Hidup sebagai seekor tikus di dalam lorong yang penuh dengan harimau seperti Kuala Lumpur ini, lambat laun akan terpelosok ke dalam perangkap jika tidak berhati-hati. Selepas 5 tahun menjadi anjing polis, membantu membanteras jenayah dengan teknik penipuan yang tiada tolok bandingnya, akhirnya Ikhwan tersungkur akibat kecuaian.
Badannya ditolak jatuh ke tanah. Darah dari mulutnya mencemarkan t-shirt putih yang dipakai. Jeritan kesakitannya tidak mungkin didengari sesiapa. Mereka sedang berada di sebuah gudang tinggal tempat budak-budak penagih melepaskan gian.
"Aku ni percaya kat hang, hang tau dak? Lagu ni hang buat taik na?" herdik seorang lelaki berkulit gelap dalam lingkungan 20-an. Di sampingnya, ada beberapa lagi lelaki yang sebaya dengannya. Ikhwan yang cuba merangkak untuk melarikan diri itu dipijak secara berjemaah oleh mereka.
"Kasi tidur terus, Abang Di. Tikus macam ni tak boleh lepas, payah kita nak cari makan." Lelaki botak di sebelahnya menghasut sambil menghulurkan sebilah pisau rambo.
Pisau itu diambil dengan hujung jari oleh Hamadi. Dia merenung pisau itu dan wajah Ikhwan yang sedang berlumuran di kakinya bersilih ganti. Hamadi tahu dia perlu lakukannya. Ini soal hidup mati. Sekiranya dia melepaskan Ikhwan, dia pasti dia akan dihumban ke dalam penjara dan terpaksa menghabiskan sisa hayatnya di dalam neraka dunia itu. Ya, dia perlu untuk membunuh Ikhwan, ini darurat!
Pernafasannya semakin kencang, urat-urat wajahnya tersembul ketika dia menjerit mencari keberanian untuk merodok perut Ikhwan dengan senjata tajam itu sebelum pipinya dipanah dengan satu tendakan kencang dan terpelosok ke lantai gudang. Pisau yang dipegangnya itu terlucut dan jatuh berdecing.
"Kau buat apa dengan dia orang ni, Wan?" Diana Wilson mengikat rambut kuning keemasannya sambil menjeling ke arah lelaki-lelaki yang terkejut dengan kehadirannya.
"Abang Di!" laung lelaki botak itu, namun Hamadi sudah pengsan akibat impak tendangan itu.
Pada saat itu, Yusuf Ikhwan pasti, Diana Wilson adalah bidadari kiriman Tuhan yang dihantarkan kepadanya. Dia mengesot ke tengah gudang dan menyandarkan kepalanya di sebatang tiang sambil melihat bidadari itu menari-nari menyepak dan menumbuk lelaki-lelaki itu seperti seekor kucing yang melambung tikus. Dia bersyukur yang nyawanya diselamatkan daripada tindakannya menghulurkan burger kantin sekolah tempoh hari.
***
Ikhwan mengaduh kecil ketika lukanya dibersihkan oleh Diana Wilson. Dia tahu dia tidak sepatutnya mengaduh seperti itu kerana dia akan kelihatan menyedihkan. Tetapi dipukul dengan besi paip dan spanar sebenarnya lebih menyakitkan daripada yang disangka.
"Apa yang kau buat kat tempat-tempat macam tu?" soal Diana.
Budak mat saleh ni telan syampu ke apa? Nafas dia pun bau wangi
"Masalah kat tempat kerja." jawab Ikhwan, entah mengapa, dia tidak menipu.
"So, ini lah yang kau buat bila kau selalu ponteng sekolah. Lari dari keluarga pak cik kau?"
"Ni bukan soal lari ke apa, Dee."
Diana berhenti menyapu pipi Ikhwan.
"Dee?"
"Kau panggil aku Wan, bolehlah aku panggil kau Dee." senyum kambing lelaki itu di dalam rupa yang menyedihkan, disambut senyuman kecil oleh Diana.
"Macam mana kau tahu aku ada kat sini? Kau ikut aku ke apa?" tanya Ikhwan.
"Aku curious mana kau pergi lepas waktu rehat."
Yusuf Ikhwan ketawa mendengar jawapan itu. Diana Wilson juga tersenyum lebar.
YOU ARE READING
Pencari Cincin Sakti
ParanormalAlam raya ini sedang menyaksikan fasa perubahan keramat menjelang era pengakhiran akhir zaman. Maka, bukan sahaja para khalifah dari semua dunia yang dibangkitkan malah musuh-musuhnya juga. Ini juga adalah kisah seorang lelaki yang dikatakan akan me...