Setelah semua bunga Grotania selesai mengeluarkan cahaya, para pengunjung dibenarkan untuk berjalan di antara bunga-bunga ini dengan menggunakan lorong pejalan kaki yang sudah dibina khas. Ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat rupa bunga Grotania yang bercahaya dengan lebih dekat.
Emmeline tentu saja tidak melepaskan peluang ini untuk melihat bunga Grotania dari dekat. Dengan cepat, dia menarik tangan Casimir dan membawanya berjalan di lorong pejalan kaki. Setiap masa, Emmeline memerhati setiap bunga dengan perasaan gembira yang sentiasa menghiasi wajahnya.
Melihat gadis yang berada di sampingnya terlihat begitu gembira, Casimir yang sedang memerhati setiap gelagat gadis itu juga tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum. Malah semakin lama, semakin lebar senyumannya menyaksikan setiap ekspresi wajah Emmeline.
"Jika saja saya boleh bawa satu pokok bunga ini ke rumah, alangkah baiknya. Saya mahu jadikan bunga ini sebagai perhiasan di dalam bilik saya," kata Emmeline sambil memandang mengusap salah satu bunga Grotania di tangannya. Saat ini, dia sedang duduk mencangkung di hadapan salah satu barisan bunga.
"Kau mahu jadikan bunga sebagai perhiasan di bilik kau? Ada banyak lagi bunga cantik lain selain daripada bunga Grotania ini. Saya boleh berikan pada kau jika kau nak," kata Casimir. Dia pun mengikuti perilaku Emmeline dan duduk mencangkung di sampingnya.
Mahu saja Emmeline bersetuju dengan cadangan dari Casimir tapi dia teringat jika bunga-bunga cantik dan unik seperti Grotania sangat susah untuk didapatkan. Selalunya bunga yang susah didapatkan hanya tumbuh di tempat yang tersorok dari mata dunia atau di tempat yang dijaga dengan makhluk mistik berbahaya.
Memikirkan Casimir yang sanggup berkorban semata-mata untuk mencari bunga membuatkan Emmeline mengubah fikirannya. "Kau tak perlu berikan saya bunga yang unik macam bunga Grotania ini. Saya sanggup juga datang ke Taman Grotania ini setiap tahun untuk menyaksikan bunga ini mengeluarkan cahaya..."
Casimir tidak memaksa jika Emmeline sudah berkata seperti itu. Dia memandang ke arah bunga Grotania yang ada di dekat kakinya. Jarinya menyentuh bunga Grotania itu secara lembut.
"Mahukah kau menyaksikan bunga Grotania ini lagi bersama-sama pada tahun hadapan?" Tanpa disangka-sangka, Emmeline mengutarakan pendapatnya kepada Casimir.
Tentu saja, pendapat itu membuatkan Casimir terkejut. Sekali lagi, dia merasakan sesuatu yang berbeza dengan tubuhnya; dia boleh merasakan seperti ada rama-rama yang berada di dalam perutnya.
Emmeline masih menunggu jawapan dari Casimir tapi tidak mendengar lelaki itu bercakap sama sekali. 'Apa jadi dengan dia ni? Tadi petang dia bukan main lagi berlagak macam playboy. Kenapa sekarang dia diam macam orang bisu pula ni?'
"Casimir, kau mahu atau tidak? Atau kau akan pergi bersama dengan orang lain?" Emmeline mencuba untuk menarik perhatian Casimir yang sepertinya sedang berkhayal saat ini. Melihat keadaan Casimir yang tidak seperti biasa itu membuatkan Emmeline menjadi risau.
Emmeline bergerak sedikit ke arah Casimir, menutup jarak yang sudah pun dekat diantara mereka. Tangannya diangkat untuk memegang dahi lelaki itu. "Hei, saya sedang bercakap dengan kau ni. Kenapa kau diam?"
Sentuhan hangat tangan Emmeline di dahinya membuatkan Casimir tersedar dari lamunan lagi. Gelabah dia melihat jarak diantara mereka berdua. Apalagi bila melihat wajah mereka sudah tinggal beberapa inci lagi. Sungguh berani dia bersikap seperti ini. Tidak takutkah dia bila orang lain melihat keadaan ini?
Casimir berdehem beberapa kali. Tangan Emmeline tadi diturunkan secara perlahan. Lalu dia pun berdiri semula dan mengambil beberapa langkah menjauh dari Emmeline. "Saya baik-baik saja. Kau tidak perlu merisaukan saya."
YOU ARE READING
4. Mark By Fate
FantasyMirabel yang sudah meninggal dunia di dunia asalnya telah berpindah ke dunia lain dan kini menguasai badan seorang wanita bernama Emmeline. Emmeline Rich merupakan anak seorang Duke di sebuah kota dan mempunyai seorang kakak yang sangat cantik dan b...