilang pertimbangan. Dia melutut di hadapan Diana dan menggengam kemas lengan wanita itu.
Kalau Diana masih hidup, untuk apa dia mengkhianati Merak Sakti? Dia bersekongkol dengan musuh untuk melihat kehancuran Merak Sakti yang menggangap nyawa Diana itu sesuatu yang boleh dibelanjakan. Dia lakukan ini untuk membalas dendam. Tetapi bagaimana keadilan dendam itu berfungsi sekiranya orang yang dia ingin balas dendamkan itu masih hidup? Apa gunanya semua anggota polis dan tentera mati ketika malam konvoi Jahim itu diserang? Kepada siapa dosa itu akan dialasankan nanti?
"Faizal...lepas..." ujar Diana, perlahan.
"K-kau boleh bagitahu aku semua benda. Bagitahu aku, siapa yang selamatkan kau? Tuan Ghul?"
Wajah Diana berubah sebaik sahaja soalan itu meluncur keluar daripada mulut Faizal.
"A-aku boleh tolong kau! Kita pergi dari sini, aku tolong ka-kau angkat perempuan ni." percakapannya mula tersekat-sekat, sambil memaksa wajah yang menyedihkan itu untuk tersenyum.
Tidak semena-mena, Diana menarik lengan baju Faizal. Wajah wanita itu berkerut tidak percaya.
"Faizal...apa kau cakap ni?"
Suluhan lampu kenderaan membanjiri wajah mereka berdua. Dari jalan raya yang lurus itu, muncul sebuah limousin yang kemudiannya berhenti betul-betul di hadapan Faizal dan Diana yang sedang terduduk. Daripada tempat duduk belakang, keluarnya seorang lelaki bersut hitam, berwajah pucat dan berkepala botak. Badan induk Ghul memunculkan diri di hadapan mereka.
Mereka hanya terpaku di situ buat seketika sebelum Diana menerima anggukan daripada Ghul untuk mengangkat Emi dan memasukkannya ke dalam limousin. Faizal Ilyas pula terus bangun, mengeluarkan sepucuk revolver dalam keadaan menggelabah dan mengacukan senjata itu kepada Ghul. Dia tahu yang pistol itu tidak akan mampu untuk mencederakan Ghul, tetapi dia lakukan juga supaya Yusuf Ikhwan tidak mengesyaki apa-apa.
Apa benda yang kau tak bagitahu aku?
Soal Faizal di dalam hati. Pandangan matanya menikam wajah Ghul, namun hanya dibalas dengan senyuman sinis oleh lelaki itu.
"In backward, walk." arah Ghul.
Faizal yang asalnya teragak-agak itu, menuruti perintah. Dia berjalan mengundur sambil Ghul terus berjalan ke arahnya. Sangat pelik situasi yang sedang berlaku. Biasanya yang mengeluarkan arahan adalah si pemegang senjata, bukan sebaliknya. Tetapi Faizal menyedari hakikat yang siapa lebih mendominasi situasi.
Dalam beberapa minit, mereka tiba di hadapan Yusuf Ikhwan yang masih terduduk. Lelaki yang sedang cedera parah itu melihat susuk tubuh Ghul atas bawah sebelum tersenyum kecil. Jadi inilah wajah musuh yang ditakuti Merak Sakti selama ini? Wajahnya pucat, terlihat seperti manusia tanpa zat dengan mata yang kekuningan seperti mata haiwan.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...