0025

25 1 0
                                    

Emmeline dan sahabatnya berhenti di tepi sebuah kolam yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan yang cantik dan tergolong dalam kalangan spesis yang unik.

Emmeline yang tidak pernah melihat spesis ikan itu, berhenti di tepi kolam itu dan memerhati setiap ikan yang ada di kolam tersebut.

"Ikan jenis apa ini? Kenapa saya tidak pernah melihat ikan ini di tempat lain?" tanya Emmeline.

Emmeline memasukkan jarinya ke dalam air untuk bermain-main dengan ikan-ikan tersebut. Beberapa ekor ikan yang berhampiran terkejut dengan tindakan Emmeline. Ia berenang menjauh dari tangan Emmeline sebelum perlahan-lahan kembali mendekati tangan gadis itu.

Senyuman Emmeline semakin lebar saat melihat ikan-ikan itu tidak lagi takut kepadanya.

"Ikan ini hanya terdapat di tempat ini, Emmy. Sudah tentu kau tak melihat spesis ikan ini di tempat ini," jawab Ivon pula.

Kecuali Ivon, Emmeline dan Cherly bermain-main bersama dengan ikan-ikan tersebut. Ivon hanya berdiri di dekat mereka sambil memandang mereka bermain di tepi kolam.

"Dan ikan-ikan ini tidak akan dapat hidup di luar selain tempat ini kerana hayat mereka bergantung terhadap magik dari pari-pari yang tinggal di hutan ini," Giliran Cherly pula memberikan pendapatnya.

Emmeline memandang mereka berdua silih berganti. "Kamu berdua cukup tahu tentang hutan ini. Mesti korang sudah mengumpulkan maklumat tentang hutan ini sebelum datang ke sini, bukan?"

Cherly dan Ivon saling berpandangan ketika mendengar apa yang dikatakan oleh Emmeline. Wajah mereka terpamer raut kehairanan.

"Emmy, semua orang tahu tentang tempat ini. Apakah ingatan kau selemah itu sehingga kau lupa?" tanya Ivon pula.

Terkedu Emmeline mendengar kata-kata Ivon itu. Manalah dia tahu jika semua orang tahu tentang maklumat hutan ini. Emmeline juga masih baru di dunia ini dan tidak ada memori apa-apa tentang hutan ini di kepala Emmy.

Kerana tidak mahu Ivon dan Cherly curiga tentang dirinya, Emmeline melepaskan sebuah tawa yang dibuat-buat. Kepalanya digaru walaupun tidak terasa gatal.

"Saya rasa mungkin memori saya sudah lemah sejak beberapa hari ini. Saya sudah tak ingat sangat tentang hutan ni..."

Cherly menggelengkan kepalanya. "Lagipun, sebelum ini semasa kau datang ke sini, kau tidak berminat hendak tahu tentang semua benda tu. Motif kau datang ke sini hanya kerana kau mahu menganggu orang lain yang datang dari keluarga bangsawan..."

Memang betul Emmy tidak berminat hendak mengetahui maklumat lebih tentang hutan ini. Dia hanya menghadiri majlis ini kerana dia mahu mengganggu anak bangsawan yang lain dan membuli mereka sepanjang masa berada di sini.

Mereka bertiga bermain di tepi kolam itu dalam waktu yang lama. Tidak ada orang lain yang datang ke kolam itu membuatkan mereka bertiga dapat bermain dengan tenang di sana.

Sedang mereka bermain, tiba-tiba cincin yang berada di jari Emmeline mengeluarkan sebuah cahaya berwarna hijau.

Emmeline yang sedang bermain itu segera mengerang kesakitan setelah merasakan rasa sakit yang mencucuk di bahagian jarinya. Dipandangnya jarinya yang terasa sakit itu dan Emmeline terkejut saat melihat cincin itu sedang mengeluarkan cahaya berwarna hijau.

"Emmy, kau kenapa?" Ivon bertanya kepada Emmeline. Ini kerana dia mendengar Emmeline sedang dalam kesakitan tadi. Takut jika terjadi sesuatu terhadap sahabatnya itu.

Emmeline segera menyembunyikan cincin tersebut dari pandangan Ivon dan Cherly. Dia tidak mahu dua orang sahabatnya itu mengetahui jika cincin itu mengeluarkan cahaya. Senyuman diberikan kepada Ivon untuk menutupi rahsianya.

4. Mark By FateWhere stories live. Discover now