Bab 32

1.2K 92 1
                                    

MAI berhias cantik depan cermin dengan solekan menaikkan seri wajahnya. Tudung bawal berwarna merah jambu pastel dengan gaun putih paras buku lali. Beg sandang serona gaunnya yang digantung pada almari diambil lalu disangkutkan pada bahu kanan.

Clara nampaknya tidak peduli akan penampilan Mai yang mendadak. Hairan. Pagi tadi elok seragam lengkap sampailah habis kuliah. Tetiba pakai gaun macam nak pergi bercuti dekat pantai. Entah-entah betul dekat pantai mereka lepak.

Takkan lepak dekat pantai sebelah pusat latihan kemahiran air?

Apabila Mel melihat kesungguhan Mai dalam berhias, dia menggeleng. Tak lain tak bukan mesti nak hangout dekat Hayyan. Sudahlah gaun putih jenis tembus dan boleh nampak dalam. Mujurlah dia pakai inner hitam untuk menutup kulit mulusnya.

"Kau nak pergi mana pakai gitu?" soalku sekadar jeling Mai dari anak mata.

"Pulau Pangkor. Nak healing," jawabnya sambil menggayakan tudungnya.

"Bawa Hayyan ke?"

"Eh mesti! Dia yang ajak aku sebenarnya, saja jalan-jalan dekat pinggir pantai sana. Kau patut bawa Fajar pergi sana tau, rugi tak pergi Pulau Pangkor." Ayat hujungnya kedengaran sedikit sarkastik.

Aku hanya angguk. Seronok merantau ke tempat orang, banyak benda kita boleh belajar. Adat tradisi, keunikan kawasan pelancongan, identiti suatu tempat. Yang aku tahu, kawasan pekan Lumut terkenal dengan jualan ikan bilis Pulau Pangkor yang boleh didapati di beberapa buah deretan kedai. Ikan bilis mata biru paling diminati antara semua walaupun harganya sedikit mahal.

Senang kata, banyak jualan hasil laut boleh dicari di merata tempat. Keropok ketam Lumut adalah snek kegemaran pelancong yang melawat ke sini selain penduduk tempatannya sendiri.

Sebut pasal Pulau Pangkor, aku cuma dengar destinasi itu sebagai tempat pelancongan waktu zaman sekolah menengah. Aku anggap tempat itu sama seperti Langkawi. Sama-sama pulau, masing-masing ada daya tarikan tersendiri. Bezanya bagi aku, Pulau Langkawi lebih terkenal berbanding Pulau Pangkor. Mungkin sebab faktor banyak tempat menarik.

Makam mahsuri, Telaga Tujuh, Langkawi Skybridge Cable Car. Teringin aku nak bercuti sana. Alangkah baiknya kalau Yad bawa aku sekali. Tak cukuplah kirim coklat manisan aje.

Tak pernah lagi jejak pulau seberang walaupun hanya anggaran sepuluh minit naik feri. Teringin juga nak jalan-jalan makan angin dekat Pulau Pangkor. Apalah yang seronok sangat sampai Hayyan nak bawa Mai merayap bersama. Mujurlah boleh balik hari.

"Kau lama ke healing dengan Hayyan? Balik pukul berapa?" Clara menyoal dia dari jauh.

Mai memikirkan sesuatu. Lirikan mata tertumpu pada lantai. "Pukul enam kut. Alah, tak lama pun. Dalam sehari boleh pusing satu pulau itu tau?"

Aku menggeleng kecil. Bukan apa, jika dia terlalu leka sehinggakan lupa cari jalan balik, menangis tak bersuara karang. Mai tidak tahu selok-belok kawasan pulau itu, jadi ada kebarangkalian untuk sesat. Tambah pula kalau nak berhubung dengan kami untuk meminta pertolongan, tetiba jaringan internet lemah. Lost connection. Hayyan bukannya boleh ajak bermalam di hotel hanya untuk satu malam. Tak tentu pasal kena cop tangkap basah.

"Okey. Jangan lupa bawa balik buah tangan tapi bukan sepaket ikan bilis. Kau nak masak dekat mana dalam bilik ni?" ujar Clara berseloroh. Mahu terbakar satu bangunan asrama perempuan dikerja kami.

Mai tertawa. "Relaks, percayalah aku akan bawa benda sedap balik nanti. Keropok ketam atau keropok ikan, nak?" Dia menoleh kami silih ganti.

Kami serentak mengiyakan tawaran Mai. Malas aku nak mencelah. Satu hari nanti giliran aku dan Fajar pula melawat pulau tersebut.

Di Lautan Biru [OG]Where stories live. Discover now