BAB 2 - Burger tanpa daging

148 10 0
                                    


Seri Kembangan, Kuala Lumpur

Daging lumat itu dipanggang di atas bara api yang perlahan, menaikkan aroma yang mampu membuatkan pelanggan-pelanggan yang sedang mengerumuni gerai burger bakar itu menelan air liur masing-masing. Kemudian daging yang sudah masak sehingga jus dagingnya meleleh keluar itu diangkat dan diletakkan di atas keratan roti bulat yang sudah dilapik dengan keju chedar. Ia kemudian dikapit roti dengan sayuran yang boleh dipilih pelanggan.

Senyum kepuasan Yusuf Ikhwan malam ini. Bisnesnya saban tahun semakin laku setelah dia mengambil initiatif untuk menghasilkan sendiri resepi daging burger yang dijualnya. Pernah ada orang yang ingin membeli resepi itu daripadanya, namun dia menolak. Dia tidak ingin rasa dagingnya itu boleh didapati di tempat lain. Kalau ingin manjakan lidah untuk merasanya, turunlah ke Seri Kembangan.

Lelaki berusia 30 tahun itu melabuhkan punggung ke kerusi. Rokok berjenama Dunhill itu dihidupkan dengan sepetik dua pemetik api berjenama Windblaze sebelum asap beracun itu disedut panjang. Anak matanya mencari skrin TV berukuran 32 inci yang dipasang di luar restoren di belakang gerai kecilnya itu. Bunyi hingar-bingar manusia yang sedang berborak di meja masing-masing atau bunyi bising perkakas dapur yang sedang sibuk menyediakan makan malam mereka itu tidak menggangu konsentrasi Ikhwan untuk menonton berita yang sedang tersiar.

"Punca sebenar kematian Bakri Musa yang berlaku di dalam Istana Tengku Mahkota ketika bersama semua ketua parti pada 15 Januari lepas, dilaporkan masih dalam siasatan. Walaubagaimanapun, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mula menyebarkan khabar angin di media sosial yang mengatakan kematian ketua parti pembangkang Majmuk Raya itu adalah pembunuhan yang dirancang." ujar pembaca berita lelaki itu.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Mahmud Jaafar, walaubagaimanapun menafikan kesahihan khabar angin itu dengan mengatakan yang ianya sama sekali tidak benar." sambung pembaca berita wanita di sebelahnya.

Walau dari kejauhan, jelas suara itu didengari telinga Ikhwan yang tajam itu.

"Tidak benar?" ujar Ikhwan seorang diri. Walaupun mata dan telinganya sudah tidak lagi menjadi mata dan telinga polis, tetapi deria bekas informer sepertinya itu masih lagi peka.

Yusuf Ikhwan tidak meminati kancah politik negara. Tetapi semua sedia maklum yang Bakri Musa itu sangat dibenci oleh konservatif melayu walaupun sangat disayangi oleh orang-orang muda. Konservatif melayu menggelarkan Bakri Musa sebagai melayu berdarah komunis kerana suka mempersoalkan kedudukan raja-raja melayu di dalam sistem pentadbiran. Sekiranya kematiannya itu merupakan pembunuhan yang dirancang sekalipun, ianya kedengaran munasabah. Apalagi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Osman Mansur ini masyur dengan sifat diktator. Pilihanraya Umum cuma berbaki sebulan lebih sahaja lagi. Mungkin ini cara radikal Kerajaan sekarang untuk terus kekal berkuasa. Kalau tidak, dengan gelombang pembaharuan yang dilaung oleh orang-orang muda ini, sudah tentu Bakri Musa akan menjadi Perdana Menteri yang baru. Perdana Menteri yang mereka pilih.

"Cari pasal dengan orang muda. Dia orang tak tahu ke orang muda kat Malaysia ni pendek akal?" sambung Ikhwan lagi, sebelum menghembus kepulan asap rokok itu.

Kedengaran tapak kaki yang sedari tadi melangkah itu terhenti di hadapan gerainya. Rokok itu terus dibuang ke tanah dan dipijak. Tanpa memandang wajah pelanggannya, dia menyarungkan apron dan terus bangun menghadap dapur pemanggang.

"Burger apa bang?" sambil-sambil dia membuka kotak sejuk beku yang menyimpan daging-daging lembu yang sudah diperap dan dibentuk.

"Burger bakar special, tak nak daging."

"Ha?"

Wajah lelaki itu pun ditenung. Rambutnya kerinting, berwajah cengkung dengan kumis yang tidak kemas. Memakai cermin mata bulat hitam berjenama Vint & York. Lelaki ini tersenyum melihat wajah Ikhwan yang sesaat awalnya keliru dan kemudian mendesah.

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now