Usai sahaja menguruskan Puan Yasmin, aku membawanya keluar dari bilik. Katanya mahu mengambil angin di luar rumah. Kerusi rodanya aku tolak menuju ke laman belakang rumah yang terdapat taman bunga.
Sebelum ini, Puan Yasmin sangat gemar menanam bunga. Setelah diserang strok, dia tak mampu lagi untuk menjaga tanamannya. Sejak itu, Mak Timah lah yang menjaga tanaman-tanaman Puan Yasmin.
Terlakar senyuman di bibir Puan Yasmin saat melihat tanaman bunganya yang berkembang mekar.
"Sya... antik kan?"
"Cantik, puan." Aku tersenyum melihat wajah Puan Yasmin yang kelihatan ceria. Meskipun usia Puan Yasmin sudah lewat 50an, dia masih kelihatan cantik. Tak hairan lah Tuan Arkan pun tampan orangnya.
Sebut tentang Tuan Arkan, aku jadi teringat tentang hal kelmarin. Sejak kejadian itu, Tuan Arkan tidak lagi bertegur sapa denganku. Mungkin dia masih marah kerana aku menolak tawarannya. Pagi ini pula dia sudah bertolak ke Terengganu atas urusan kerja. Mungkin dua tiga bulan lagi dia akan pulang ke sini.
"Syu...ga mes...ti antik." Tiba-tiba Puan Yasmin bersuara.
"Aya...nak syu... ga. Ta...pi aya ta...kut...ma...ti."
"Puan, setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Dan kita memang digalakkan untuk takut mati. Saya pun takut mati. Tapi kalau kita bertaubat pada Allah, pasti Allah akan ampunkan segala dosa kita selagi pintu taubat masih belum tertutup. Saya yakin Puan pasti akan masuk syurga sebab Puan orang yang baik." Aku cuba sedapkan hati Puan Yasmin.
Puan Yasmin tersenyum kecil. Perlahan-lahan tangannya mencapai tangan aku.
"Ma...ka...sih. Jaga...kan aya,"ucapnya lagi.
Aku duduk mencangkung sambil menggenggam tangan Puan Yasmin.
"Sama-sama. Saya dah anggap Puan macam ibu saya. Sebenarnya sejak kecil saya tak ada ibu. Ibu saya meninggal setelah melahirkan saya. Bila dapat jaga puan macam ni, saya rasa macam dapat jaga ibu saya."
Puan Yasmin mengusap kepalaku lalu dia melabuhkan satu kucupan hangat di dahiku. Mengalir air mataku kerana terharu dengan perlakuannya.
"Puan, boleh saya peluk puan?"
Puan Yasmin mengangguk lalu mendepakan tangan. Aku lantas memeluk erat tubuh Puan Yasmin. Pertama kali aku merasakan hangat tubuh seorang ibu yang memeluk anaknya. Air mataku mengalir laju. Aku sangat rindukan pelukan dan belaian seorang ibu. Baru kali ini aku dapat rasakan.
.
Aku dan Alya sudah bersiap sedia untuk keluar membeli barangan dapur. Sudah banyak barangan dapur yang habis. Aku mengambil grab car untuk ke pasar.
Sedang aku menunggu grab car di depan pintu pagar rumah, tiba-tiba ada sebuah kenderaan SUV hitam berhenti di depanku. Kemudian, seorang lelaki bertubuh sasa keluar dari kereta tersebut dan menarik aku masuk ke dalam kereta. Mulut aku diterkup sebelum aku sempat menjerit. Pintu kereta itu pula ditutup.
Alya dan aku kini berada di dalam sebuah kereta asing. Ada seorang lelaki berkaca mata hitam di dalamnya. Jantung aku berdegup hebat. Tubuh Alya aku peluk erat. Lelaki berkaca mata hitam itu menyunggingkan senyuman sambil melihat aku. Kemudian, dia menarik kaca matanya lalu menampakkan wajah sebenarnya yang bermata sepet.
"Kau kenal Zamir?"
Aku lantas menggeleng. Aku tak nak terlibat apa-apa dalam masalah Zamir.
"Kau jangan tipu aku. Kau bekas isteri dia kan?"
Aku mengetap bibir.
"Kalau kau nak tahu, lelaki tak guna tu dah kena tangkap polis. Dan semua barang aku dah kena rampas. Kau rasa aku dah rugi berapa banyak?"
