Bab 4

1.4K 35 1
                                    

Aku tidak sedar pukul berapakah aku tertidur tadi. Keadaan sudah pun gelap ketika aku bangun. Sakit di bahu mengingatkan aku kejadian yang berlaku petang tadi. Aku bangun dan menghidupkan lampu bilikku. Aku tidak bersemangat untuk keluar bilik ketika ini. Jam menunjukkan sudah pun pukul sebelas malam. Badan aku berasa sakit-sakit dan hanya seorang sahaja yang aku persalahkan iaitu diriku sendiri kerana kurang bersenam.

Sekiranya aku kerap bersenam sudah tentu badanku dapat menahan sakit. Perlahan-lahan aku mengambil tuala mandi dan membuka pintu bilikku. Patutlah Wana atau mama tidak mengejutkan aku. Pintu bilikku ku kunci. Aku meninjau persekitaran luar bilikku, ternyata semua telah pun masuk tidur kerana hanya lampu dapur di bawah sahaja yang menyala. Aku memandang bilik tetamu. Mungkin dia sudah pulang. Biarlah sekurang-kurangnya aku tidak akan melihatnya untuk satu tempoh yang lama. Hanya tuhan yang tahu apa yang akan aku lakukan untuk melepaskan kemarahan yang terbuku di hati ini sekiranya aku terlihat wajahnya. Aku menggerakkan tangan kiriku dengan berhati-hati agar bahu yang terkehel tadi tidak banyak bergerak. Aku melewati dapur dan membuka peti sejuk. Perut ini berasa lapar namun tekak tidak menginginkan apa-apa yang berada di dalam peti sejuk ini. Aku mula berasa malas untuk mandi kerana berasa sejuk. Akhirnya aku mencapai sekeping roti di atas meja dan memakannya. Oleh kerana roti itu roti 'butterscotch' , tangan ini menggapai sekeping lagi roti untuk di makan.

"Tahu tak makan dua keping roti bersamaan dengan memakan sepinggan nasi... butterscotch mungkin dua pinggan." Sapa satu suara dari belakangku. Aku menoleh, terkejut melihat abang Razi bersandar di pintu dapur. Tak balik lagi rupanya manusia ini. Sejak bila dia berdiri di situ aku pun tak tahu. Kemarahan di hati ini aku pendam kerana bahuku sakit ketika ini dan bilik mama dekat sahaja dengan dapur. Aku tak mahu mama bangun sekiranya aku lepaskan juga kemarahan ini. Aku cuba tidak mengendahkan abang Razi dan berjalan melaluinya untuk naik ke bilik tetapi dia menggapai tangan kiriku perlahan dan serta merta ku menjerit kesakitan.

"Abang dah agak, mesti bahu ni terkehel." Katanya dan dengan perlahan dia menarik sebelah lagi tanganku mendekatinya.

"Salah siapa duh.." kataku perlahan namun didengari oleh abang Razi. Aku enggan berganjak tetapi kesakitan di tangan ini tidak mampu aku tahan lalu aku bergerak dekat dengannya.

"Ziha duduk, senang abang betulkan bahu ni." Katanya. Aku memandangnya curiga tetapi sebab dia sememangnya seorang doktor aku pasrah. Dengan secepat mungkin dia menarik bahuku dan bahuku kembali ke kedudukan asalnya. Walaupun abang Razi membetulkan tulang bahu ini secara lembut namun prosesnya amat sakit. Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya. Aku hanya mengetap bibir menahan sakit dan air mata ini berlinang sebagai bukti. Abang Razi kemudiannya menarik lengan baju ku sehingga ke bahu. Baru aku sedari ada kesan lebam di situ, di tempat abang Razi pegang petang tadi. Dia menghela nafas panjang dan memandangku.

"Abang minta maaf. Abang tak pernah buat begini pada siapa-siapa. Ziha maafkan abang ya" Katanya sambil menyapu krim di bahagian yang lebam itu. Aku yang masih menahan kesakitan hanya menjeling ke arahnya. Dia menurunkan lengan bajuku setelah selesai. Kemudian dia mengeluarkan kain untuk menganduh tanganku. Aku tertanya-tanya dimana dia mendapatkan kain itu.
"Tak payahlah, nanti mama nampak nanti banyak soalan nanti" Kataku melarikan tangan kiriku darinya. " Malam ini sahaja boleh" Katanya menarik perlahan tanganku. Malas untuk bergaduh dan nanti tanganku akan lebih sakit lagi dengan adegan tarik menarik ini, aku mengalah dan membiarkan sahaja dia menganduh tanganku.

"Makngah tak ada. Tadi ada orang nak bersalin jadi makngah pergi ke sana" Terang abang Razi tanpa di pinta. Cis kalau aku tahu aku lepaskan kemarahan aku tadi.

'Nasib baik bahu Ziha ni minor je dislocated. Tapi kalau esok masih sakit atau bertambah sakit beritahu abang ye.' kata abang Razi lagi.

Aku hanya diam enggan menjawab. Belum sempat aku berfikir mulutku sudah pun berkata dahulu

9 hariWhere stories live. Discover now