BAB 4 - Ward dan Keeper

69 5 0
                                    


Bunker rahsia Merak Sakti, Putrajaya

Yusuf Ikhwan dan Faizal Ilyas sedang duduk sebelah-menyebelah menghadap sebuah meja panjang di dalam salah sebuah dewan mesyuarat yang berada di Sektor 3 bunker rahsia itu. Sudah setengah jam mereka menanti seseorang yang dijanjikan Faizal untuk datang memberi sesi briefing bagi misi mereka. Daripada tindakan individu yang belum pernah bersua muka dengan Ikhwan ini, dia meneka yang individu ini tentunya sebangsa dengan mereka.

Ruang itu kosong, kecuali kewujudan satu jata burung merak yang dikelilingi 11 sundang dihias pada dinding utamanya. Corak burung merak itu menyerupai corak yang diukir pada sebentuk cincin yang pernah Diana pakai pada jari hantunya dahulu.

Cincin tu ke yang Jahim nak cari?

Pintu utama dewan itu terbuka. Seorang lelaki pertengahan abad muncul dengan memakai kameja flannel yang berkedut, berseluar jeans longgar berwarna biru lusuh dan membawa sebuah beg bimbit kulit berwarna coklat. Dia yang kelihatan kusut itu nampak terhegeh-hegeh mendapati Ikhwan dan Faizal. Ikhwan segera mematikan rokoknya dan memindahkan bekas abu rokok sedikit jauh daripada tempat mereka berdiri.

"Assalamualaikum, maaf lama sikit."

"Walaikumsalam, tak apa." sambut Faizal yang menjabat tangan lelaki itu, diikuti Ikhwan yang hanya berdiam diri.

"Faizal dan...ini..."

"Yusuf Ikhwan. Informer yang M cadangkan tu."

"Oh, inilah dia orangnya! Terima kasih sebab datang, Encik Yusuf. Sila duduk." jemput lelaki itu.

Agak aneh cara lelaki ini berkelakuan. Dan siapa gerangan M yang muncul daripada mulut Faizal sebentar tadi? Dia yang mencadangkan Yusuf Ikhwan untuk menyertai misi Merak Sakti kali ini? Masih dalam deretan persoalan, Yusuf Ikhwan memilih untuk membendung rasa curiganya terlebih dahulu. Dia kembali duduk di atas kerusinya.

"Saya harap awak berdua dah tahu yang kita sekarang ni sedang dalam keadaan terdesak. Jadi kita ambil langkah untuk berkerja dengan orang luar yang ada rekod baik macam Encik Yusuf." lelaki itu memulakan perbincangan tanpa berbasa-basi.

"Orang luar? Awak percayakan orang luar macam saya? Kalau saya bekerja untuk musuh diam-diam bagaimana?" aju Ikhwan tidak semena-mena. Namun hanya dibalas senyuman sinis lelaki itu.

"Bukan sebarang orang yang kami pilih Encik Yusuf. Kalau M, orang atasan kami sendiri yang cadangkan nama Encik untuk turut serta, ada kemungkinan Encik Yusuf lebih boleh dipercayai daripada saya sendiri."

"Siapa M?"

"Kalaulah saya boleh jawab soalan tu. Tapi malangnya tak ada orang pernah tengok muka dia, atau nama sebenar dia. Dalam Merak Sakti ni, satu individu tak boleh tahu semua perkara. Apa kerja yang diberikan, kita laksanakan tanpa banyak soal. Saya harap Encik Ikhwan clear tentang tu dari awal."

Ikhwan bersandar pada kerusinya, riak tidak puas hatinya tidak ditonjolkan pada wajah. Sesuai kepakarannya, dia menyembunyikan sebarang ekspresi yang menampakkan dirinya dalam keadaan bingung. Satu perkara yang dia tahu, lelaki di hadapannya itu baru bangun daripada tidur.

"Jadi, apa yang kami perlu buat?" Faizal Ilyas menukar topik perbincangan kepada subjek asal.

Lelaki yang masih tidak mengenalkan dirinya ini mula mengeluarkan isi beg bimbit yang dibawanya. Mengeluarkan senaskhah fail bertanda TOP SECRET : FOR AUTHORITIES AND ASSIGNED PERSONNELS ONLY. Dia membelek pada bahagian-bahagian tertentu dan mengeluarkan sekeping gambar bersaiz passport.

"Saya nak awak berdua cetak imej yang saya tunjuk ni dalam memori masing-masing." sambil menyerahkan gambar passport itu kepada Faizal.

Ikhwan mencuri pandang gambar yang baru berada di tangan Faizal itu. Ianya gambar seorang gadis berambut panjang. Memiliki wajah yang sedikit bulat dengan mata yang tajam. Di bawah gambar itu tertera SA:08.

"Ini adalah gambar salah seorang ejen kita. Sekarang dihantar bertugas sebagai seorang Ward. Codename dia ialah Sophia. Kali terakhir dia berhubung dengan kita ialah 15 Januari lepas. Menurut informasi yang dia kongsi, dia masih berada di Malaysia pada tarikh tu bersama dengan Keeper yang dia jaga."