"Saya dah tak ada kaitan dengan dia lagi. Kenapa cari saya?"
"Sebab Zamir dah cagarkan kau. Aku boleh jual kau dan anak kau untuk dapatkan ganti rugi tu. Atau kalau kau tak nak kena jual, kau bayar aku pakai duit. Masalahnya sekarang kau mampu ke bayar RM 20 ribu?"
"20 ribu?" Terbeliak mata aku mendengarnya. Aku mana ada duit sebanyak tu.
"Kau boleh bayar tak?"
"Saya mana ada duit sebanyak tu."
"Kalau macam tu... nampaknya terpaksa lah kau ikut aku. Kelvin jalan."
Bodyguard yang berjaga di luar tadi masuk ke dalam kenderaan dan duduk di bahagian hadapan. Aku cuba membuka pintu, malangnya pintu itu telah terkunci sejak tadi. Kenderaan itu mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah Tuan Arkan. Aku semakin gelisah. Takkan aku nak biarkan diri aku dan Alya dijual.
"Okey...okey...saya bayar....saya bayar." Kereta SUV itu berhenti serta merta setelah mendapat arahan dari ketuanya.
"Kau nak bayar? Kau ada duit?"
"Ada. Saya boleh bayar tapi encik tolong bagi saya masa dalam beberapa bulan. Saya akan cuba dapatkan Rm20 ribu tu."
"Hmm..." Lelaki itu mengusap dagu.
"Okey, aku boleh lepaskan kau tapi kau kena janji jangan beritahu sesiapa pasal ni. Kalau tidak... Aku akan bunuh setiap orang dalam rumah tu. Aku nak rm20 ribu dalam masa tiga bulan."
Tiga bulan je? Macam mana aku nak dapatkan 20 ribu dalam masa tiga bulan? Gaji aku pun hanya RM2000 sebulan.
.
Sejak peristiwa semalam hati aku rasa tak tenteram. Dalam masa tiga bulan, aku perlu dapatkan Rm20 ribu. Mataku mula melilau melihat barangan yang terdapat di dalam rumah banglo Tuan Arkan.
Ish, takkan lah aku nak curi barang dalam rumah ni dan jual pula. Tak pasal nanti aku masuk penjara. Kasihan Alya. Papa dia dah masuk penjara. Takkan mama dia pun nak masuk penjara.
"Risya, Tuan Arkan nak balik hari ni. Dia minta masakkan ayam masak lemak cili api," beritahu Mak Timah.
"Eh, sekejap pula dia di Terengganu? Baru sebulan lebih. Selalunya tiga empat bulan kalau dia di pelantar."
"Mungkin kerja dia dah settle lah tu kat sana. Atau dia rindu nak makan masakan Risya. Dia cakap kat Mak Timah, masakan Risya sedap. Bertuah siapa jadi suami Risya. Lepas tu Mak Timah cakap, kalau macam tu kahwin je la dengan Risya. Dapat rasa air tangan isteri." Mak Timah tergelak kecil setelah bercerita.
"Ish, Mak Timah ni. Kenapa cakap macam tu? Seganlah saya. Saya ni mana sesuai dengan Tuan Arkan. Macam langit dan bumi tau. Tak mungkin lah Tuan Arkan nak suka pada saya yang selekeh dan miskin ni."
"Apa pula cakap macam tu. Jangan pandang rendah pada diri. Bagi Mak Timah, Risya cantik dan Tuan Arkan handsome. Sesuai lah tu."
"Tapi Mak timah... saya sedar diri yang saya ni cuma orang gaji dan tak sesuai untuk Tuan Arkan." Aku tetap dengan pendirianku. Tak mungkin majikan macam Tuan Arkan akan menyukai orang gaji sepertiku.
"Hm... suka hati kamu lah Risya. Yang penting sekarang ni kita kena masak untuk Tuan Arkan. Sekejap lagi dia nak balik. Kalau sembang pasal ni sampai bila pun tak habis."
Aku tersengih. Nampaknya Mak Timah dah mengalah.
"Iya lah... jom kita ke dapur."
YOU ARE READING
Kita Pernah Terluka
RomanceSeorang bergelar duda dan seorang lagi janda, sama-sama pernah terluka. Kerana luka itu, mereka jadi trauma dan takut untuk jatuh cinta buat sekali lagi. Start: 13 jun 2024 End: