0020

25 2 0
                                    

Setelah meninggalkan taman di atas bukit itu, Emmeline kembali ke pondok yang sudah disediakan oleh keluarganya. Di sana Susanne sudah menunggu dengan wajah penuh rasa risau. Ketika melihat Emmeline tiba, Susanne merasa sangat gembira.

"Lady Emmeline, akhirnya cik kembali juga. Sejak dari tadi, saya merisaukan keadaan cik muda.."

Emmeline tersenyum mendengar kata-kata Susanne. Dia mengusap kepala Susanne dengan lembut. "Apa yang kau nak risaukan? Bukankah saya kembali dalam keadaan baik-baik saja. Baiklah, tolong sediakan minuman untuk saya. Saya merasa sangat haus saat ini."

Susanne menganggukkan kepalanya dan senyuman gembira menghiasi wajahnya. "Baik, cik muda..."

Emmeline pun mengambil tempat duduk di bangku panjang sementara Susanne menghidangkan minuman dan biskut kepadanya. Emmeline dengan gembira menikmati suasana saat ini. Meskipun dia masih berasa kesal dalam hatinya kerana dia tidak mendapat rehat yang cukup walaupun telah pergi ke taman di atas bukit.

"Setelah semua sudah selesai di sini, saya akan berehat di rumah dengan sepuas hati," kata Emmeline lalu memasukkan sekeping biskut ke dalam mulutnya. 

"Cik muda mahu kembali sekarang?" tanya Susanne pula.

Emmeline mengangkat tangan kiri, menunjukkan tapak tangannya ke hadapan wajah Susanne. "Saya tak akan kembali sekarang sebelum saya melihat bunga Grotania. Saya tidak mahu perjalanan saya ke sini menjadi sia-sia jika saya tidak melihat bunga itu..."

"Baik, Cik Muda..."

Wajah Logan kembali bermain di fikirannya. Perasaan bersalahnya kembali muncul di dalam hatinya. Bukan sengaja Emmeline mahu meletakkan sihir itu kepada Logan, apalagi jika dia merupakan calon suami kepada kakaknya.

Jika Gabriella tahu Emmeline pernah meletakkan sihir pada Logan, kakaknya itu pasti akan merasa sangat marah. Emmeline tidak akan terlepas daripada mendengar bebelan Gabriella selama seminggu.

Tapi dia juga tidak mahu dibawa ke istana dan dimasukkan ke penjara. Emmeline baru saja mahu menikmati kehidupan keduanya ini. Dia tidak mahu tinggal di penjara seumur hidup. Tiada yang tahu apa yang akan berlaku kepadanya ketika berada di penjara nanti.

"Mungkin buat sementara waktu ini, saya tidak akan melakukan apa-apa sihir. Jika Logan nampak saya buat sihir lagi, dia akan menangkap saya lagi..."

Susanne memandang ke arah Emmeline ketika mendengar Emmeline menyebut tentang sihir. "Sihir? Adakah cik muda melakukan sihir pada orang? Cik Muda, cik pun tahu bagaimana Lady Gabriella sudah melarang cik untuk membuat sihir, bukan?"

"Mana ada..." Dengan cepat Emmeline membidas kata-kata Susanne. Mana dia mahu beritahu apa yang terjadi sebenarnya kepada Susanne. Cukuplah dia seorang saja yang tahu apa yang terjadi. "Saya tidak akan gunakan sihir di tempat ini. Kau pun nampak betapa ramainya manusia di sini."

Nampaknya Susanne mempercayai kata-kata Emmeline kerana dia tidak lagi mengatakan apa-apa tentang sihir. Susanne bergerak ke tepi dan membiarkan Emmeline mendapatkan rehatnya.

Ketika matahari sudah turun di sebalik gunung, Susanne terpaksa membangunkan Emmeline yang sudah tertidur. "Lady Emmeline, bangunlah. Kita harus pergi ke tempat di mana Lady Gabriella sedang menunggu. Sebentar lagi, pertunjukan bunga Grotania akan bermula. Lady Emmeline harus ke sana sebelum pertunjukkannya bermula."

Emmeline segera membuka matanya. "Apa? Sebentar lagi akan bermula? Kenapa kau tak bangunkan saya sebelum ini lagi?"

Susanne memandang cik mudanya dengan wajah bersalah. "Saya sudah berusaha bangunkan cik muda, tapi cik muda menolak untuk bangun."

"Oh yakah?" Emmeline hanya termangu dengan kata-kata Susanne. "Eh, kita sudah tak ada masa. Cepat bergerak, saya tidak mahu ketinggalan daripada menyaksikan bunga Grotania ni..." Tanpa menunggu lagi, Emmeline segera berlari turun dari pondok itu.

4. Mark By FateWhere stories live. Discover now