BAB 3 - Dewa Masa

96 5 0
                                    


Terowong rahsia, Putrajaya

Proton Satria itu menyusup masuk ke sebuah terowong rahsia yang pintunya hanya dibuka untuk ahli-ahli Merak Sakti. Pengenalannya adalah tanda istimewa yang ada pada plat kenderaan. Terowong ini akan membawa mereka ke sebuah bunker rahsia milik kerajaan yang wujud di bawah tasik Putrajaya. Di sana, mereka akan diberikan misi rasmi.

Yusuf Ikhwan hanya senyap di tempat duduk penumpang, fikirannya jauh melayang. Kebelakangan ini, Diana sering menjengahnya di dalam mimpi di dalam bentuk cebisan memori. Gadis berdarah inggeris itu adalah kekasihnya, merangkap rakan kongsinya sebagai pencari maklumat.

Tetapi Diana juga punyai rahsia. Rahsia yang di mana selepas mereka mempercayai satu sama lain dengan sepenuh jiwa, barulah diceritakan kepada Ikhwan. Ianya melibatkan Merak Sakti, sebuah organisasi rahsia milik kerajaan yang bertindak sebagai penjaga kedaulatan. Tugas mereka sangat sulit dan misteri. Melibatkan aktiviti risikan dan pembunuhan berprofil tinggi untuk menjaga kepentingan negara. Berbeza dengan penjawat awam yang bertindak menggunakan fakta untuk menghukum, Merak Sakti bertindak berdasarkan teori. Kotor atau bersih itu belakang kira. Asalkan ancaman berjaya dibasmi sepenuhnya.

Yusuf Ikhwan tidak pernah mencampuri urusan Merak Sakti sepanjang hidupnya. Diana melarangnya untuk berbuat sedemikian. Kata Diana, ini "urusan negara". Cukuplah yang gadis itu berterus-terang tentang identitinya sebagai seorang ejen yang punyai misi rahsia. Yang selebihnya, Ikhwan tutup sebelah mata.

Tetapi hari ini, dia bersetuju dengan jemputan Faizal Ilyas kerana satu janji yang dia tidak ingin mungkiri kepada arwah Diana. Janji terakhir kepada kekasihnya itu sebelum dia meninggal dunia 5 tahun dahulu.

"Jauh lagi ke?"

"Dah nak sampai."

Dapat dilihat mata mereka, sebuah pos pengawal yang lengkap bersenjata sedang menanti dari kejauhan. Sampai sahaja di hadapan pos itu, mereka diarahkan keluar untuk pemeriksaan menyeluruh. Pengawal-pengawal ini memakai uniform hitam kalis peluru, wajah mereka ditutup topeng hitam. Ikhwan dan Faizal kemudiannya diarahkan untuk membuang segala pakaian yang dipakai dan dibiarkan telanjang tanpa seurat benang. Setelah pemeriksaan selesai, pakaian mereka diberikan semula. Mereka akan meninggalkan kereta dan berjalan sejauh 1 kilometer lagi sebelum sampai ke destinasi yang dihajatkan.

"Ambil gerbang 3." arah seorang pengawal keselamatan itu.

"Rokok pun kena sebat?" ujar Ikhwan tidak puas hati.

Pengawal keselamatan itu memandang Ikwan atas bawah sebelum berdehem dan menyerahkan kembali kotak rokok dan pemetik apinya.

"Memang biasa macam ni ke?" tanya Ikhwan kepada Faizal yang hanya dijawab dengan gelengan kepala.

Ketika berjalan kaki, mata Ikhwan cuba mengkaji struktur ruang bawah tanah itu. Dindingnya tinggi dengan setiap bahagian temboknya ditanda mengikut urutan sektor. Mungkin di sinilah tempat kerajaan menyimpan senjata rahsia mereka kalau-kalau Malaysia jatuh dalam keadaan darurat. Ada banyak yang didengarinya, contohnya seperti senjata biologi berupa virus dan juga tentera kebal yang serupa Terminator dalam wayang Hollywood. Namun itu hanyalah urban legend yang didengarinya dari bekas-bekas askar yang kesahihannya hanya setaraf dengan dongeng. Mungkin.

***

Gereja Basilica Of Superga, Itali

Di dalam bangunan yang dihasilkan dengan ciri-ciri senibina Renaissance itu, Farouq menapak perlahan-lahan di dalam gelap, melewati ruang bawah gereja yang menempatkan makam diraja Keluarga Savoy. Lelaki itu menyuluh dinding kawasan itu dan mendapati adanya ratusan potret paus yang masih dijaga rapi oleh pihak gereja walaupun mungkin sudah hampir ratusan tahun usia lukisan-lukisannya. Dapat dilihat juga arca dan tugu-tugu marmar yang memenuhi ruang itu bersinar-sinar apabila dibias cahaya lilin yang dibawanya.

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now