Sebuah tempat di Malaysia
Lelaki itu merenung tajam rakan di sebelahnya yang terlihat takut. Manakan tidak, matanya yang asal hitam itu tiba-tiba bersinar kekuningan di sebelah tempat duduk penumpang. Rakan di sebelahnya itu percaya, yang di hadapannya sekarang ini bukan manusia. Mustahil dia manusia, kerana sekarang giginya yang asal kemas itu tiba-tiba meruncing panjang. Kerana rambutnya yang tadi lebat, kini meresap masuk ke pori rambut semula dan menjadi botak.
"Ka-kau, bukan Hussin?" menggeletar, lelaki itu mengajukan soalan.
"Hussin dah nyenyak. Sekarang giliran kau."
Lelaki yang menyamar sebagai Hussin ini membuka mulutnya. Dan dari kejauhan boleh dilihat ruangan dalam kereta polis itu kini dibanjiri cahaya yang terang-benderang, diikuti jeritan kuat seorang lelaki yang dicabut nyawanya dalam keadaan yang sangat ganjil. Dalam sekelip mata, tempat duduk pemandu itu menjejeh dengan kulit dan darah manusia yang lumat mencair.
Pintu di sebelah penumpang pun dibuka. Keluarnya lelaki yang menyamar sebagai Hussin ini dalam keadaan bertelanjang. Dia berjalan di atas lebuhraya itu, menuju ke arah deretan kereta polis yang sedang tersadai di tepi jalan. Selangkah demi selangkah, setiap kereta polis itu mengalami kejadian yang sama dengan apa yang baru dilakukannya. Selangkah demi selangkah, setiap kereta polis itu ditembak cahaya terang dari dalam badan kereta. Dan selangkah demi selangkah, setiap pintu penumpang kereta polis yang berderet mengiringi sebuah kereta berperisai ditengah mereka itu dibuka. Keluar 8 orang lelaki yang bertelanjang, saling berjalan menuju ke arah kereta berperisai milik tentera.
Setelah kelapan-lapan mereka berkumpul di dalam bulatan di belakang kereta berperisai itu, lelaki ini kemudiannya menggumamkan sesuatu yang tidak difahami. Kemungkinan mantera-mantera purba. Dan tidak semena-mena, lapan badan yang serupa wajahnya itu bergabung semula menjadi satu. Induknya adalah yang pertama kali keluar tadi.
"Tak adalah susah sangat." ujar lelaki botak itu.
Dia merapati belakang kereta berperisai itu. Mata dan mulutnya dibuka luas, mengeluarkan cahaya terang benderang yang mencairkan permukaan dua pintu besi itu. Lelaki ini mula memanjat ke bahagian belakang kereta berperisai itu.
Dibantu cahaya bulan mengambang, di hadapannya sekarang wujudnya satu figura manusia yang dibalut kemas umpama kepompong. Dan dililit pula dengan rantai-rantai besi yang tebal. Wajahnya dikelubung kemas. Tetapi lelaki ini cukup pasti, ini lah dia orang yang perlu dia selamatkan malam ini.
Perlahan-lahan, lelaki ini menapak sehingga di hadapan figura manusia yang sedang diikat itu.
"Jahim, anak Iblis Putih?" tanya lelaki botak ini. Namun tiada jawapan. Hanya hembusan nafas perlahan yang mampu ditangkapnya di sebalik kelubung wajah itu.
"Mereka kata kau sangat bahaya. Aku terasa...takut untuk membebaskan kau..." lelaki ini tersenyum sinis selepas bicaranya.
"Cuma..." akhirnya satu ayat keluar dari mulut lelaki yang terikat itu.
"Apa?"
"Cuma...satu...rantai..."
Badannya bergerak-gerak, menjadikan rantai-rantai besi yang mengekang pergerakannya itu bergoyang-goyang. Lelaki botak ini mampu mentafsir maksud kata-katanya itu. Dia memandang tepat ke arah seutas rantai besi yang membaluti badan Jahim lalu mencairkannya sebagaimana dia mencairkan pintu besi kereta berperisai itu tadi.
Kinggg!
Rantai itu terputus. Dan tanpa sebarang amaran, kepompong yang dibalut tebal itu tiba-tiba menghasilkan gelombang haba yang tinggi. Aura ungu meruak naik daripadanya sebelum satu per satu rantai besi yang lainnya terputus dengan sendiri akibat mencair dan...
DUMMMM!
Satu letupan kuat terhasil dari kepompong itu. Menghancurkan kereta berperisai milik tentera itu sehingga berkeping-keping terbang di langit malam. Impak ledakannya mencampakkan kereta-kereta polis yang mengiringinya, meleburkan tar dan memusnahkan jalan raya.