"Ward? Keeper?" soal Ikhwan.

"Musuh kita sekarang ni sedang memburu 4 individu yang sedang berada di Malaysia. 4 individu ni, masing-masing ialah penjaga kepada 4 cincin pusaka milik Merak Sakti. Mereka berempat ini kami gelarkan sebagai Keeper (penyimpan). Tetapi atas soal keselamatan, Merak Sakti tak dibenarkan untuk menyimpan sebarang maklumat tentang 4 individu ini. Yang tahu tentang mereka cuma 4 orang ejen terpilih yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan mereka, 4 orang ejen ini kami gelarkan sebagai Ward (penjaga). Dan gadis dalam gambar itu adalah Sophia, salah seorang daripada 4 Ward yang ada di Malaysia" terang lelaki itu lagi.

Dan akhirnya cerita soal cincin sudah muncul. Inilah dia cerita Faizal yang mengatakan Jahim dan orang yang membebaskannya ingin cari itu.

"Maknanya mereka sepasang-sepasang? Setiap Keeper akan diberikan seorang Ward untuk menjaga mereka?"

"Betul, Encik Yusuf. Dan Sophia ini adalah Ward yang kamu berdua perlu cari. Sebab sekarang ni kami dah terima arahan untuk putuskan sebarang perhubungan dengan semua Ward berikutan kematian ketua parti pembangkang, Bakri Musa tempoh hari. Kerajaan takut kalau-kalau ini kerja orang dalam untuk sabotaj kita. Gambar ni juga saya takkan serahkan kepada kamu berdua, kamu berdua perlu ingat wajah Sophia ni sebelum kembalikan kepada saya. Kalau gambar ni silap haribulan jatuh ke tangan musuh kita, mereka yang akan dapatkan cincin-cincin ini terlebih dahulu."

"Nampaknya walaupun M ni percayakan saya, dia tak nak ambil risiko." sindir Ikhwan.

"Saya rasa sebab dia terlalu percayakan Encik Ikhwan lah, dia rasa Encik Ikhwan boleh cari Sophia ni tanpa perlu usung gambar dia dalam poket baju." balas lelaki itu, berperang psikologi.

Ikhwan hanya tersenyum menampakkan gigi.

"Kalau kami dah jumpa Ward ni, apa yang kami perlu buat?" sampuk Faizal lagi sekali, menggangu perbualan janggal yang sedang berlaku.

"Kalau kamu berdua dah jumpa Sophia, minta kerjasama dia untuk percayakan kamu dengan membawa Keeper yang sedang dia jaga tu ke Bunker Pahang. Semua ejen kita yang masih aktif dah diarah membentuk kubu di sana. Semua tugas mereka dah dibekukan sejak kerajaan digesa untuk dedahkan fail secret service dan projek bunker rahsia ni."

"Berapa ramai yang dapat tugas macam kami ni? Macam mana dengan 3 pasang Keeper dan Ward lagi?" aju Faizal Ilyas.

"Yang itu kamu tak perlu tahu. Sebab saya pun sendiri pun tak diberitahu. Tugas cari Sophia dan Keeper dia ni pun dah cukup rumit, Faizal. Tak payahlah kamu berdua pening fikirkan yang lain." nasihat lelaki itu lagi.

Lelaki itu mengambil semula gambar bersaiz passport dengan wajah Sophia dan menyimpannya kembali ke dalam fail sebelum dimasukkan semula ke dalam beg bimbitnya.

"Saya doakan kejayaan awak berdua. Dan ingat, nama kamu, identiti kamu, perlu sentiasa ditukar. Jadi sebelum beransur nanti, dapatkan equipment penyamaran dan senjata yang kami provide."

Lelaki itu bangun dari kerusinya setelah memberitahu apa yang Merak Sakti perlu sahaja. Tiada cerita tambahan tentang musuh mereka, atau kenapa mereka semua berebut untuk mencari cincin-cincin itu.

"Kenapa penting sangat cincin-cincin ni, Doktor?"

Soalan Ikhwan itu mematikan langkah lelaki terbabit. Dia berpaling dengan wajah yang terkejut. Bagaimana lelaki yang baru dijumpainya pada ketika itu tahu tentang professionnya sebagai seorang Doktor? Namanya sendiri pun dia tidak sebutkan. Setelah mengambil nafas panjang, dia tersenyum seorang diri.

"15 tahun saya saya jadi intelligence officer untuk pejabat ni, sampai sekarang saya tak tahu kenapa penting sangat cincin-cincin tu. Jadi saya pun sama macam Encik Ikhwan, tak tahu lebih daripada yang sepatutnya."

Ikhwan mengganguk.

"Tapi kalau kita masih panjang umur dan boleh berjumpa lagi. Saya izinkan Encik Ikhwan merokok depan saya walaupun Encik Ikhwan tahu saya ada asthma."

Dan Ikhwan tersenyum memandang lelaki itu, membiarkan Faizal Ilyas terpinga-pinga.

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now