Bab 9

1.4K 91 15
                                    

Satu demi satu perabot dibawa masuk ke dalam rumah. Disusun rapi di ruang tamu, bilik-bilik dan dapur. Sofa yang cukup empuk berwarna hitam likat itu menjadi tempat dia merehatkan badan yang terasa sengal dan lesu. Mungkin Hayfa tidak akan suka dengan warna sofa ini kerana Hayfa kelihatan tipikal perempuan yang sukakan warna merah jambu. Tapi, dia bukannya reti nak memilih warna. Hidupnya hanya ada hitam dan putih.

Matanya merenung sekeliling ruang tamu. Bolehlah. Selesa. Boleh jadi tempat dia melepak untuk menyaksikan perlawanan sukan atau Hayfa bersengkang mata untuk siapkan kerja kursus? Wah, Qairul dah berangan jauh sangat ni.

Dia mula jatuhkan kepalanya ke belakang pada bahu sofa. Matanya merenung kipas yang ligat berpusing itu. Dia sedang menghitung waktu untuk menjadi milik orang.

Tangannya diangkat lalu ditilik lama. Cincin yang tersarung itu muat elok pada jari manisnya. Tidak longgar, tidak ketat. Tanda dia sudah berpunya. Teringatkan Hayfa, bibirnya terukir senyum. Lengannya terus menindih mata sendiri. Terhibur apabila teringat bahawa Hayfa yang meminang dia. Berani betul.

Memanglah tidak salah di sisi agama. Sedangkan Saiditina Khadijah juga melamar Baginda Rasulullah SAW.

Tapi, hati ini masih kosong tidak diisi. Nama perempuan itu masih tersisa. Susah betul untuk dia buang. Bagai tatu kekal. Harapnya, Hayfa boleh menjadi rawatan laser untuk mengikis nama itu keluar dari hatinya.

Dia mengeluh sendiri. Dia terus keluarkan telefon dari poket seluarnya lalu menghantar mesej untuk meminta alamat rumah Hayfa. Dia sudah berniat untuk membawa gadis itu keluar makan bersama. Lagipun, dia tak tahu kedai makan mana yang sedap di sini. Kemudian, dia terus bangkit bersama kunci kereta dan kunci rumah.




+Aku nak location rumah kau.

Terkejut dia apabila dia menerima mesej begitu. Kering! Tiada salam, tiada mukadimah. Qairul terus mengarahnya untuk berikan lokasi rumah sewanya. Dia mula menggaru pipi yang terasa gatal. Tanpa menunggu, dia terus berikan lokasi rumahnya.

Jangan cakap... Qairul nak bawa dia keluar jalan-jalan?

Tak semena, bibirnya sudah mengukir senyuman lebar. Salahkah jika dia berharap? Perlukah dia bersiap sekarang? Logiklah, kan? Kenapa Qairul minta lokasi rumahnya kalau bukan nak bawa dia keluar?

Hayfa terus berlari untuk masuk ke dalam biliknya. Pintu almari terus dibuka lalu tangannya membelek pakaian yang sedia ada. Semuanya pakaian yang dia pakai untuk ke kelas atau pakaian formal.

Dia mula mengeluarkan sehelai dres labuh berwarna putih dan tudung bawal satin corak bunga yang berwarna kelabu. Cepat-cepat dia menukar pakaian, menyolek wajahnya dengan solekan tipis. Cukuplah ala kadar. Dia tak nak solekannya terlalu melampau. Cuma, dia terlalu teruja untuk keluar dating dengan Qairul.

Ya, anak-anak. Konfiden itu penting.

Hayfa mula memandang wajahnya. Tubuhnya juga dipandang lama. Hmm, dah cantik! Apabila dia berpuas hati dengan penampilannya, Hayfa terus mencapai beg tangannya lalu bergerak ke arah ruang tamu. Menunggu Qairul menghantar mesej untuk menyuruhnya keluar dari rumah.

Kalau Qairul tak datang macam mana?

Ah, tak akanlah Qairul minta lokasi rumah tak bersebab kan? Kan?

Tapi, kalau dia tak datang, macam mana?

Hayfa bungkam sendiri. Matanya mula melirik ke arah jam di dinding. Semoga Qairul betul-betul datang menjemputnya seperti yang dia harapkan. 

Cara Untuk Jatuh Cinta (COMPLETED)Where stories live. Discover now