Bab 20 | Episode Berdarah

1K 108 13
                                    

HARI yang mendatang, Syaqila mengamalkan sikap malas hendak ambil peduli lagi. Meskipun bertalu-talu panggilan masuk daripada Fakhrul, mahupun Tengku Razin semuanya berjaya ditepis dengan satu fungsi 'block'.

Namun gangguan daripada Fahri masih lagi belum berakhir dan bukannya mudah untuk Syaqila bersikap tidak endah memandangkan mereka bekerja di bawah satu bumbung. Fahri pula sememangnya jenis manusia muka tembok dan tidak pernah peduli pandangan orang lain, tapi yang susahnya Syaqila juga yang menanggung akibat. Dijeling staff-staff lain gara-gara perbuatan Fahri yang menjengkelkan. Begitu saja dia dilabelkan sebagai punca yang mengakibatkan Fahri berperangai emo dan 'ketat' muka 24 jam di tempat kerja.

Fahri sekarang yang langsung tidak mahu memberi kerjasama dalam tugasan yang diberikan, Fahri yang sering meninggi suara tika berurusan dengan pekerja lain, Fahri yang buat kerja tidak pernah siap dan macam-macam lagi.

Tidak tahan lagi berhadapan dengan situasi ini, Syaqila bertindak bersemuka dengan Fahri mengharapkan agar lelaki itu berhenti membuat perangai bukan-bukan. Bukannya dia tak tahu, Fahri sengaja berperangai sedemikian semata-mata mahu menunjukkan protes dengannya, entah apa yang dia tak puas hati sangat pun Syaqila tidak tahu lah.

Fahri bersetuju untuk menghentikan protes seperti yang diminta Syaqila, tapi persetujuannya disertakan dengan syarat yang sangat menjengkelkan dan membuatkan Syaqila berasa kian meluat.

Demi sebuah ketenteraman dan ketenangan di tempat kerja, malam ini Syaqila terpacak di sebuah kelab malam seperti yang tertera dalam syarat persetujuan yang dikeluarkan Fahri.

Tanpa menyapa terlebih dahulu, syaqila terus menghempaskan punggung ke sebuah sofa panjang yang sama diduduki Fahri. Lelaki itu tidak bersendirian, dia bersama beberapa kawan lelaki yang rata-rata terdiri daripada golongan orang berada juga.

"Buat apa you call I ke sini?"

Fahri tersenyum sinis. Tidak menyangka Syaqila akur dengan syarat yang dia tujukan.

"Alah chill lah, kau kan nak aku ikut cara kau kenalah ada give and take... takkan aku nak ajak have fun sikit pun tak boleh?"

"Kalau nak have fun I tak perlukan you untuk entertain I, Fahri." Balas Syaqila sarkastik.

Terasa menyesal pula kerana akur pada syarat lelaki itu tanpa berfikir panjang. Kini dia rasa tidak betah mahu berlama lagi di tempat yang bingit dengan musik lantang dan cahaya lampu yang bergemalapan di sudut kawasan meja mereka.

Apa yang lebih membuatkan dia berasa tidak selesa, renungan rakan-rakan Fahri seolah menelanjangi seluruh tubuhnya meskipun dia berpakaian cukup bertutup dengan bertshirt lengan panjang dan jeans panjang ke buku lali. Dari atas ke bawah tubuhnya diperhati sambil sesekali mereka berbisik lalu ketawa sesama mereka. Mahu saja Syaqila cungkil biji mata setiap seorang daripada mereka!

"Ish apa ni!" Syaqila terkejut. Tangannya yang cuba digengam seseorang terus direntapnya kasar.

"Garang betul cousin kau ni Ri." Komen satu suara lalu gamat meja mereka dengan gelak-ketawa yang sangat menjengkelkan.

Sebal sungguh Syaqila rasakan. Kesal tidak terkata kerana terlalu ambil mudah dengan syarat yang dikenakan Fahri. Atau bahasa kasarnya, terkena. Kesal tidak terkata kerana dia terkena dengan permainan Fahri yang sudah tentunya punya muslihat tersendiri. Sudah terbukti lelaki ini seorang yang cukup licik, jadi mengapa dia terlalu bodoh memberi muka lagi? Naif betul dia memikirkan Fahri mungkin tidak sekejam apa yang bermain dalam kepalanya.

"You saja kenakan I kan Fahri? Apa tujuan you panggil I ke sini hah?"

Fahri bersandar santai seraya memeluk tubuh. "Aku dengar, kau nak putuskan tunang dengan Fakhrul. Betul ke?"

Cinta Si Dia ✔️Where stories live. Discover now