"Ringggggg!"
Bunyi alarm daripada telefon mengejutkan Absarina. Kus semangat! Terkejut gadis itu. Lalu, Absarina meregangkan segala sendi-sendinya dan duduk di hujung katil. Telefon diambil dari meja kecil di sebelah katilnya.
Terbeliak mata gadis itu. Jam menunjukkan pukul 8:00 pagi! Dia sudah lambat. Mandi pun belum, solat Subuh pun dia sudah terlepas. Sudahlah hari ini dia sudah mula bekerja. Habislah ...
Rin bangun dengan segera ke tandas untuk mandi.
Mak Su Ina hanya memerhatikan gelagat gadis itu dalam diam.
Usai sahaja dia membersihkan diri, solat Subuh terus dia qada'.
Rambutnya diikat kemas dan disarungkan tudung bawal berwarna merah jambu lembut. Telekung dilipat kemas di atas katil. Gadis itu bergegas keluar dari bilik.
"Rin pergi kerja dulu, mak su. Assalamualaikum," katanya sambil menyarungkan kasut sukan di muka pintu.
Tiada balasan daripada mak su, padahal mak su hanya duduk di sofa di belakangnya. Perkara ini sangat pelik bagi dirinya.
Bukankah mak su ini lemah lembut orangnya?
Peramah?
Ke manakah semua sifat itu? Bahkan salam yang diberi tidak dijawab.
Kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci. Lalu dipulaskan untuk menghidupkan motosikal. Gadis itu terus hinggap di tempat duduk, mengundurkan kenderaan itu. Clutch ditarik lalu minyak dipulas perlahan.
Di dalam mindanya hanya mengatakan dia akan dimarahi dengan teruk oleh Kak Manis. Tetapi, apa yang pelik, kebiasaannya Kak Manis akan ketuk pintu bilik di waktu pagi. Memang sengaja Kak Manis tinggalkan dia atau sepupunya itu fikir dia masih bercuti?
Ah, hiraukan! Yang penting kena sampai kafe secepat mungkin.
Motosikal diparkir di parkir yang disediakan di laluan tengah antara deretan kedai. Absarina segera turunkan tongkat. Dia berlari secepat mungkin ke dalam kafe itu, Manis's Cafe.
"Assalamualaikum," sapanya.
Absarina bergerak ke arah belakang kaunter, apron disarungkan dan dikemaskan.
"Woi, lewat kau hari ni. Asal?" soal Qai sambil menghidangkan air di belakangnya.
"Aku bangun lewat. Mungkin penat sangat kot, baru petang kelmarin aku sampai sini," jawab Rin. Tudung dikemaskan sehingga terletak elok di wajahnya. Maklumlah, naik motosikal kemudian sarung topi keledar lagi.
"Oh, kau naik bas apa yang sampai awal sangat ni?" soal Qai lagi.
"Aku balik naik motosikal sendiri kali ni. Senang sikit nak gerak pergi mana-mana. Tak susahkan Kak Manis," jawabnya lagi.
Buntang mata makcik Inara yang mendengar jawapan daripada Absarina.
"Dari Terengganu ke sini dengan motor? Tak petak ke punggung kau tu, Rin?" soal Inara.
Rin tersenyum lalu berkata, "Bukan setakat petak, macam nak tertanggal pun ya juga."
"Berani betullah kau ni, Rin. Kau tak takut makhluk-makhluk tu ke?" soal Inara.
Rin tersenyum. Dia menjungkit bahu lalu terus menyambung kerjanya di meja kaunter. Tipulah kalau dia tak takut. Sejak kejadian yang terjadi di dalam bas itu, dia hidup dalam kegelisahan. Risau. Dia risau jika makhluk-makhluk itu muncul lagi. Gadis ini tahu bahawa makhluk itu tidak akan berhenti mengganggunya selagi keluarganya tidak diubati.
"ABANG, boleh tolong saya sekejap? Saya tak larat nak bangun," pinta Puan Zalia. Tangan diangkat perlahan ke udara untuk memudahkan suaminya.
Encik Ahmad terus bergegas ke bilik tidur mereka. Menghentikan segala kegiatannya di dapur. Pinggan yang direndam dalam air sabun ditinggalkan untuk menyambut pintaan isterinya. Dia terus menggapai tangan yang menerawang di udara itu. Dipapah perlahan-lahan isterinya.

ANDA SEDANG MEMBACA
𝐌𝐚𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐃𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 | 𝐎𝐆
General Fiction'Petunjuk jalan, Jauh dan kelam, Pasu yang pecah perlu ditanam, Jangan biar dendam bersulam.' Absarina Nelliya, seorang gadis yang telah menangguhkan semesternya di Universiti Malaya kerana masalah peribadinya. Seorang yang dipenuhi dengan aura pos...