Perempuan (MUSIM 2)

11 2 0
                                    

Kata-kata mereka ini meletakkan diriku bagai orang dungu. Sudahlah sebentar tadi Cikgu Qistina mengingatkan aku agar menjauhkan diri daripada Fizi, kini mereka pula.
"Booking? Siapa yang booking?"
"Anak dara yang dari dulu dok simpan perasaannya dekat Fizi. Tapi kesian dia. Fizi asyik buat tak tahu aje dekat dia."
jelas Kamariah pula sambil terus ketawa.
Aku mengerutkan dahi. Pening kepalaku dengan sikap dan telatah mereka. Aku benar-benar tidak mengerti.
"Tengok tu... berkerut-kerut dahi dia," ejek Kamariah sambil menjuihkan bibirnya.
Serentak ketiga-tiganya ketawa.
"Janganlah macam ni. Dhia sorang aje yang tak tahu apa yang korang maksudkan ni. Ceritalah betul-betul. Tapi jangan ketawa macam ni," pintaku seolah meminta simpati.
"Okey, Okey," ujar Kamariah sambil merapatiku. Yang lain hanya mengekori dengan mata mereka pada kami berdua.
"Dhia tahu siapa Cikgu Qistina?" tanya Kamariah sambil duduk dengan selesanya di sebelahku.
Bayi-bayi yang seramai 15 orang berusia di antara satu hingga tiga tahun sedang bermain di waktu ini sebelum mereka diberikan makanan tengah hari. Kami mengambil masa ini untuk berbual-bual seketika. Aku pula, lebih senang berada bersama kawan-kawan di sini biar pun aku boleh pulang awal dan berehat-rehat sahaja di rumah.
"Cikgu Qistina? Kenapa?" tanyaku perlahan.
Kamariah tersengih sambil menjeling pada Kak Cham. Yang lain menekup mulut seolah-olah cuba menyembunyikan tawa. "Dia syok kat Fizi, tapi Fizi tak layan dia pun. Dulu adalah sekejap Fizi bawak dia keluar dating. Alah, sekali dua aje. Tapi dia perasan habis dekat Fizi."
"Iya ke? Takkanlah dia perasan kot sebab tadi macam-macam nasihat dia bagi kat Dhia."

"Ha! Bila ada orang baru masuk, dia tak boleh duduk diamlah. Biasalah Cikgu Qistina tu. Dia burukkan Fizi, tapi sebenarnya dia tak mahu Fizi keluar dengan orang lain."
Giliran Mai pula bercerita.
Aku terkedu. Ada beberapa perkara yang aku masih tidak faham.
"Kelmarin masa Dhia ke sini untuk temu duga, Dhia nampak Fizi dengan seorang perempuan. Diorang dalam kereta. Nampak terlebih mesra. Mungkin itu makwe Fizi, kot?"
"Rambut perang?" tanya Kak Cham.
Aku mengangguk. "Lawa orangnya," komenku.
"Itulah Dee. So far, perempuan tu yang selalu kitorang nampak dengan Fizi. Tapi tak kisahlah siapa dengan Fizi pun. Macam-macam perempuan kitorang tengok Fizi bawa ke hulur ke hilir. Macam-macam rupa, macam-macam bentuk,"
"Amboi. Sedapnya mengata orang. Tak baik cakap macam tu. Ingat, nasib awak tu belum tahu lagi." Kak Cham mengingatkan. Takut nanti apa yang diperkatakan akan terjadi pada diri sendiri.
Aku tersenyum lebar.
"Alah Kak Cham," balas Kamariah pula. Hilang nada mengejeknya sebentar tadi. "Kitorang bukannya mengata. Kitorang cakap-cakap biasa aje. Kak Cham pulak yang terasa hati,"
"Tak apalah kalau korang berdua dah cakap macam tu. Kak Cham cuma nak ingatkan saja. Takut pula sebab mulut, badan korang berdua yang binasa."
"Kitorang tahu siapa diri kitorang, Kak Cham. Kitorang berdua ni pun bukannya nak mengumpat kosong. Saja nak bagi tahu dekat Dhia siapa yang Fizi sebenar. Jangan esok-esok Dhia pula yang jadi mangsa Fizi," ujar Mai penuh ikhlas.
"Insya-ALLAH. Tak ada apa-apa yang akan berlaku." Giliranku kembali bersuara. "Dhia pun sekejap aje dekat sini. Pejam celik, pejam celik, dah tiga bulan."
Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata Fizi tadi.

