TOKK! TOKK! TOKK!
"Masuk!" Suara garau milik anak lelaki keluarga Faruko memberi arahan kepada orang yang sudah mengetuk pintu pejabatnya.
Pintu dibuka diluar, lalu seorang lelaki berbaju pembantu rumah masuk ke dalam pejabat itu. Di tangannya ada dua belas keping surat yang memiliki beberapa jenis warna.
"Tuan, ini adalah surat yang dihantar ke kediaman Faruko hari ini."
William sedang menulis sesuatu di atas fail kerjanya. Mendengar pembantu rumah itu membawakan surat untuknya, William hanya membalas dengan acuh tak acuh sahaja.
"Letakkan di tepi..."
"Nampaknya hari ini ada lapan orang wanita yang sudah menghantarkan surat kepada Tuan. Kemarin cuma ada enam sahaja..." Pembantu rumah tadi berkata dengan wajah yang ceria.
William mengangkat wajahnya memandang pembantu rumah tadi. Raut mukanya nampak tegang. "Lan, kau sudah sedia maklum saya tidak akan membaca mana-mana surat cinta yang dihantar dari wanita-wanita bangsawan itu. Lebih baik buang semua surat tersebut."
Lan, si pembantu rumah itu, memandang surat-menyurat yang dia letakkan di tepi meja. Wajahnya nampak agak kebingungan. "Buang, Tuan?"
"Ya, buang. Nak buat apa lagi dengan surat-surat tu? Kalau simpan pun, makan ruang nanti..." William masih bersikap acuh tidak acuh.
William sudah biasa menerima surat cinta dari mana-mana wanita bangsawan tapi William tidak pernah membuka mana-mana surat tersebut. Baginya, membaca semua surat itu hanyalah membuang masanya sahaja.
Lan mengambil lapan keping surat cinta yang berwarna-warni. Dengan ragu-ragu, Lan memandang William. "Adakah surat dari anak perempuan Keluarga Duke Rich juga harus dibuang, Tuan?"
Tulisan tangan William menjadi terhenti. Wajahnya yang tegang berubah reaksi menjadi termangu.
Dengan segera dia memandang ke arah Lan. "Mana surat tu?"
Lan tersengih-sengih mendengar arahan dari William. Nampaknya tuan mudanya ini bukanlah hati beku yang tidak tertarik kepada mana-mana wanita.
Tanpa membuang masa, Lan segera menyerahkan surat dari Keluarga Duke Rich kepada William.
Tanpa membuang masa, William segera menggapai surat tersebut. Dia meneliti nama yang tertera. 'Betul, dari Lady Emmeline.'
Lan memerhati reaksi muka William. Melihat senyuman kecil di wajah tuan mudanya itu, membuatkan Lan merasa yakin jika tuan mudanya ini tertarik pada anak perempuan dari Keluarga Duke Rich tersebut.
Menyedari jika Lan masih ada di sana, William pun memandang Lan dengan wajah serius. "Tunggu apa lagi? Uruslah surat-surat yang lain. Kenapa masih berdiri di sini?"
Lan menjadi tercengang kerana diusir oleh William. Namun dia memahami jika tuan mudanya ini memerlukan privasinya sendiri untuk membaca surat tersebut.
Dengan sengihan penuh makna, Lan berjalan meninggalkan pejabat William.
YOU ARE READING
4. Mark By Fate
FantasyMirabel yang sudah meninggal dunia di dunia asalnya telah berpindah ke dunia lain dan kini menguasai badan seorang wanita bernama Emmeline. Emmeline Rich merupakan anak seorang Duke di sebuah kota dan mempunyai seorang kakak yang sangat cantik dan b...