SEKALI lagi mata cuba dicelikkan, sakit kepala yang datang mendadak buatkan bibirnya meringis kecil dengan dahi berkerut.
"Cik... cik dah sedar? Cik boleh dengar suara saya tak?"
Tamparan suara lembut itu menyedarkan Syaqila bahawa dirinya sedang berada di hospital. Sekali lagi misi yang berdiri sisi katilnya bertanya apabila soalannya tadi tidak berjawab.
Demi untuk memuaskan hati misi itu, soalan yang diajukan dijawab dengan anggukan kecil cuma. Terasa kering tekak hingga payah dia mahu membuka mulut dan menutur sepatah dua kata.
Belum sempat Syaqila mahu meminta air daripada misi, misi itu laju lagi meminta diri untuk memanggil doktor yang merawatnya.
Tekaknya terasa begitu perit dan pahit, bagaikan ada sebongkah kayu tertanam dalam kerongkong. Dalam kepayahan, dia cuba mencapai sebotol air yang terletak atas meja di sisi katil.
Belum sempat hujung jarinya menyentuh botol mineral plastik, ada satu tangan lebih pantas mencapainya lalu penutup botol dibuka.
"Kenapa tak panggil kalau nak minum?" Satu suara menyapa tatkala dia hulur botol minuman tersebut.
Tanpa menjawab soalan yang diutarakan, laju Syaqila meneguk air dengan dibantu doktor lelaki itu. Gelojoh sangat tingkah Syaqila sampai tak menyempat hendak naikkan dulu laras katil, mujur ada doktor yang baik hati bantu dia naikkan sedikit badan untuk meneguk air.
Separuh isian air selamat mengalir masuk ke dalam kerongkong. Tanpa dipinta, doktor lelaki dengan tag nama Dr. Imran mengambil semula botol air dari tangan Syaqila lalu menutup muncungnya.
Berkerut dahi Syaqila dengan perilaku doktor ini yang bermuka serius dan tingkahnya juga agak kasar.
Untuk seketika, keadaan dalam ruang bilik serba putih itu terasa agak kaku dan janggal apabila doktor Imran membuat pemeriksaan tertentu pada tubuhnya tanpa sebarang suara. Langsung tidak mesra hinggakan Syaqila sendiri berasa tidak selesa dengan situasi ini.
Prosedur untuk memeriksa tekanan darah dilakukan, balutan kesan luka pada tangan dan juga bawah mata diperiksa Dr. Imran. Tidak ketinggalan, aras ketinggian botol berisi cecair seperti air, vitamin, antibiotik turut diperiksanya. Kemudian Dr. Firman mempercepatkan sedikit laras titisan yang tadinya perlahan.
'Kena kerja lebih masa ke apa doktor ni, moody je muka dia tak reti nak senyum langsung!' Sempat lagi Syaqila mengomel dalam diam.
Nurse yang sedari awal tadi lagi ada dalam bilik ini turut sama tidak buka mulut. Hanya diam dan memerhati saja setiap apa yang dilakukan Dr. Imran. Atau nurse memang telah diajar untuk tidak membuka mulut tika doktor sedang membuat pemeriksaan?
Dr. Imran mengambil fail rekod data klinikal yang terletak di atas meja di hujung kaki katil lantas mencatat sesuatu di dalamnya. Tidak sampai seminit, fail tersebut ditutup lalu diletakkan semula ke tempat yang sama dia ambil.
"Why am I here?"
"You pengsan, tak sedarkan diri."
"Ada rasa sakit mana-mana? Rasa tak selesa ke?"
Soalan yang diutarakan doktor tersebut cuma dijawab dengan gelengan kepala.
"You tahu dah berapa lama you tak sedarkan diri? Kalau ikutkan jam sekarang, lebih kurang enam jam you tidur." Doktor itu berkata-kata tatkala Syaqila dengan dahi berkerut-kerut menilik tangannya yang berbalut.
"Pengsan, bukan tidur."
"No. You pengsan sekejap, lepas you rushed emergency you sedar and then kembali tidur. Tak ingat?"

YOU ARE READING
Cinta Si Dia ✔️
RomanceSyaqila Adra. Ini kisah Syaqila Adra yang tak pernah merasakan dirinya salah. Segala pendapat manusia disekelilingnya perlu dilenturkan agar sebaris dan senada dengan buah fikirannya. Menyerah kalah dan mengaku kalah bukanlah dirinya. Selagi dirinya...