31

22.6K 850 32
                                    

Sufi mengemaskan lipatan tudung buat kali terakhir sambil berdiri di hadapan cermin. Setelah berpuas hati dengan keadaan tudung tersebut, dia segera mengambil sling bag miliknya lalu berlari anak untuk turun ke bawah.

Noah sudah pun bersiap sedia menunggu Sufi di ruang tamu sejak dari tadi. Senyumannya terus melebar sebaik sahaja melihat Sufi berbaju kemeja blouse berwarna maroon dan bertudung bawal bercorak yang senada dengan warna bajunya. Isterinya memang tampak manis di matanya saat ini.  

"Jom, abang. Kita dah lambat ni."

"Sekejap."

Noah menahan langkah isterinya lalu menarik Sufi ke dalam dakapan. Tindakan Noah secara tiba-tiba itu membuatkan Sufi terus terpinga-pinga.  

"Abang? Abang okey ke tak ni?" soal Sufi. Dia cuba untuk meloloskan diri daripada pelukan Noah itu namun gagal. Malah, Noah semakin mengeratkan pelukan mereka berdua. 

"Tak payah pergilah hari ni." bisik Noah.

"Eh? Tapi abang sendiri yang izinkan Sufi pergi sana. Abang janganlah mungkir janji."

Sufi merenggangkan pelukan mereka berdua sambil menayangkan wajah cemberut. Geram pula apabila Noah secara tiba-tiba menarik keputusan untuk membenarkan dia menghadiri majlis hari lahir di Yayasan Permata itu. Padahal mereka di yayasan itu pun turut menjemput Noah untuk turut hadir ke majlis tersebut.  

"Sayang cantik sangat. Abang tak nak bagi orang lain tengok sayang macam ni."

Sufi lantas menepuk perlahan dahinya. Aneh betul perangai suaminya ini. Nak cemburu dengan siapa pun entahlah. Majlis itu sudah terang lagi bersuluh dibuat kerana ingin menyambut hari lahir kanak-kanak yang tinggal di yayasan itu.

Takkanlah dengan kanak-kanak pun hendak cemburu juga?

"Abang ni... Kat sana cuma ada budak-budak aje. Jomlah. Sufi dah janji dengan Kak Seri nak datang dan tolong apa yang patut. Kesian Kak Seri yang tengah sarat tu buat kerja seorang diri. Sufi nak tolong Kak Seri. Bolehlah, abang. Hmm?"

Sufi merangkul perlahan pinggang suaminya itu sambil meletakkan dagu di atas dada Noah. Dia cuba mencebik sambil menayangkan riak wajah sedih. Moga-moga Noah termakan sikit dengan pujuk rayunya itu. 

Noah tidak dapat menahan diri dari terus mengukirkan senyuman. Dia lantas mengucup sekilas bibir merah itu sambil menekup kedua belah pipi Sufi dengan tangannya.

"Emm, ingat comel sangatlah kalau buat muka macam tu?"

"Mestilah comel. Sufi tahu abang pun suka juga."

Noah hanya tersengih. Sufi memang pandai betul pujuk hatinya. Dia mana boleh melihat Sufi dalam keadaan seperti ini. Secara automatik hatinya turut cair sama.

"Iyalah. Nasib baik sayang dah berjanji dengan Kak Seri. Kalau tidak, memang sekarang ni abang culik sayang pergi jauh dari sini."

Tanpa berlengah lagi, Noah segera menarik perlahan tangan isterinya lalu melangkah menuju ke arah kereta. Tidak lama kemudian, kereta yang mereka naiki keluar dari perkarangan rumah tersebut dan mula membelah jalan raya menuju ke destinasi.

*****

"Kak Sufi!"

Jeritan beberapa orang kanak-kanak memenuhi ruang yayasan itu. Mereka kelihatan teruja sebaik sahaja mengetahui ketibaan Sufi di situ. Masing-masing turut berlari mendapatkan wanita tersebut.

Dari jauh, Sufi sudah siap sedia melutut sambil mendepakan tangannya untuk memeluk kanak-kanak tersebut. Tidak dinafikan dia juga amat merindui mereka semua setelah beberapa bulan tidak menjejakkan kaki ke sini.

Kau, Takdir Terindah (C)Where stories live. Discover now