Bab 11

1.6K 150 15
                                    

ORIENTASI suai kenal pangkalan TLDM telah selesai. Bermula hari ini, semua anggota baru bakal menjalani kursus mereka selama enam bulan sebelum menjalani On Job Training (OJT) setelah kursus tamat. Pada awal peringkat, mereka hanyalah belajar asas kepakaran yang berkaitan. Takkan lah kau ditetapkan jurulatih jasmani pergi baiki kapal pula. Mahu karam kejadiannya.

Dah lama aku teringin nak pakai seragam navy yang lengkap. Alhamdulillah, buat pertama kalinya aku sarungkan seragam celoreng biru kelabu ini ke tubuh rampingku. Boleh tahan panas sebab berlapis baju dipakai. Empat lapis bukan sikit. Dahlah jenis kain tebal, memang mandi peluh aku. Belum tambah dengan tudung bawal biru gelap menutup aurat kepala daripada terdedah. Tudung masuk dalam baju. Berganda-ganda panas dia.

Kasut but khas ini juga berat. Serasa bawa batu bata bawah telapak kaki. Kalau tendang buaya darat yang cuba mengorat kau, Insya Allah terpelanting terus pergi Selat Melaka. Bagi kesedaran dekat spesis playboy.

Aku dan roommate lain dah bersedia di tepi Dewan Senaman KDP. Baru sepuluh minit pakai seragam dah berpeluh ketiak aku. Aircond atas kepala sampai enam buah pun tak cukup keringkan segala peluh yang ada. Aku tengok anggota lain turut kibaskan tangan pada wajah. Mula-mula memang tak selesa pakai seragam berlapis, tapi lama-lama akan terbiasa juga.

"Lama betul pegawai kita nak datang. Mengantuk tunggu. Nak tidur sekejap, takut dia orang datang pula." Keluh Mel sambil menguap kecil. Terkebil-kebil kelopak matanya tahan rasa kantuk.

"Sabar sikit, nanti datang lah tu," pujuk Clara menampar perlahan bahunya agar Mel terus berjaga.

Mai sibuk dengan telefonnya. Sekejap chat orang, sekejap buka Tiktok. Kalau boleh, semua video yang dia jumpa kelakar akan dikongsikan dekat kawannya yang lain. Tersengih-sengih sambil gigit jari. Aku yang duduk bersandar dekat dinding dengan kaki bersilang sekadar tersenyum nipis.

Tidak lama kemudian, kami menerima arahan mengejut agar beratur dengan segera dalam dewan. Menggelupur semua orang macam ayam masuk reban. Lekas aku bangun lalu menarik Mai yang leka dengan alat perantinya. Clara dan Mel selamba tinggalkan kami tak tunggu orang. Tahulah gelabah tapi tak adalah sampaikan hampir tersadung sebab lantai licin.

Susunan barisan diluruskan mengikut jantina. Masih bercampur sebab belum diagihkan ikut kepakaran. Kesunyian mendominasi seluruh dewan ini tatkala pegawai yang bertugas masuk dengan wajah ketatnya. Beberapa anggota TLDM lain turut berbaris di sisinya menghadap semua anggota baru. Salam diberi pegawai itu sebagai pembuka bicaranya.

"Untuk pengetahuan kamu, hari ini merupakan hari terakhir kamu semua lihat saya berdiri di sini. Tugas saya menguruskan kamu sudah berakhir. Sekarang, tugas KD Sultan Ismail akan diserahkan sepenuhnya kepada KD Pelandok mulai hari ini. Sebelum saya kembali ke Pengelih, saya ingin memohon maaf andai terkasar bahasa sehingga mengguriskan hati semua pihak. Teruskan semangat kamu menjadi anggota TLDM yang berjaya. Bersiap siaga dalam apapun situasi yang berlaku. Sepertimana moto kita, Sedia Berkorban!"

Tepukan gemuruh yang kuat bergema dalam dewan. Sorakan penuh lantang dan bersemangat juga menyusul. Sudah lama pegawai itu bersama dengan kami sejak berkursus di Tanjung Pengelih lagi. Selepas ini, bayangannya bakal hilang dari pandangan kami. Namun, jiwanya tetap bersama kami. Sebelum pegawai itu melangkah pergi, kami tabik hormat dengan postur badan yang lurus dan tegap. Senyuman ikhlas dilayangkan oleh pegawai itu sebelum dia kabur dari pandangan kami. Pada masa ini, bermulalah semua anggota TLDM berpangkat tinggi mengambil alih tugasnya.

"Assalamualaikum semua. Saya Bintara Muda JTP (I) Muiz, selaku wakil untuk ambil alih tugas pegawai dari KD Sultan Ismail itu tadi. Beliau akan ke Johor selepas ini. Saya pasti semua orang akan rindukan beliau sebab sifatnya yang peramah dan suka bergurau senda. Semoga kita tidak lupakan jasanya dengan kamu semua ya," ucap Encik Muiz dengan senyuman herotnya.

Di Lautan Biru [OG]Where stories live. Discover now