'Kita tengoklah apa yang akan terjadi dalam masa tiga bulan ni.'
Aku rasa pelik dengan kata-katanya. Bila aku kenangkan kembali saat itu, terasa suaranya itu penuh keazaman.
"Hmm... kau belum kenal lagi Fizi tu, Dhia. Sekarang bolehlah kata tak kisah atau tak peduli. Tapi bila lelaki tu datang nanti, bergetar jantung dibuatnya. Kak Cham yang dah kahwin ni pun, masih lagi berdebar bila dia datang jumpa Kak Cham," seloroh Kak Cham.
Mai dan Kamariah ketawa mendengar usikan Kak Cham. Aku tersenyum sahaja. Ya, betul kata Kak Cham. Setiap kali Fizi datang dan menghampiri, jantungku berdegup kencang sekali. Tidak pernah ada lelaki lain sebelum ini yang membuatkan keadaanku sebegitu. Dengan Fizi, itulah kali pertama perubahan begitu ketara pada diriku.
"Fizi tegur Dhia hari ni?" tanya Mai setelah sekian lama membiarkan teman-temannya menyoalku.
Aku mengangguk.
"Apa dia cakap?" tanya Kak Cham penuh minat.
Mai dan Kamariah turut berminat ingin tahu.
"Dia tanya Dhia budak baru ke," jawabku berbohong.
"Tak tanya lain?" tanya Kak Cham lagi.
Aku mengerutkan dahi memandang mereka semua.
"Tanya apa?"
"Ajak keluar makan ke... ajak teman dia pergi beli barang ke sebab kawan-kawan dia semua tak ada dekat di sini ke, atau apa-apa ajelah. Itu semua taktik dia nak memikat!"
Aku memandang wajah-wajah mereka yang separuh melopong menantikan jawapanku.
"Tak ada pun," bohongku.
Kak Cham menyampuk. "Tapi kalau Fizi betul-betul ikhlas dan jujur dengan Dhia, apa salahnya? Itu pun kalau dia ada hati dengan Dhia. Lainlah kalau Dhia nak dijadikan makwe spare dia yang entah nombor berapa, itu memang tak patut."

Aku hanya melontarkan senyuman hambarku pada mereka. Aku rasa sungguh aneh bila diriku dijadikan andaian di antara aku dengan Fizi. Eh... eh... kenapa aku pula yang dijadikan isu hari ini? Tak rela!
"Dhia rasa, pelung Cikgu Qistina lebih cerah dibandingkan dengan Dhia ni. Itu belum termasuk lagi pramugari-pramugari yang dia kenal dekat tempat kerjanya. Kalau nak diikutkan, Dhia jauh tercorot ke belakang. Entah-entah langsung tak ada dalam list dia"
Jawapan aku mendorong mereka ketawa lagi.
Aku bangun dan berjalan menuju ke tingkap sambil membawa seorang bayi dalam dukunganku. Dari jauh, aku lihat Fizi sedang bertukang membina pagar kecil untuk pendidikan sains di bahagian belakang bangunan. Lagaknya selamba dan bersahaja. Daya tarikannya sungguh memikat walaupun dalam keadaan dia berpeluh dan berpakaian serba ringkas dan agak selekeh.
Apakah dia benar-benar kaki perempuan sebagaimana yang digambarkan tadi? Jika benar, tiada gunanya aku membiarkan diri berada di awangan setiap kali melihatnya terutama sekali bila dia datang padaku.
Fizi mengesat peluh yang memercik di dahi. Kasihan... Kenapa buat kerja di bawah terik matahari? Dalam hati, aku berasa simpati terhadap dirinya.
Fizi melihat hasil usahanya tadi dengan teliti. Tiba-tiba, pandangannya jauh pada aku yang sedang mencuri pandang ke arahnya. Aku tidak dapat melarikan pandanganku, jauh sekali untuk beredar dari situ. Fizi tersenyum memandangku dengan gaya menggoda. Dadaku berkocak. Mungkin benar kata mereka. Fizi mungkin sedar kelebihan yang ada pada rupa parasnya. Itulah senjata lelaki hidung belang sepertinya untuk memikat perempuan.
Aku paksa diriku beredar dari situ.
Kak Mira tiba-tiba muncul dari arah dapur.

"Ha, makanan dah siap. Bila nak bagi budak-budak ni makan? Nanti, kalau budak-budak ni report dekat mak bapak diorang yang kita lambat bagi makan, mengamuklah si Laila tu."
Kak Cham pantas bangun. Kelihatannya seperti bersalah. "Itulah korang ni semua. Ajak lagi Kak Cham berborak sampai terlupa nak tengok jam. Aduhai, laparlah anak-anak aku semua ni."
Kak Mira menggeleng sambil memerhati langkah mereka dengan wajah tidak puas hati. Kemudian dia memalingkan wajahnya padaku.
"Diorang berdua ni, kalau dilayan berborak, memang tak pernah habis. Ada aje cerita yang diorang buat."
Aku ketawa kecil. "Biasalah Kak Mira. Err... ada apa-apa yang boleh saya tolong? Boleh saya bagi budak ni makan?"
tanyaku sambil menunjukkan bayi di pangkuanku sekadar memujuk kemarahan Kak Mira.

My Classmate Adores MeWhere stories live. Discover now