Aku membawa keluar bungkusan plastik hitam berisi sampah. Plastik hitam itu kemudiannya aku masukkan ke dalam peti pembuangan sampah yang terdapat di tepi pagar rumah. Belum sempat aku berlalu pergi, ada suara memanggil.
"Risya." Terbeliak mataku apabila melihat susuk Zamir sedang berdiri di depan pintu pagar.
"Apa awak buat kat sini?"soalku cemas.
"Jadi, kau tinggal sini dengan lelaki tu?"
"Macam mana awak..."
"Aku ikut kau hari tu. Rupanya kau dapat tinggal di rumah besar. Patutlah dah sombong dengan aku sekarang." Zamir tersenyum sinis. Jadi dia ikut aku selepas terserempak di supermarket tempoh hari?
"Saya kerja kat sini sebagai pembantu rumah demi besarkan anak kita. Nak harapkan awak, memang mati kebulur lah Alya tu."Suaraku sedikit meninggi. Bengang.
"Baguslah macam tu. Mesti kau banyak duit kan sekarang. Kau ada duit lebih tak? Aku nak pinjam sikit." Dengan muka tak tahu malunya dia ingin meminjam duit dari aku. Selama ini hutang dia dengan aku tak pernah dilunaskan pun.
"Tak ada." Aku takkan termakan lagi dengan kata-katanya. Cukuplah selama ini aku terlalu bodoh mempercayainya.
"Tolonglah aku. Aku terdesak sangat ni." Zamir masih berdiri di luar pagar sambil menayang muka simpati.
"Saya takkan bagi awak duit untuk beli benda tu. Dah lah awak. Lepas ni tolong jangan datang sini lagi."
"Risya, tolonglah kali ni aje." Zamir menarik pergelangan aku. Aku tak sangka tangannya mampu menyambar tangan aku meskipun ada pagar yang membentengi kami.
"Zamir, lepaslah!" Aku meronta-ronta agar dia melepaskan aku. Cengkamannya begitu kuat.
PON!
Bunyi hon kereta kuat kedengaran. Tuan Arkan baru sahaja pulang dari membawa anak-anaknya keluar bersiar-siar. Tuan Arkan keluar dari kereta mewahnya, lalu menghampiri Zamir yang berada di luar pagar.
"Apa hal kau datang sini? Tak cukup lagi lebam hari tu?" Dingin suara lelaki itu.
"Aku datang nak jumpa bekas isteri aku aje. Rileks lah. Aku cuma rindu dia. Dia pun rindu aku. Kan sayang?" Zamir melirikkan senyuman ke arahku.
"Awak, pergi lah balik. Jangan buat hal kat sini." Aku cuba menghalau Zamir. Memang tak lah aku nak rindu dia. Menyampah lagi ada.
"Aku boleh pergi dari sini tapi dengan syarat kau bagi aku duit dulu." Zamir mengugut aku. Aku mengetap bibir kerana geram. Memang Zamir jenis tak mudah berputus asa jika ingin meminta duit.
"Berapa kau nak? Aku boleh bagi kau duit, tapi lepas ni jangan datang ganggu dia lagi." Tuan Arkan mula mengeluarkan dompet dari poket seluarnya.
"Tuan, jangan bagi tuan..."
"Aku nak tiga ribu." Terbuntang mata aku apabila Zamir minta wang sebanyak itu dari Tuan Arkan.
"Tuan, jangan..." Aku cuba menghalang tapi nampaknya Tuan Arkan bersetuju untuk memberi Zamir wang tersebut. Zamir sudah tersenyum senang hati.
Tuan Arkan menghulurkan beberapa keping not RM 100 kepada Zamir. Aku mengurut pelipis. Tuan Arkan tak tahu Zamir akan gunakan wang itu untuk hal yang sia-sia.
"Thank you." Zamir mencium kepingan wang kertas yang berada dalam genggamannya.
"Ingat! Kalau kau datang ke sini lagi, aku takkan teragak-agak untuk call polis," pesan Tuan Arkan dengan wajah serius.
.
