Subaru BRZ berwarna biru itu laju meluncur di jalan raya setelah keluar dari perkarangan muzium yang ketat dengan kawalan PDRM, dengan Fairlady putih Ikhwan pantas mengejar dari belakang. Dari Pesara King Edward, laju bergerak masuk ke Lebuh Light yang pergerakan trafiknya bergerak sederhana. Kemudian Subaru BRZ itu mula masuk ke simpang menghala ke Padang Kota Lama untuk mengelirukan pengejarnya.
"Wan! Kau pasti ke ni?" Faizal Ilyas di sebelah Ikhwan sudah cemas. Jika Subaru itu sempat dikejar, rancangan mereka untuk menculik Emi pada malam ini akan gagal.
Yusuf Ikhwan tidak menjawab. Wajahnya terlihat sangat tegang sambil matanya sedang fokus mengekori lampu belakang kereta yang sedang dikejarnya.
"Kenapa dia lari sebelah sini? Dia tak nak keluar dari Penang ke?" gumam Ikhwan, pening membaca hala tuju Subaru itu yang sekejap-sekejap menukar arah.
"Mana tahu kembar ke?"
"Ha?" pantas Ikhwan menoleh ke arah Faizal.
"Budak kecik yang kau nampak kena dukung tu. Mana tahu kembar ke?"
Yusuf Ikhwan kembali menoleh ke hadapan. Sangkanya dia, Faizal juga melihat wajah Diana di sebalik topi, kaca mata hitam dan kolar kot panjang itu. Tetapi dia yakin yang matanya tidak menipu. Matanya tidak pernah menipu, tidak sejak dulu, tidak juga sekarang. Dia kenal wajah orang yang dia sayang, wajah yang dicintainya sejak dulu.
15 tahun dahulu...
"So, kau membesar dengan keluarga pak cik kau?" tanya Diana.
"Keluarga pak cik pun aku dah anggap macam keluarga betul. Dia orang aku tak tahulah anggap aku macam mana. Keluarga aku tinggalkan aku rumah pak cik aku waktu aku 9 tahun. Sampai sekarang aku tak tahu kenapa mereka tergamak buat macam tu."
Diana merenung wajah Ikhwan dari tepi. Ada kesayuan pada wajah yang sering tersenyum itu. Ikhwan yang disangkanya membesar di dalam keluarga yang sempurna itu juga rupanya mempunyai masalah.
"Aku...tak pernah tengok muka keluarga aku." Diana memeluk lutut yang bersarung seluar track itu. Dia dan Ikhwan sedang duduk sebelah menyebelah di kiri gelanggang bola jaring, menonton perlawanan yang hambar dikalangan pelajar perempuan SMK Haji Mahmud.
"Kenapa parents kau tinggalkan kau di Malaysia?"
Diana berdiam diri. Baru beberapa minggu dia berkawan dengan budak lelaki itu, tetapi sudah banyak yang dia tahu tentang Ikhwan. Tetapi sebaliknya, Ikhwan hanya tahu sedikit tentang Diana. Dia terpaksa berat mulut, menyimpan rahsia yang dia sebenarnya seorang ejen sulit Merak Sakti. Yang Ikhwan tahu, cuma cerita palsu yang Diana membesar dijaga keluarga angkat di Malaysia.
"Diana,"
"Hm?"
"Keluarga kita tak sayang kita ke?"
Soalan itu sejujurnya langsung tiada jawapan bagi Diana. Dia tidak pernah merasakan kasih sayang kedua ibu-bapa. Dia sendiri tidak tahu siapa kedua ibu-bapanya. Sedari kecil, Diana dibesarkan di rumah asuhan Akademi Merak Sakti. Jadi sebelum gigi susunya patah semua, dia sudah diajar cara membuka pintu yang berkunci, cara memegang pisau yang betul, cara membaca morse code dan kod tentera. Semua pelajar di sini pula masih tidak tahu cara memasukkan bola ke dalam jaring tanpa perlu terkial-kial mengelak lawan. Itu semua kelakar bagi Diana, tetapi dia tidak ingin ketawa.
"Tapi sekurang-kurangnya, kita masih ada rumah untuk kita pulang."
Balas Diana yang membuatkan Ikhwan terkedu.
Bukan kita, tetapi cuma Ikhwan. Ikhwan ada rumah untuk dia pulang, walaupun cuma rumah bapa saudaranya. Tetapi Diana tiada. Akademi Merak Sakti adalah lokasi rahsia yang tiada di dalam peta dan mereka saling dipindah ke lokasi berbeza untuk melaksanakan misi sedari kecil. Diana juga tidak pernah merasai sesi curahan hati dengan sesiapa pun, tidak secara manusiawi seperti ini. Interogasi dan terapi yang diterimanya selama ini bersifat satu hala sahaja.
"Ikhwan, kau ada cita-cita?"
Aju Diana tiba-tiba, membuatkan Ikhwan sedikit curiga.
"Tak ada. Tapi aku suka tengok tindak-tanduk orang."
"Maksud kau?" Diana menyengetkan kepala di atas lutut, menjadikan rambut kuning keemasannya itu beralun ditiup angin petang. Matanya merata ke wajah Ikhwan.
"Kau tahu tak yang hampir semua manusia disekeliling aku, menipu untuk jaga kepentingan masing-masing."
Ikhwan terjeda, sebelum menyambung,
"Lepas tu dia orang semua buat benda yang bertentangan dengan apa yang mereka suka. Contohnya si Danisha tu,"
Diana dan Ikhwan pun berpaling ke arah Danisha yang sedang kelihatan riang berlari-lari mengejar bola.
"Danisha benci bola jaring. Tapi dia menipu diri sendiri sebab nak berkawan dengan budak-budak perempuan tu semua. Kalau tak, nanti kena pinggir."
"Mana kau tahu?"
"Aku tak tahu macam mana nak bagitahu kau, aku ada satu sixth sense ni. Aku boleh tahu kalau orang menipu. Walau sekecil-kecil perkara. Tapi tak semua penipuan tu aku tahu sebabnya. Macam kau, aku tahu yang kau menipu cakap yang kau membesar dengan keluarga angkat."
Pada saat itu, mata mereka berdua bertentangan. Tidak lama, hanya sesaat dua. Renungan mata Ikhwan yang pekat kehitaman itu terasa bagaikan sedang merenung hatinya yang sedih tanpa sebarang hijab pun yang menjadi penghalang.
***
"Aku dah tahu dia nak pergi mana!"
Semakin laju pedal minyak ditekan Ikhwan. Dia sepertinya sudah mampu meneka hala tuju Subaru BRZ itu. Faizal Ilyas pula makin cuak ditepi.
"Dia cari helipad! Mustahil untuk keluar dari Penang lalu ikut jambatan. Jalan keluar masuk Jambatan Pulau Pinang tak pernah lengang, lagipun penuh dengan kawalan Polis sekarang. Jalan keluar yang dia ada sekarang ni ialah ikut jalan udara pakai Helikopter atau jalan laut pakai bot."
Faizal Ilyas di sebelah sudah menelan air liur yang mengental.
"Kita intercept dia, bukan area sini hala tuju dia!"
Yusuf Ikhwan memulas setereng 180 darjah, membuatkan Fairlady putih yang dipandunya itu berputar di tengah jalan raya dan mengubah arah.
"Ada berapa helipad di Penang ni, Faizal?"
"Err...3-4?"
"Kita pakai firasat, nasib la siapa menang."
Dan enjin kereta berkuasa kuda itu menderam laju, memecut mencari haluan berkiblatkan hati.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...