Kaki Absarina berjalan menelusuri koridor di Universiti Malaya. Semakin laju dia berjalan, semakin laju bunyi tapak kaki di belakangnya.
"Relaks, tenang, dan sabar. Buat tak tahu je," bisik Absarina ke telinganya sendiri.
Tiba-tiba deringan telefonnya berbunyi. Nombor yang tidak dikenali mendail telefon dia. Absarina masih berjalan dengan tenang. Panggilan itu dijawab dengan perasaan ragu-ragu.
"Hello?" Suara Absarina menyapa gerangan manusia di sebalik nombor yang tidak dikenali itu.
"Hello, princess," jawab suara garau itu.
Kepala otak dia princess, siapa pula yang mendail dia ini? Dia melihat ke arah kiri dan kanan. Kosong. Tiada sesiapa.
"Kau cari aku?" tanya suara itu lagi dari telefonnya.
Absarina berjalan dengan laju. Dia mendongakkan kepala dan jelas papan tanda bangunan kolej pertama iaitu ASTAR menggamit pandangannya.
"Kau jalan cepat-cepat ni nak pergi mana, hm? Kau takut dengan aku ke?" soal suara garau itu yang diselangi gelak yang sinis.
Tak guna! Lelaki mana pula yang ekori Absarina ini?
"Ting!"
Bunyi notifikasi Whatsapp dari iPhone 7 milik Absarina mengejutkan gadis itu. Aplikasi itu dibuka lalu pandangannya dipenuhi dengan gambar dirinya yang dihantar oleh nombor yang tidak dikenali itu.
"Aku nampak kau," kata lelaki itu.
Absarina lupa untuk mematikan panggilan tadi. Tambahan lagi, bunyi notifikasi dari aplikasi itu mula membanjiri kebingitan dalam kesunyian waktu senja.
Dia mematikan panggilan dari nombor itu lalu terus berlari ke kolej kediamannya. Apabila matanya terpandang ke arah skrin telefon, terpampang gambar dirinya yang sedang berlari.
"Banyaknya gambar! Apa ni?" Absarina mula panik, nafasnya mula tidak menentu.
Gambar yang dihantar menunjukkan bahagian belakangnya, bermakna lelaki itu sedang mengejarnya dari tadi.
"Takut nak pusing belakang?" soal suara garau itu dari belakangnya.
Absarina berlari ke arah tangga kolej dengan laju. Dia melangkah satu-persatu anak tangga ke tingkat dua.
Kedengaran suara lelaki itu bergema di kawasan kolej kediamannya, "Keep running, princess."
Absarina tidak mengendahkan lelaki itu, di segera masuk ke dalam biliknya.
"Ijah," panggil Absarina. Suaranya mula menjadi serak menandakan dia sedang panik.
Hafizah, iaitu rakan sebiliknya terkejut melihat keadaan Absarina yang sedang ketakutan dan panik.
"Rin, kau okay tak? Kenapa ni?" tanya Ijah sambil menenangkan Absarina.
"Kau ingat tak, lelaki tu," katanya sambil menarik nafas sedalam-dalamnya.
Lelaki itu sememangnya sudah lama menghendap Absarina. Sudah sekian lama dia diganggu oleh lelaki itu. Tetapi Absarina tidak pernah memaklumkan hal ini kepada unit keselamatan universiti. Bahkan, dia tidak pernah bercakap tentang hal ini kepada ibu bapanya. Hanya Hafizah yang mengetahui tentang masalah dia sekarang ini.
"Lelaki gila tu? Dia buat apa lagi, Rin?" soal Hafizah. Nada suaranya jelas menunjukkan yang kawan baiknya sedang marah. Menggigil suara Ijah menahan amarah.
"Dia kejar aku. Aku takut, Ijah. Aku tak boleh bernafas tadi. Nasib baik aku sempat sampai dekat bilik," jelas Absarina.
Absarina sedar yang dia sedang mengalami anxiety attack. Nafasnya terasa sungguh pendek, badannya lemah, dan menggigil.
"Rin, kau balik kampung minggu ni, kan?" soal Hafizah.
"Ya, aku balik sana minggu ni. Kenapa?"
"Kau balik, kau beritahu keluarga kau pasal ni," pesan Hafizah dengan tegas. Dia tidak sanggup lagi untuk melihat Absarina menderita kerana hal ini.
Absarina hanya mengangguk perlahan.
Hafizah memeluk gadis itu dengan erat. Dia cuba untuk menenangkan Absarina.
Absarina perlahan-lahan kembali tenang selepas beberapa minit.
Kini, hujung minggu mula menyapa jasad Absarina. Dia sudah berada di Stesen Bas Kuala Terengganu. Absarina disambut oleh keluarganya. Pelukan yang erat hinggap di badannya, membuatkan dia berasa cukup selamat dan selesa.
Tayar kereta milik ibu bapanya bergolek laju untuk pulang ke rumah mereka.
Tidak lama kemudian, papan tanda 'Kampung Kuala Telemong' terpampang di pandangan matanya.
Hari demi hari berlalu, perbincangan berlaku. Maka, keluarga Absarina memutuskan supaya dia menangguhkan semester ini ke tahun hadapan.
Surat doktor, surat tunjuk sebab, dan surat permohonan penangguhan semester diemelkan ke pihak universiti.
'Aku perlu jadi kuat untuk diri aku. Tapi, aku tak tahu bagaimana aku nak hadap hal ini. Apa salah aku sampai aku kena hadap masalah ni? Serabutlah! Penat! Kenapa aku?' Absarina bermonolog bersendirian di dalam hatinya. Kejam sungguh monolog untuk dirinya.
Mentalnya kini kepenatan. Jasadnya lemah. Tetapi dia tahu, benda seperti ini bukan penghalang untuk dia meneruskan kehidupannya.
Biarkan berlalu, akhirnya menjadi abu.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐃𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 | 𝐎𝐆
General Fiction'Petunjuk jalan, Jauh dan kelam, Pasu yang pecah perlu ditanam, Jangan biar dendam bersulam.' Absarina Nelliya, seorang gadis yang telah menangguhkan semesternya di Universiti Malaya kerana masalah peribadinya. Seorang yang dipenuhi dengan aura pos...