Bab 12 - Achlys

5 3 0
                                    

Sebulan sekali Nadim akan mengemas rak bukunya. Paling tidak pun cuma sapu-sapu habuk guna bulu ayam untuk menghilangkan debu dan habuk. Tapi beberapa bulan kebelakangan ini dia agak kesibukan dengan pelbagai kerja yang tiba-tiba bertimbun dan masalah peribadi yang sedikit sebanyak mengganggu rutin hariannya. Secara tiba-tiba pula syarikat penerbitannya yang baru muncul di mata dunia ini mendapat perhatian dan rezeki yang melimpah ruah setelah berjaya memenangi kategori penerbit buku terbaik beberapa bulan lepas.

Pada masa itu jugalah dia dilanda kekacauan emosi akibat rumah tangga yang dibina hampir dua tahun itu bergoyah.

Nadim menyusun semula buku-buku yang bertaburan ke rak. Maklumlah mereka suami isteri ulat buku. Maka berbagai jenis buku memenuhi ruang kecil yang dijadikan sebagai perpustakaan itu. Buku ilmiah, sains fiksyen, thriller, fantasi, koleksi puisi dan sajak dari pelbagai pengkarya yang berjiwa seni dan berbakat disimpan dengan baik. Nasib baiklah mereka cuma tahu dua bahasa, Bahasa Ibunda dan Bahasa Inggeris. Kalau mereka mampu berbahasa lebih dari lima negara pasti koleksi mereka akan bertambah lebih menarik dan meriah.

Sedang Nadim sibuk menyusun semula buku-buku di rak mengikut tertib, sebuah buku jatuh dari pegangannya. Segera dia menunduk untuk mengutip buku itu. Tapi dia membatu secara tiba-tiba setelah melihat kulit buku yang begitu familiar di pandangan mata.

Hati dihuni perasaan nostalgia dengan kehadiran buku itu.

Dia mengutip buku itu dan meneliti kulitnya sambil mengusap-usap menyapu habuk yang menyaluti kulit buku nipis hasil karya seorang penulis bijaksana.

Nadim menyelak helaian muka surat perlahan-lahan sehingga ke satu bahagian yang menyimpan sehelai nota kecil.

Serta-merta senyuman ikhlas dari hati diterbitkan dibibir.

......

2017

Tangan kirinya sibuk menjinjing beg plastik yang berisi peralatan melukis. Manakala lengan kanan dikepit rapat ke badan supaya drawing block bersaiz A2 itu tidak jatuh.

Elaun bulanan dia habiskan ke peralatan melukis walaupun dia bukan pelajar jurusan seni. Hanya sekadar hobi untuk menghilangkan kebosanan dan melepas perasaan. Segala yang bersarang di dada biar dicorengkan ke layar putih bersih itu. Layar kanvas itu mampu memotret emosi yang dia bawa. Membentuk segala jenis lakaran yang dipandu ke berus dan mencipta keajaiban. Tidak boleh difahami oleh jiwa yang kosong dan mata yang pudar, tidak boleh ditafsirkan oleh fikiran sempit dan hati yang kecil. Hanya difahami mereka yang menghargai seni itu.

Kalau umi dapat tahu dia boros berbelanja pada perkara yang tidak berkaitan pasti teruk dia dileteri lagi. Tapi inilah kebaikan duduk asrama, tiada kaki pengadu domba yang membingitkan telinga. Pengadu domba itu bernama Mawar. Nama bunga yang wangi tapi hati tak sewangi mana.

Kaki yang sedari tadi langkah mengikut rentak irama tiba-tiba terhenti ditengah-tengah jalan. Seperti ada magnet yang menarik dia bersama suara-suara halus yang berbisik. Tidak, dia bukan dipukau makhluk halus tapi oleh pemilik kedai buku yang mendirikan kedainya berdekatan kedai peralatan seni. Kedudukan yang strategik di tengah-tengah mall di mana orang awam lalu-lalang untuk mencuci mata. Peminat buku seperti dia pasti antara yang termakan hipnosis sehinggakan mereka sanggup melangkah masuk ke dalam walupun ketika tiada wang saku sehinggakan akhirnya mereka keluar juga dengan sebuah buku di tangan.

Dia berfikir sejenak, tak salah kalau masuk tengok-tengok saja. Lagi pula semua buku yang dinantikan telah pun diterbitkan dan dia berjaya merebut setiap satu naskhah dengan berjaya.

She as HerWhere stories live. Discover now