BAB 13 - Manusia dan syaitan

53 3 0
                                    

Suhana hanya memerhati Yusuf Ikhwan yang terjengket-jengket di dalam seragam sekolah rendahnya, cuba menyergah adik lelakinya yang sedang ralit menonton Ultraman di hadapan televisyen di ruang tamu.

"Warghhh!" sergah Yusuf, membuatkan Shah Iskandar terlompat dari kusyen yang dilapik di bawah punggungnya. Mereka kemudian bergolek-golek keriangan di atas karpet.

"Jangan kasar-kasar sangat, kang terhantuk kat kaki sofa!" tegur Suhana, ibu mereka.

Suaminya, seorang lelaki buncit berkameja masuk ke ruang tamu sambil menggengam segugus kunci di tangan kiri dan membawa sepucuk sampul surat berwarna coklat di tangan kanan. Senyuman yang dilemparkan Suhana dibalas dengan pandangan kebencian oleh lelaki itu. Lelaki itu menolehkan kepala, mengalihkan pandangan benci itu ke arah Yusuf Ikhwan yang sedang bersuka ria di atas karpet. Pada saat itu lah Suhana sedar yang dia telah melakukan satu kesilapan. Kesilapan yang akhirnya diketahui oleh suaminya. Dan sampul surat di tangan suaminya itulah bukti kesilapan Suhana.

***

"Abang dengan akak tolong tengok-tengokkan dia."

Itu apa yang Yusuf Ikhwan dengari ketika dia dan Shah diheret Fahmi, sepupu mereka untuk ditunjukkan mainan baru yang diperolehinya. Mereka di laman, tetapi suara ibunya yang menangis teresak-esak di dalam rumah banglo itu dapat dia dengari. Nampaknya Yusuf Ikhwan terlahir dengan deria yang tajam, tetapi masih terlalu mentah untuk memahami kenapa dia ditinggalkan di rumah bapa saudaranya pada hari ini sedangkan hanya Shah yang dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Perlis. Dia pernah bertanyakan soalan ini kepada ayahnya, namun hanya dibiarkan tidak berjawab. Entahlah, ayahnya sudah berhenti bercakap dengannya sejak bergaduh dengan ibunya tempoh hari. Nak ditanya kepada ibu pula, seperti tidak sampai hati. Apa yang ibunya lakukan semenjak dua ini hanya menangis dan menyendiri.

"Abang, nanti aku balik, aku bawakan kau hadiah." ujar Shah di sebelahnya.

"Kirim salam kat Tok dengan Nenek." pesan Yusuf Ikhwan sambil menggosok-gosok kepala budak lelaki berusia 6 tahun itu. Wajah adik lelakinya yang comel itu ditenung lama-lama.

Sedikit yang Ikhwan tahu, itu adalah kali terakhir dia menatap wajah Shah, wajah ibu, dan juga wajah ayah yang seolah-olah tidak kisah langsung untuk meninggalkan dirinya di rumah banglo milik bapa saudaranya ini. Malah, dia dapat mengesan kelegaan pada wajah lelaki beruban lebat itu. Seolah-olah satu beban sudah pun berjaya dibuangnya.

Sejak hari itu, kira-kira 22 tahun yang lalu, mereka bertiga tidak pernah datang untuk mengambilnya kembali. Tiada panggilan telefon, tiada sepucuk surat, tiada apa-apa khabar berita. Apa yang diberitahu oleh bapa saudaranya ialah "bapak kau dah tak nak jaga kau. Dia kasi aku duit aje tiap-tiap bulan untuk bayar makan pakai kau kat sini.". Dia langsung tidak berpeluang untuk bertanya kenapa. Dia menangis setiap malam. Meronta-ronta merindukan ibu dan adik lelakinya sehingga bapa saudaranya pernah menendangnya keluar kerana terlalu bising.

Setelah bertahun-tahun hidup bersama bapa saudaranya, Ikhwan sedar satu perkara. Kasih sayang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Namun begitu, keluarga bapa saudaranya tidaklah zalim. Dia diberi makan yang cukup, dibelikan baju baru juga walaupun tidak sekerap isteri dan anaknya. Beza yang ketara, jika Ikhwan terluka dia harus menyapu ubatnya sendiri. Jika dia menangis, tiada siapa untuk dipeluk untuk menenangkannya. Tidak seperti Fahmi yang cukup manja. Dia cukup dengkikan sepupunya itu.

Menjejakkan kaki ke sekolah menengah, hubungan Ikhwan dan Fahmi semakin renggang. Fahmi mula bergaul dengan budak-budak nakal yang memanggil Ikhwan sebagai "anak haram" selepas mereka mendapat tahu dia dibuang keluarga oleh Fahmi. Ikhwan yang pada ketika itu bagai dirasuk syaitan, membelasah Fahmi dan budak-budak nakal itu sehingga mereka takut untuk ke sekolah.

"Sekali lagi kau buat perangai, aku hantar kau pergi sekolah budak jahat!" ugut bapa saudaranya.

Budak jahat? Siapa? Aku atau anak kau yang celaka tu? Bentak Ikhwan di dalam hati.

Ikhwan tahu, Fahmi rasa bersalah kerana memanggilnya dengan panggilan keji itu. Ikhwan juga tahu, Fahmi harus menipu, berpura-pura untuk membenci dirinya. Jika tidak, dia pula yang akan dibuli budak-budak celaka itu. Tindak-tanduk Fahmi itu dilakukan untuk menjaga kepentingan dirinya di sekolah. Pada ketika inilah Ikhwan sedar akan hakikat hidup. Jika bersendirian di dalam kelompok, akan mudah menjadi sasaran. Dia persetankan kewujudan Fahmi dan budak-budak nakal di sekolahnya itu. Mereka semua pun sudah takut untuk menggangunya. Mereka bimbang ugutan Ikhwan untuk menggali kubur mereka itu menjadi kenyataan jika mereka terlepas cakap lagi.

Nafkah yang diamanahkan ibunya kepada Ikhwan semakin lama semakin berkurangan setelah kejadian itu. Tetapi dia masih bersekolah, kerja apa yang budak sekolah boleh lakukan untuk menambah wang saku? Memikirkan masalah ini, Ikhwan selalu ponteng sekolah untuk berkeliaran di kaki-kaki lima di sekitar Kuala Lumpur. Itulah langkah pertama Ikhwan ke dalam dunia gelap.

Di pagi hari, dia akan melihat lelaki-lelaki keluar daripada rumah-rumah lorong setelah puas melayan pelacur pada sebelah malam. Kemudian menelefon isteri masing-masing, kononnya outstation. Ada diantara mereka berkereta mewah, ada diantara mereka hanya bermotor cabuk. Dia pernah melihat orang-orang tua disamun, kanak-kanak diculik dan remaja sebayanya khayal gam di bawah jambatan. Di dalam dunia yang terdesak, kotor dan penuh dengan penipuan yang dilihatnya ini, di mana mampu dia mencari wang dengan mudah tanpa perlu mematahkan pinggang mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan? Tetapi dia juga tidak terlalu terdesak untuk menjadi pencopet atau seorang pusher.

"Apa kau kata? Cuba ulang balik?" tanya lelaki berjaket hitam dan bertopi itu. Dia memeluk tubuh sambil hulu pistol yang diselitkan di pinggangnya itu sengaja didedahkan sedikit.

"Aku tahu siapa supplier syabu kat lorong ni. Tapi kau kena bagi aku 2 ribu untuk beli maklumat ni."

Mendengarkan permintaan aku, anggota polis itu itu berkongsi pandangan dengan rakan sekerjanya sebelum mereka berdua ketawa berdekah-dekah.

"Come on, siapa tahu apa habuan abang kalau dapat tangkap supplier ni. Apa lah sangat seribu tu nak dibandingkan ganjaran yang abang-abang ni akan dapat nanti."

Melihatkan tali pinggang anggota polis yang sudah merekah dan telefon bimbit yang sudah layak dibaling anjing itu, Ikhwan yakin dia memilih sasaran yang tepat.

"Kalau saya tipu. Abang boleh kutip saya bila-bila masa. Kalau saya cakap betul, abang-abang dapat habuan, saya dapat seribu. Win-win."

Ikhwan dapat mendengar bisikan dua lelaki itu walaupun mustahil untuk manusia normal mendengarnya dalam jarak sejauh itu. Ianya berbunyi seperti ini "Kita try. Lagipun budak lagi dia ni. Takkan ada siapa akan syak dia jadi telinga kita. Kalau betul dia tahu siapa supplier tu, kita boleh ambil "wang perlindungan" daripada supplier tu untuk jaga kawasan ni."

Itulah realiti kehidupan di dalam dunia seperti ini. Orang yang mengusung pistol secara halal kehulu-kehilir belum tentu akan menggunakannya untuk kebaikan. Mereka semua akan tunduk kepada wang. Sebagaimana bapa saudaranya yang memakan harta miliknya bertahun-tahun dan hanya meninggalkan serdak-serdak lebihan untuk Ikhwan hidup.

Pada ketika ini, segala-galanya terlihat telus di mata Ikhwan. Tindak-tanduk manusia-manusia ini semuanya untuk menjaga kepentingan masing-masing. Dia pasti, dia ditinggalkan keluarganya dahulu pun untuk menjaga kepentingan seseorang. Tapi kepentingan siapa? Waktu untuk mencari kebenaran itu mungkin belum tiba. Tetapi suatu hari nanti, dia akan selongkari rahsia kebangsatan yang menimpa dirinya ini.

Pencari Cincin SaktiWhere stories live. Discover now