KEESOKAN harinya, pagi-pagi lagi Syaqila sudah rasa seperti nak bambu orang. Baru ingat nak qada' tidur di hujung minggu tapi Farizah pula sudah terjah dia yang masih lagi membuta dalam bilik. Maklumlah Farizah dah macam adik-beradik dia sendiri, selamba pula keluar masuk bilik ini sesuka hatinya.
"Hmm.. aku mengantuk lagi lah. Tunggu siang sikit tak boleh ke?" Gumam Syaqila dengan mata masih lagi terpejam. Tidak dipedulikan Farizah yang sudah tarik-tarik comforter yang membalut tubuh.
"Tak boleh! Aku nak cerita benda serius ni, mana boleh tangguh-tangguh lagi. Heiii bangunlah! Dah pukul 11 ni tak nak bangun lagi ke?!"
Syaqila mengeluh dalam comforter, matanya rasa sungguh berat hendak dibuka. Farizah ni tak tahu ke abang dia dah mengacau ketenangan dia semalam? Gara-gara luahan tanpa disangka Fakhrul, sepincing lena pun sukar hendak menyapa. Asyik terngiang-ngiang saja lamaran lelaki itu. Ini kalau Farizah tahu agak-agak apa reaksi dia ya?
'Huh! Abang dengan adik sama saja, tak boleh tengok orang senang sikit!' Getus hati Syaqila sedikit berang seraya bingkas dari perbaringan dengan kasar. Panas pula hatinya bila orang main tarik-tarik comforter, kacau orang tidur ni.
Telefon dihidupkan, serta-merta jam pada telefon bimbit terpampang terang depan mata. Rengusan kasar dilepaskan sekali seraya tangan meraup muka berkali-kali bagi menghilangkan sisa kantuk. Farizah yang duduk di birai katil dijeling sekali tajam, geram! Dah pukul 11 apa padahal jam baru masuk pukul 9 pagi! Entah hal apa yang mustahak sangat tak boleh tunggu-tunggu lagi!
"So hal apa kau nak cerita ni? Apa yang urgent sangat sampai tak boleh nak tunggu aku bangun, tak menyempat serang aku ni?" Soal Syaqila terus seraya membetulkan rambut yang kusut dengan jemari.
Sedetik dua detik menanti tapi soalan yang dilontar tadi tetap tak berjawab. Syaqila menarik nafas dalam, cuba menyabarkan diri yang mula terasa makin hendak menggelegak. Tadi beria sangat nak cerita, la ni dah tanya dia buat senyap pula!
"Iza, kau ni kenapa? Apa yang kau nak ceritakan sangat tadi? Kan aku-"
Bunyi esakan halus yang menyapa telinga membuatkan Syaqila menghentikan kata-kata yang terlontar di bibir. Wajah Farizah yang sedang membelakanginya cuba dijenguk sedikit. Iza menangis ke? Takkan lah terasa hati dengan amarahnya sampai nangis beria pula?
"Iza..."
Tangisan Farizah makin kuat berlagu, merambu-rambu air matanya jatuh membasahi pipi. Syaqila terpana. Spontan dia mengensot tubuh mendekat. Bahu sahabat merangkap sepupunya dirangkul dari tepi. Tangan mengusap lembut bahu yang turun naik menahan tangis yang bagaikan langsung tak mahu berhenti.
Seminit dua menanti tapi Farizah masih lagi dalam keadaan yang sama. Kesedihan yang melampau. Tak sampai hati pula mahu mendesak, luluh hatinya melihat Farizah menangis beria macam ni. Dah gaya macam ni drama air matanya, pasti ada benda yang betul-betul serius ditanggungnya. Selama mereka mengenali satu sama lain, tak pernah lagi dia melihat sepupunya yang lebih dikenali dengan sikap periang dan ceria ini menangis sebegini lebat sekali.
Melihat keadaan Farizah yang beransur tenang, Syaqila merenggangkan pelukan. Mini fridge yang terletak di satu sudut bilik dihampiri, lalu satu botol air mineral yang belum berusik di tarik keluar. Tudung botol dibuka sebelum botol tersebut dihulurkan pada Farizah yang masih dengan sisa tangisnya. Tiada lagi air mata, namun hidung yang tak henti berair buatkan Farizah menekap tisu di situ. Dengan matanya yang bengkak lagi...
"Nah, minum ni dulu. Bagi diri tu tenang dulu."
Huluran bersambut. Air diteguk dengan sedikit rakus hampir separuh botol diminumnya.
Syaqila melabuhkan punggung di sisi Farizah. Hilang sudah kantuk yang memberat matanya tadi. Tangannya berlabuh pada peha Farizah. Cuba menyalur sedikit ketenangan pada wanita itu.
YOU ARE READING
Cinta Si Dia ✔️
RomanceSyaqila Adra. Ini kisah Syaqila Adra yang tak pernah merasakan dirinya salah. Segala pendapat manusia disekelilingnya perlu dilenturkan agar sebaris dan senada dengan buah fikirannya. Menyerah kalah dan mengaku kalah bukanlah dirinya. Selagi dirinya...