BAB 8 - The Sorrowful Lady

72 2 0
                                    


"Kau dah ada kawan?"

Faizal Ilyas menyandar di dinding koridor sambil mulutnya menyedut air kotak. Diana Wilson pula sekadar mengganguk, melarikan perhatian ke padang sekolah. Kawan? Satu-satunya kawan yang dia ada sejak berpindah ke sekolah pinggir bandar ini ialah Yusuf Ikhwan, rakan sekelasnya yang...matang? Yang...tampan?

"Kau jangan risau, sekolah ni kawasan N. Ramai ejen Merak Sakti ada dalam kalangan guru dan staff. Pelajar pun ada, macam aku."

Diana hanya mengganguk perlahan.

Faizal Ilyas memusing-musingkan kepalanya, melegakan lenguh leher. Dia tidak ingin bertanya secara depan-depan tentang insiden yang menimpa Diana sebelum dia terpaksa disembunyikan di sini, tetapi khabar angin itu sentiasa ada, sentiasa bertiup. Dan akhirnya sampai juga ke telinganya. Kata mereka, keluarga Keeper yang dijaga oleh Diana telah disembelih dengan kejam, termasuk seorang budak sebaya mereka. Hanya Diana yang dibiarkan hidup, itu pun dengan luka mental yang sangat dalam sehingga tidak mampu bercakap untuk setengah tahun selepas itu. Melihatkan yang kini dia dihantar untuk ke sekolah menengah awam, mungkin N cuba untuk membantu Diana membuka dirinya untuk bergaul dengan masyarakat.

"Aku masih rasa Merak Sakti tak patut assigned budak 16 tahun untuk jadi Ward. Kita muda lagi, tak patut dapat misi sebahaya tu."

Faizal menghamburkan sahaja suara hatinya itu. Ya, dia tahu Diana Wilson itu dilatih di Sektor Kombatan dari usia 5 tahun, malah sudah melaksanakan misi-misi berprofil tinggi seperti membunuh seawal usia 10 tahun. Ingin dibandingkan dengan diri Faizal yang dilatih di Sektor Pengumpulan Maklumat, seperti langit dan bumi. Tapi bernarkah insiden setengah tahun lepas hanya seperti khabar angin yang didengarinya? Atau ada lagi perkara yang lebih teruk berlaku? Perkara yang sangat menakutkan, jauh lebih menakutkan daripada hakikat yang budak seusia Diana sudah pandai untuk membunuh?

"Faizal,"

"Hm?"

"Kau kenal Yusuf? Yusuf Ikhwan."

***

Hujan pada hari itu turun dengan sangat lebat. Berantakan memukul permukaan payung dan melantun-lantun jatuh ke tanah. Hanya Faizal Ilyas dan Yusuf Ikhwan yang masih tidak berganjak dari tapak perkuburan itu. Masing-masing berdiri sebelah-menyebelah menghadap kubur Diana yang masih merah, dengan setiap seorang berpayung hitam.

Faizal menoleh ke kiri. Melihat wajah sugul, muram dan dingin Yusuf Ikhwan dari pandangan tepi. Kelopak matanya terlihat biru, bengkak dan lebam.

"Kau dah tahu siapa yang bunuh Diana?"

Soalan Faizal mungkin hilang dalam derapan hujan yang menggila, atau tenggelam dalam emosi Ikhwan yang mungkin mampu mentulikan deria pendegarannya. Paling tidak, sengaja dibiarkan tidak berjawab.

Kalau ikutkan hati Faizal, dia ingin menumbuk-numbuk rahang Yusuf Ikhwan sehingga buku limanya patah. Kemarahannya membuak-buak. Bagaimana mungkin Diana Wilson yang dikenalinya itu boleh dibunuh, lebih-lebih lagi ketika dia bersama Yusuf Ikhwan di London. Yusuf Ikhwan, daripada semua lelaki dalam dunia ni!

"Celaka apa yang kau buat masa tu?"

Itu soalan yang ingin ditengking ke wajah Ikhwan. Bukankah mereka berdua ialah lagenda urban paling popular dan hebat di Kuala Lumpur? Bukan itu ke kenapa alasan Diana memilih Ikhwan berbanding dirinya? Kerana dia lebih matang? Kerana dia lebih cool? Kerana dia lebih kacak? Kerana dia lebih hebat berlawan? Habis tu, jasad siapa yang sedang tunggu masa untuk dimakan cacing sekarang? Kalau anak haram ni hebat sangat kenapa kau boleh kena bunuh depan mata dia, Diana?

***

Penang Museum of Art and Culture, George Town

Air yang ditadah di tangannya itu diratakan dan digosok-gosok pada wajah. Untuk seketika, memori tentang Diana datang menjenguk fikiran Faizal. Refleksi wajahnya yang terlihat penat itu menyuramkan ruang besar bilik air mewah di Muzium itu.

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now