Asap berkepul memenuhi kawasan itu sebelum perlahan-lahan menghilang bersama aura ungu yang menggila sebentar tadi. Yang samar-samar kelihatan masih berdiri di situ adalah lelaki botak tadi yang sedikit pun tidak berganjak, dan juga seorang lelaki berbadan sasa dengan ketinggian mencecah 2 meter yang baru terlepas dari kongkongannya. Dia juga berbogel tanpa seurat benang.
Lelaki sasa ini terlihat seperti ahli bina badan. Wajahnya sedikit berkedut, berambut hitam beruban di sesetengah tempat dan berjambang lebat. Otot lengan terlihat berurat kental ketika dia menutup penumbuk kanannya yang masih berasap. Dia hanya mencerlung tajam ke arah penyelamatnya untuk beberapa ketika sebelum mula mendongak memandang langit.
"Siapa Perdana Menteri Malaysia sekarang?" Itu soalan pertama yang keluar dari bibirnya yang tebal.
"Dato Sri Osman Mansur." jawab lelaki botak itu sambil memandang ke arah Jahim yang mula berjalan untuk melihat sekeliling.
"Iskandar Musa. Bila Iskandar Musa berhenti?" ajunya lagi.
"20 tahun dahulu."
"20 tahun? Aku dikurung 20 tahun oleh manusia?" Jahim mula menggusap-usap wajahnya.
"Dan kau, siapa nama kau? Siapa yang hantar kau?"
Lelaki botak dan pucat ini meletakkan tangannya di belakang. Tersenyum dengan soalan anak iblis yang baru diselamatkannya itu. Dia kemudian menjawab,
"Nama saya Ghul. Tuan Farouq yang mengarahkan saya untuk menjemput Tuan."
***
Di situ adanya dia, seorang gadis rupawan yang tiada siapa tahu akan namanya. Duduk di atas kerusi kayu berwarna biru yang lusuh, sepertimana semua yang sedang memandangnya ketika itu.
Matanya hijau. Rambut kuning cerahnya itu hampir menyilaukan pandangan mata si jejaka ini yang duduk jauh di sebelah tingkap barat, mungkin terpesona, pegun di tempat duduknya. Tidak berkelip untuk 5 minit, hampir mustahil untuk manusia biasa.
"Wan, aku nak tackle la budak mat saleh tu." Bobby, si gemuk gedempul di belakang Ikhwan menyapa, menampar lamunannya.
"Mat saleh?" Ikhwan berbisik untuk telinga sendiri.
Kemudian datang satu susuk lebar, membawa senaskhah buku log. Daripada koridor bangunan 3 tingkat itu terus masuk ke dalam bilik darjah. Mungkin Ikhwan terdengar suara laungan menjawab salam beramai-ramai sambil semua bangun dari tempat duduk. Dia tidak pasti bila Cikgu Zaki memberi salam, tetapi dia juga bangkit sekali. Begitulah gaya lelaki jatuh cinta. Buta, bisu dan pekak datang sekaligus. Deria mana yang berfungsi dalam situasi sebegitu?
Ada suara yang sayup-sayup memanggil, entah kepada siapa, tetapi Ikhwan hampir melompat apabila gadis yang sudah 7 minit ditenungnya itu memandang ke seluruh isi kelas sambil mulutnya bersuara.
"Nama saya Diana Wilson, selamat berkenalan."
"Nama aku... Yusuf Ikhwan!"
"Dee?"
Mata Ikhwan terbuka, menatap putaran kipas pada siling putih biliknya. Wajahnya terlihat lesu. Perlahan-lahan, dengan otot-otot yang terasa berat untuk bangkit, Ikhwan mencapai sekotak rokok di sebuah meja kecil di sisi katilnya.
"Berapa kali kau nak muncul dalam mimpi aku?"
Ikhwan menggusap-usap mukanya yang berminyak setelah bangun tidur. Putung rokok itu dicucuh api kecil dan asap beracun itu disedut dalam-dalam.
Mimpi yang dialaminya tadi, bukanlah fiksyen tulisan syaitan di dalam lena. Ianya adalah kenangan pertama Ikhwan bertemu Diana. Di dalam bilik darjah, ketika mereka di Tingkatan 5, kira-kira 15 tahun lepas.
Bajunya yang sudah lencun dengan peluh itu ditanggalkan, dibuang di atas lantai sebelum dia menapak menuju ke bilik air. Sebelum sampai ke ruang mandi itu, satu keratan akhbar lama yang ditampal di dinding bilik tidurnya ditenung seketika.
Diana Wilson, a 25 years old Malaysian tourist shot dead on Westminter Bridge.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...