Cuaca hari ini agak mendung menandakan hujan bakal turun membasahi bumi. Hatiku dilanda resah apabila melihat jualanku masih banyak yang masih belum terjual. Nampak gayanya aku perlu segera berkemas untuk pulang. Jika hujan turun, aku risau anakku demam pula nanti.
Aku mengendong bayiku dengan mengikatnya di belakangku menggunakan kain batik lalu aku mula mengemas meja jualan. Sedang aku mengemas, tiba-tiba payung besar yang digunakan untuk berteduh terbalik akibat ditiup angin. Mujur payung itu tidak menghempap kami berdua.
"Allahu akhbar..." jeritku terkejut. Dalam hati mengucap syukur kerana kami masih selamat. Angin petang itu bertiup agak kencang. Kelam kabut aku dibuatnya.
Sedang aku mengangkat payung besar yang terbalik itu tadi, tiba-tiba ada tangan yang datang menghulurkan bantuan.
"Biar saya angkat. Berat ni."
Aku mendongak memandang jejaka yang berada di depan mata. Dia kelihatan tersenyum memandangku. Aku bingkas bangun berdiri apabila ada yang sudi membantu. Payung itu memang agak berat tapi aku masih mampu mengangkatnya jika tiada sesiapa yang datang membantu.
"Terima kasih encik tolong saya," ucapku mesra.
"Sama-sama." Dia tersenyum sambil membetulkan semula payung itu agar tidak terjatuh buat kali kedua.
"Hari macam nak hujan aje ni."
"Haah. Itu yang saya berkemas ni. Takut hujan lebat pula nanti."
"Tapi pisang goreng ni masih banyak." Lelaki itu melihat pisang goreng yang masih bertimbun di dalam dulang.
"Biasanya kalau hujan, memang tak ada yang akan datang membeli. Jualan yang tak habis saya akan sedekah pada jiran-jiran."
"Kalau macam tu saya beli semua lah. Awak bungkus semua ni, saya bayar." Dia mengeluarkan dompet dari poket seluar.
"Betul ke ni?" Aku seakan tak percaya dia mahu membeli kesemuanya. Terkejut bercampur rasa gembira.
"Betul lah. Takkan saya main-main pula." Dia tersenyum lagi.
"Alhamdulillah, terima kasih encik. Banyak encik tolong saya hari ni. Hanya Allah aje dapat membalasnya." Aku lekas mencapai beg plastik lalu aku masukkan pisang goreng yang sudah siap digoreng ke dalam beg plastik. Aku kira satu persatu.
"Semuanya Rm 20, encik." Aku menghulurkan beg plastik berisi pisang goreng kepadanya. Kemudian, dia menghulurkan aku sekeping wang Rm 50. Besar pula wangnya. Susah aku ingin memberinya baki. Duit yang aku ada sekarang kebanyakannya not RM 1.
"Tak apa. Selebihnya awak ambil."
"Tapi encik..." Dia sudah berlalu pergi ke arah keretanya. Tak sempat aku mahu pulangkannya baki.
Aku memerhatikan keretanya sehingga hilang dari pandangan. Kemudian, aku tersenyum melihat sekeping not RM50 di tanganku.
"Semoga awak dimurahkan rezeki,"doaku perlahan. Aku terharu dengan kebaikan lelaki itu. Ternyata dalam dunia ini masih ada orang baik. Terima kasih Allah, kerana Kau pertemukan aku dengan orang yang baik-baik.
Malam itu, aku ke dapur untuk memasak nasi. Aku lihat hanya ada secupak beras sahaja yang tinggal.
"Alhamdulillah, masih ada rezeki kita malam ni. Esok mama pergi kedai beli beras." Aku memandang wajah kecil anakku yang sedang aku dukung. Alya Basyirah namanya. Usianya sudah setahun.
"Kita makan bubur ya malam ni. Esok mama belikan makanan sedap-sedap." Pipi Alya aku cium. Dia hanya ketawa apabila aku mencium-cium pipinya.
.
Keesokan pagi, aku ke kedai untuk membeli barangan dapur. Sedang aku mencari kicap di rak, aku terserempak dengan salah seorang jiran aku iaitu Kak Yana.
"Hai, Kak Yana." Aku menyapanya mesra.
"Eh, Risya. Beli barang dapur?" Kak Yana memicit pipi kecil Alya yang berada dalam dukungan aku.
