HARI INI Syaqila masih lagi bercuti, cuti sakit.
Bunyi enjin kereta menderum pergi meninggalkan perkarangan rumah, tanda papa baru sahaja keluar ke tempat kerja dengan kereta dipandu Pak Dollah. Barulah Syaqila turun ke bawah lalu dengan selamba punggung dihempas pada sofa lalu kaki disilang angkuh menghadap si ibu tiri yang sedang asyik menghadap gadjet ditangan.
Walaupun cara Syaqila kelihatan angkuh depan ibu tirinya, namun dia tetap kalah dengan perempuan itu yang tidak kurang angkuhnya dengan kaki bersilang tinggi atas meja kopi. Dengan night gown yang terikat kemas pada bahagian pinggang, belahan kainnya pula terselak luas sehingga menampakkan pehanya yang halus dan putih melepak.
Spontan Syaqila tertawa kecil. Firzana langsung tak hormatkan Mak Nah yang sedari tadi ulang-alik dari ruang ini ke dapur untuk mengemas meja kopi yang digunakan untuk bersarapan pagi tadi. 'Dasar perempuan tak tahu malu! Perempuan macam ni yang papa nak dia hormatkan sebagai seorang ibu?'
Bukan cara dia menunjuk perasaan secara terang-terangan. Kebiasaannya kalau dia sudah tak suka, dia lebih suka menjauhkan diri dan abaikan saja perasaan itu. Tapi tidak kali ini, mengingatkan keterlanjuran cerita dari mulut Mak Nah semalam, membuatkan hatinya cukup menghangat dengan rasa marah dan jengkel terhadap perempuan dihadapannya.
Perbualan bersama Mak Nah sebaik saja dia tiba ke rumah malam tadi kembali terngiang-ngiang di telinga.
"Mak Nah rasa terkilan, bila dengar Pak Dollah cerita semalam. Tak patut betul Dato' buat macam tu. Katanya dia dah ajak Dato' jenguk wad kamu, dah alang-alang Dato' pun ada ke hospital semalam-"
"Papa pun ada?" Soal Syaqila dengan nada tidak percaya. Kalau papa ada ikut ke hospital, kenapa papa tak jenguk dia yang sedang dirawat di hospital yang sama?
"Ya lah, Dato' pun ada. Bini Dato' tu yang beria-ia kata nak pergi check up kat hospital situ juga, klinik dekat-dekat rumah ni dia tak nak. Mak Nah yang dengar pun, cepat-cepat lah siapkan barang kamu, minta Pak Dollah bawakan, hantar ke kamu."
"Check up? Check up apa? Sakit ke?"
"Hmm.. sakit lah. Sakit buatan Dato' tu." Perli Mak Nah dengan suara meleret panjang.
Tidak sukar untuk Syaqila mengagak perlian Mak Nah. Pasangan itu yang hangat bercinta bagaikan pengantin baru sentiasa, malah Firzana juga perempuan subur yang tidak ada masalah kesihatan, mustahil hubungan percintaan hangat mereka tidak mendatangkan sebarang hasil.
"Papa tak tau kot Qila warded..." Ujar Syaqila sekadar menyedapkan perasaan sendiri.
"Heh mustahil lah tak tahu. Bila nampak Mak Nah hulur beg baju kamu pada Pak Dollah, Dato' dah tanya beg apa tu. Pak Dollah pun dah cakap, dia dah ajak Dato' lawat kamu tapi Dato' tu diam je. Ikut sangat bini dia yang saja merengek mengada-ngada macam orang baru dapat laki huh!" Cemuh Mak Nah geram.
Tika ini jam sudah pun menunjukkan pukul 1 pagi, orang besar rumah sudah pun masuk tidur. Tidaklah dia takut-takut hendak bercerita pun. Teruja dia apabila menyambut kepulangan Syaqila setelah berhari tidak bersua muka. Simpati pun ada apabila melihat anak tuan rumahnya pulang dari hospital dengan memandu sendiri. Kalau lah dia tahu, tentu dia akan gesa Pak Dollah untuk pergi jemput di hospital.
"Bini dia? Apa perempuan tu buat?"
"Alah ada lah tu apa yang dikatanya tu, mual konon. Tak menyempat ajak Dato' balik sampai nak jenguk kamu pun tak sempat. Sajalah tu buat perangai tak semenggahnya."
"Apa yang kau gelak-gelak? Ada benda kelakar ke?"
"I dengar perut you dah berisi? Tahniah." Ucap Syaqila sambil-lewa.

YOU ARE READING
Cinta Si Dia ✔️
RomanceSyaqila Adra. Ini kisah Syaqila Adra yang tak pernah merasakan dirinya salah. Segala pendapat manusia disekelilingnya perlu dilenturkan agar sebaris dan senada dengan buah fikirannya. Menyerah kalah dan mengaku kalah bukanlah dirinya. Selagi dirinya...