Asad tenung siling bilik lama sambil ayat Maryam ketika adiknya menelefonnya tadi berlegar-legar di segenap ruang mindanya."Adik ajak Mawar datang rumah esok. Dia ada kata nak tengok abang. Dah lama tak jumpa jadi rindu pula."
"Datang rumah.."
"Esok.."
"Tengok abang.."
"Jumpa.."
"Rindu.."
"Rindu.."
"Rindu.."
"Rindu.."
Terngiang-ngiang perkataan 'rindu' tersebut di kepalanya. Dah kenapa Mawar nak rindu dia pula? Maryam tak bagitahu ke yang abang dia ni sekarang dah cacat? Ke Maryam malu nak bagitahu ke orang?
Eh tapi kalau Maryam tak bagitahu pun, Mawar tetap akan nampak esok kalau dia datang. Jadi bukan sebab Maryam belum bagitahu. Tapi memang Mawar yang datang nak jumpa. Sebab 'rindu'?
Asad geleng kepala tidak percaya. Dia berharap bahawa ini merupakan mimpi semata. Takkanlah dia nak tunjuk pada orang akan kekurangannya. Lebih-lebih lagi pada Mawar. Tetapi ketika Maryam menghubunginya tadi, dia tak sempat nak menghalang perbuatan adiknya itu. Jadi sekarang, dia hanya mampu untuk tunggu. Tunggu sehingga matahari masuk tidur dan bulan memulakan syif malam. Kemudian tunggu untuk matahari habis berehat dan bersedia untuk melaksanakan tugasnya pada siang hari.
Namun, jika sekadar tunggu, hati dia takkan tenang. Kakinya dipukul kuat. Masih ada rasa, tetapi sedikit. Sedangkan dia sudah memukul kakinya sehabis tenaga. Apakan daya, kaki sudah letih untuk berbakti. Maka dia jadi lesu untuk cuba memulihkannya semula.
"Ya Allah, sekiranya dia tidak suka akan keadaan aku yang sekarang, engkau bawalah dia jauh daripada aku sebelum dia meluahkan kata-kata geli pada aku. Kerana kejujurannya pasti akan memberikan aku rasa sakit. Kau jadikanlah dia orang yang bermuka dua sekiranya dia tidak suka akan aku. Aku reda selagi mana kata-katanya tidak menyapa pendengaranku."
Yang Asad harus sediakan saat ini ialah hati. Meskipun dia tahu Mawar bukan seperti orang yang akan merasa jijik dengan orang kurang upaya, tetapi kepalanya tidak dapat berhenti daripada memikirkan yang tidak-tidak.
Maaf kerana telah bersangka,
kerana hati ini jadi takut,
maka ia cuba untuk bersedia
pada yang paling teruk akan kejadiannya..
.
.
.Maryam siap-siap menyediakan makanan tengah hari untuk tetamunya yang bakal tiba pada hari ini. Asad sudah dia berikan kata pendahuluan. Jadi dia berharap agar abangnya juga turut bersedia dan menerima tetamu mereka dengan hati yang terbuka.
Tadi dia sempat menjenguk si abang di dalam bilik bacaan. Lelaki itu sedang membaca buku. Buku cerita kanak-kanak sebenarnya. Entah kenapa itu jadi hobi baharu si abang. Gamaknya lelaki itu mahu berehat dari dunia realiti dan mengenal dengan perkara fantasi yang tidak akan menyakiti diri.
Sengaja dia tidak memberi abang peluang untuk membalas kata-katanya semalam kerana dia tahu abang pasti akan membangkang habis-habisan perbuatannya itu. Lagi satu sebab ialah kerana Mawar dan Uqael ada di situ ketika dia menelefon Asad. Jadi dia tidak mahu Mawar terdengar sekiranya Asad mengatakan ketidaksukaan lelaki itu akan kedatangan sahabatnya itu ke rumah mereka. Dia tak nak Mawar rasa seperti tidak dialu-alukan oleh Asad. Tapi sempatlah dia kena pukulan manja Mawar sebab dia pandai-pandai kata kat Asad yang Mawar rindu dekat abang dia tu.
Asad dengan payahnya menolak roda kerusinya untuk masuk ke dalam ruangan dapur. Kasihan pula kalau nak biarkan si adik buat semua kerja memasak sedangkan tanggungjawab di rumah itu sepatutnya dibahagi rata antara mereka berdua.
YOU ARE READING
Teruntuk Cinta [C]
Teen FictionTeruntuk dia yang bernama Mawar, aku gelarkan dia sebagai cinta. Buat pertama kalinya perasaan ini ku rasa, Maka pada-Mu Tuhan aku meminta, Jadikan ini cinta yang mulia, bukan yang menderhaka dan merosak jiwa. Sekiranya aku terleka pada yang nama...