"Haah, kak. Akak datang seorang aje ke?"
"Tak lah. Datang dengan suami. Dia ada dalam kereta tengah jagakan anak-anak."
Aku hanya mengangguk. Kemudian, aku melihat tanda harga yang tertera pada botol kicap. Kenapa semakin mahal harganya?
"Sekarang kicap dah naik harga ke akak?" soalku kepada Kak Yana.
"Bukan kicap aje naik harga. Barang dapur yang lain pun naik harga juga. Beras, gula, tepung... semua benda lah nak naik harga. Zaman sekarang ni memang kena berjimat-cermat." Kak Yana mula datang mood membebelnya.
"Betul kak. Tepung goreng pisang pun dah naik harga juga. Belum cerita pasal minyak masak. Susah betul nak dapat minyak masak yang paket tu." Aku turut membebel sama. Perempuan apabila sudah berjumpa kawan, tak sah jika tidak berborak.
"Oh Risya, akak baru teringat pasal ni. Akak dah lama nak tanya kamu tapi asyik terlupa saja. Hari tu mak saudara akak ada tanya ada tak sesiapa yang boleh bantu dia kerja jadi pembantu rumah. Dia tengah cari orang. Jadi akak rasa kalau kamu bekerja di sana okey juga. Dapat gaji tetap setiap bulan. Kamu nak?"
"Pembantu rumah? Macam berminat. Tapi saya ada anak kecil ni. Tak boleh nak tinggal dengan orang. Kalau saya bawa dia sekali boleh ke?" Aku menggigit bibir. Kalau boleh memang aku perlukan pekerjaan yang ada gaji tetap tapi kebanyakan tempat kerja susah menerima orang sepertiku kerana masih mempunyai anak kecil.
"Boleh. Bilik disediakan sekali. Jadi, kamu tak payah menyewa rumah lagi. Lagi pun tuan rumah tu baik orangnya."
"Kalau macam tu saya nak lah. Akak boleh bagi nombor telefon mak saudara akak tu? Nanti saya contact dia."
"Boleh. Boleh. Sekejap ya." Kak Yana mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar jeansnya. Aku tersenyum bahagia. Moga pekerjaanku kali ini lebih menjaminkan masa depan untuk anakku.
.
Syukur... Alhamdulillah. Aku telah diterima untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Aku mula berpindah masuk ke dalam sebuah rumah banglo dua tingkat.
"Ini bilik Risya." Mak Timah iaitu ibu saudara Kak Yana menunjukkan aku bilik tidur.
"Terima kasih Mak Timah. Dalam rumah ni ada berapa orang pembantu?"soalku sambil meletakkan beg pakaian ke atas lantai bilik. Alya aku letakkannya di atas katil yang sudah siap berlapik cadar.
"Sekarang kita berdua aje lah. Sebelum ni ada seorang pembantu rumah. Tapi dia tiba-tiba melarikan diri. Mungkin dia tak tahan melayan Puan Yasmin."
"Puan Yasmin?"
"Oh ya, lupa nak kenalkan. Puan Yasmin tu majikan kita lah. Dia sekarang tak berapa sihat. Sebab itu Tuan Arkan suruh Mak Timah carikan orang yang boleh bantu jagakan Puan Yasmin."
"Tuan Arkan tu siapa pula mak timah?"
"Tuan Arkan tu anak Puan Yasmin. Puan Yasmin ada seorang lagi anak lelaki tapi masih belajar di oversea."
Aku hanya mengangguk faham.
.
Malam itu, aku dipanggil untuk bertemu Tuan Arkan yang sedang menjamu selera di meja makan. Aku berdiri di belakangnya dan Mak Timah pula berdiri di sebelahku.
"Tuan, perkenalkan ini pembantu rumah yang baru. Namanya Risya." Mak Timah perkenalkan aku kepada majikanku yang bernama Tuan Arkan.
Lelaki itu kemudiannya menoleh memandang aku yang berada di belakangnya. Serta merta dahinya dan dahiku berkerut.
"Payung terbang?"soalnya.
Bersambung...
YOU ARE READING
Kita Pernah Terluka
RomanceSeorang bergelar duda dan seorang lagi janda, sama-sama pernah terluka. Kerana luka itu, mereka jadi trauma dan takut untuk jatuh cinta buat sekali lagi. Start: 13 jun 2024 End: