Prolog

3K 83 6
                                    

"Aku minta maaf Leha, aku betul-betul dah tak tahu apa lagi nak buat. Aku memang dah terdesak sangat ni." Lirih suara seorang lelaki berumur awal 30-an kedengaran di halaman depan rumah papan di ceruk kampung.

"Tak apa lah Syazwan, hari ni hari kamu. Esok-esok Leha susah, giliran Syazwan pula bantu Leha. Ini je yang Leha dapat tolong, tak banyak tapi harapnya dapat ringankan sikit beban Syazwan." Kata seorang wanita berumur lewat 20-an pula.

Dua utas gelang yang disimpan lama hasil daripada hadiah perkahwinannya dulu diserahkan pada lelaki yang masih teresak-esak menahan tangis.

Bukannya dia tidak sayangkan hadiah pemberian suaminya, tetapi ini sahaja yang dia ada untuk diberikan pada lelaki itu. Hatinya turut sama merusuh mengenangkan kejadian malang yang bertimpa-timpa terhadap lelaki itu sekeluarga.

"Ya Allah segannya aku dengan kamu, Leha... aku janji Leha, aku janji. Akan aku tebus semula gelang-gelang kau ni, aku akan balas balik pengorbanan kau."

Seorang budak lelaki berumur tiga tahun yang masih belum memahami apa-apa cuma terkebil-kebil melihat adegan di depan matanya. Sesekali dia bertatih mendapatkan si ayah yang sedari tadi hanya berdiri di tepi jendela tanpa suara.

"Satu yang aku minta Syazwan, tolong jangan bagitahu ini pada Amira. Dia tak perlu tahu dari mana kamu dapat duit untuk rawatannya."

"Tapi-"

"Tolonglah. Itu saja yang aku pinta Syazwan." Tegas Leha dengan suara terketar menahan tangis.

Syazwan menunduk. Dia mula rasa berbelah-bahagi untuk menerima pertolongan sahabat baik kepada isterinya itu. Baginya, isterinya berhak mengetahui dari mana datangnya duit untuk biayai rawatannya. Bukan kecil pengorbanan yang mereka terima.

"Sudahlah tu Syazwan. Pergilah, pergi lah bawak Amira. Buatlah apa yang termampu untuk selamatkan Amira dengan bayi dalam kandungannya. Leha doakan dari sini agar semuanya baik-baik saja. InshaAllah kandungan Amira baik-baik saja." Air mata yang mengalir di pipi diseka dengan hujung lengan bajunya.

Terlalu sebak dia memikirkan keadaan Amira, rakan sepermainannya dari kecil yang berbadan dua sedang menghidapi komplikasi kesan dari kandungannya. Tak terdaya dia mahu membiarkan sahabatnya bertarung nyawa sendirian.

"Terima kasih Leha, Man...aku pergi dulu. Satu hari nanti aku akan balas balik semua jasa kau dengan Leha pada keluarga aku. Terima kasih, terima kasih... aku pergi dulu."

Tanpa menghiraukan hujan yang masih lebat membasahi bumi, Syazwan terus berlari turun ke tanah lalu menghidupkan motornya. Tidak sabar rasanya dia mahu membawa berita gembira ini pada isterinya.

Akhirnya, setelah empat bulan lamanya isterinya menahan kesakitan, kini dia sudah mendapat cahaya untuk membawa isterinya keluar dari relung kesakitan.

Bukannya dia tidak mahu membawa isterinya mendapatkan rawatan lebih awal di hospital, tetapi hospital di kawasan kampung serba-serbi kekurangan tidak membolehkan untuk isterinya mendapat rawatan segera.

Dengan berbekalkan wang simpanan yang ada dan pertolongan daripada keluarga Leha, akan dia bawa isterinya segera ke Kuala Lumpur seperti yang direkomen doktor yang merawat isterinya.

Rahman mendekati isterinya yang masih teresak-esak sendiri. Bahu isterinya diusap lembut.

"Sudahlah tu. Kita doakan yang baik-baik saja buat mereka. InshaAllah Amira dengan anaknya selamat.."

Leha menghamburkan tangisannya di bahu suaminya. "Saya kesal abang, saya kesal! Terkilannya saya tak dapat jumpa Amira sebelum dia pergi. Kalaulah saya tak buat keras kepala mesti saya dapat temankan Amira waktu susahnya..."

"Dah bukan rezeki... doa je lah baik-baik. Ada rezeki lebih, kita pergi KL melawat kawan kamu."

Leha tidak terkata lagi. Hanya bunyi tangisannya kedengaran ditemani dengan bunyi hujan lebat yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.

Masih terselit rasa kesal dan terkilan dalam dirinya kerana memperlakukan sahabatnya sebegitu. Punyalah marahkan sahabatnya kerana berahsia tentang sakit yang ditanggung sampaikan dia tergamak melontarkan kata-kata kesat dan mengenepikan perasaan dan kesakitan yang ditanggung sahabatnya itu.

Kini tiada lagi keriuhan suara wanita itu yang sering buatkan dia terhibur. Tiada lagi teman untuk dia berkongsi cerita remeh dan tempat dia mengadu segala ketidakpuashatinya terhadap si suami.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kini dia hanya mampu menyesali apa yang sudah berlaku. Meskipun tidak banyak yang dapat dia lakukan, diharapkan pertolongan kecilnya yang tak seberapa mampu menyelamatkan nyawa teman sepermainannya sejak kecil.

Cinta Si Dia ✔️Where stories live. Discover now