Ketika pintu lif itu sedang tertutup, seorang budak lelaki sedang melambai-lambai kearah Ikhwan sambil tangan kirinya dipimpin oleh Datin Hasnum yang bersama suaminya, dikelilingi sekumpulan pengawal peribadi berbadan sasa dan bersuit hitam. Tertutupnya pintu automatik itu, hanya Yusuf Ikhwan dan Faizal Ilyas yang tinggal di Ground Floor setelah semua tetamu kehormat sudah naik ke tingkat 2 untuk jamuan makan malam.
Yusuf Ikhwan sebenarya mahu menghabiskan sisa malam itu dengan memerhati Sophia, namun ditegah oleh Faizal. Cadangnya, setelah umpan berjaya dipasang, mereka berdua perlu meninggalkan Muzium itu secepat mungkin. Ini bertujuan untuk meninggalkan syak kepada Sophia, sesuai dengan rancangan mereka sejak awal tadi. Jadi mereka berdua akan mengambil lif terakhir untuk turun ke ruangan parkir dan meninggalkan Muzium lebih awal berbanding orang lain.
Ya, mungkin dengan cara tu, Yusuf Ikhwan tidak perlu berjumpa Ghul.
"Kau nampak ni?" Ikhwan menunjukkan sekeping kad, dengan nama dan nombor telefon Sophia Abdullah yang diterimanya tadi.
Faizal Ilyas masih termenung, seolah-olah pekak. Atau ada suara lain yang lebih membingitkan kepalanya ketika itu?
"Oi,"
"Erm?"
"Kau okay ke? Dari tadi macam tak fokus." tegur Ikhwan.
"Aku...okay,"
Tidak. Dia jauh daripada okay. Atas sebab-sebab tertentu, hatinya mula gelisah. Rasa serba-salah menyerbu jiwanya. Pada malam Jahim dibebaskan, ada anggota tentera dan polis yang tidak bersalah yang menjadi mangsa pengkhianatannya. Mereka bukan ejen-ejen Merak Sakti, tetapi cuma penjawat awam yang berkerja, cuma manusia biasa. Perasaan bersalah ini dipicu dari kata-kata Ghul daripada perbualan telefon mereka awal tadi. Dan sejak itu, menghantui dirinya.
Tetapi, jika dia ingin kuburkan Merak Sakti, tiada jalan lain selain meletakkan nyawa manusia-manusia itu sebagai kemusnahan cagaran. Harga kepada sebuah kemenangan yang Faizal inginkan.
"Kau tengok ni," kad yang diterima daripada Sophia, dihalakan ke wajah Faizal.
Faizal Ilyas menghela nafas dan menyambut kad itu dengan hujung jarinya.
"Tracker?"
Ikhwan tersenyum di hujung soalan Faizal.
"Aku rasa dia pun tahu yang kad yang aku bagi dia tu pun ada tracking bug. Aku harap kita tak perlu kejar dia, biar dia yang kejar kita."
"Kau petik pasal cincin?" tanya Faizal lagi. Disambut anggukan Ikhwan.
Di telinganya, Yusuf Ikhwan kedengaran sedang membangga diri.
"Kalau semuanya berjalan lancar, kita akan jumpa Sophia dan Keeper yang dia jaga tu di KL minggu depan. Lepas tu kita hantar dia ke Pahang dan semua orang boleh buat hal masing-masing balik."
Tidak. Malam ini juga tidak akan berjalan lancar. Jika benar apa yang Ghul katakan tadi, akan ada lagi kecelakaan yang akan berlaku pada malam ini. Dan adakah itu pun, angkara Faizal yang membocorkan maklumat? Di dalam kepalanya sekarang, ada satu pertengkaran di antara dua suara. Satu suara cuba untuk meyakinkan Faizal bahawa segala apa yang sudah dan bakal terjadi adalah satu keperluan, ianya dosa-dosa yang akan meletakkan semua perkara di tempat yang sepatutnya. Satu suara lagi, adalah suara dari hati yang mula menyoal moral dalam tindakannya itu. Moral yang tidak sepatutnya ada untuk seorang ejen tanpa perasaan. Seperti arwah Diana dan juga Yusuf Ikhwan yang mampu membunuh bila perlu. Namun kuatkah dia untuk membuang moral itu?
Ting! Ground Floor.
Pintu lif terbuka, mengejutkan Faizal dari lamunannya. Sebelum kedua-duanya ingin melangkah masuk, Yusuf Ikhwan menahan dada Faizal dari terus maju. Apabila ditoleh, kelibat seorang wanita berkaca mata hitam yang sedang mendukung seorang budak lelaki yang sudah tertidur muncul di sebelah kanan mereka. Mungkin saki-baki tetamu yang tertinggal? Tanpa sebarang pengawasan?
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...