Aku masih belum berpuas hati dengan apa yang Tuan Arkan lakukan siang tadi. Aku jadi serba salah kerana melibatkan Tuan Arkan dalam masalah aku. Kenapa dia bagi duit sebanyak tu pada Zamir? Zamir tu bukan boleh dipercayai. Nanti dia akan datang lagi minta duit. Serabut kepala aku memikirkan masalah ini. Aku rasa aku patut bayar semula RM 3000 tu pada Tuan Arkan. Aku tak nak menyusahkan dia lagi. Dia dah banyak tolong aku.
"Tuan..." Aku menghampiri Tuan Arkan yang sedang menonton tv bersama Izara dan Arjuna. Dia mendongak memandang aku di tepi.
"Ya, Arisya. Awak ada sesuatu nak cakap?"soal Tuan Arkan dengan nada lembut.
Aku mengangguk. "Boleh kita bercakap di luar sekejap?"
Aku tak mahu berbual di hadapan anak-anaknya kerana ini adalah hal privasi aku.
Tuan Arkan bersetuju dan dia melangkah ke arah kolam renang yang berada di luar rumah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia dan menjemput aku duduk di situ.
"Saya sebenarnya nak cakap tentang kejadian siang tadi. Saya minta maaf sebab saya memang tak sangka bekas suami saya tahu saya tinggal di rumah ni. Soal duit RM 3000 tu nanti saya ganti balik pada Tuan. Atau Tuan boleh potong gaji saya setiap bulan." Aku malu nak pandang wajah Tuan Arkan saat ini. Aku tahu aku dah banyak menyusahkan dia sehingga dia turut terlibat sama dalam masalah rumahtangga aku.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi tawa kecil terletus dari bibir Tuan Arkan. Aku mengangkat wajah memandangnya dengan dahi berkerut.
"Kenapa awak nak kena ganti pula? Duit tu memang saya sendiri yang nak bagi pada dia."
"Tapi..."
"Tak apa. Awak jangan risau. Lepas ni dia takkan berani ganggu awak lagi. Kalau dia masih datang ganggu awak, saya tahu apa nak buat." Tuan Arkan bangkit dari duduk. Kedua tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.
"Tuan nak buat apa?" Seram pula aku melihat riak wajahnya yang sedang tersenyum sinis.
.
"Sedap betul lah mi goreng ni." Aku tersenyum mendengar pujian Izara terhadap mi goreng buatanku.
"Kalau sedap tambah lah lagi. Nak lagi tak?"soalku.
Izara mengangguk laju. Dia kelihatan cukup berselera menjamah sarapan pagi. Begitu juga dengan Arjuna yang sejak tadi hanya diam fokus pada makanannya.
"Kenapa lah mummy tak masak sedap macam ni kan?" Izara menyoal abangnya di sebelah. Arjuna mengangguk setuju.
"Tak baik cakap masakan mummy tak sedap tau. Kalau Zara dan Juna nak tahu masakan ibu adalah masakan paling sedap di dunia."
"Tapi mummy memang tak pandai masak. Mummy masak selalu aje hangit. Sebab tu mummy selalu beli makanan kat kedai,"jawab Izara lagi.
Aku menggeleng kepala. Seronok betul budak kecil ini mengutuk mummynya. Mentang-mentang lah mummy dia tiada di sini.
"Morning..." Tuan Arkan menyapa lalu dia mengucup ubun kedua-dua anaknya sebelum mengambil tempat duduk di meja makan.
"Daddy, lepas ni kita pergi tengok race tau." Arjuna yang tadi senyap kini bersuara.
"Iya. Lepas sarapan ni kita pergi. Mesti Juna rindu nak jumpa Uncle Syah kan? Dia pun rindu nak jumpa Juna. Nanti boleh lah jumpa dia kat sana."
"Iya ke daddy? Uncle Syah ada game hari ni?" Mata Arjuna membulat teruja. Tuan Arkan mengangguk sambil tersenyum.
Aku menghulurkan pinggan berisi mi goreng kepada Tuan Arkan. Kemudian, aku menuang teh panas ke dalam cawan sebelum dihidangkan kepadanya.
"Arisya, saya mungkin balik lewat sikit hari ni. Awak jaga rumah ya. Kalau ex-husband awak tu datang sini lagi, cepat-cepat call saya,"pesan Tuan Arkan.
"Baik, Tuan."
YOU ARE READING
Kita Pernah Terluka
RomanceSeorang bergelar duda dan seorang lagi janda, sama-sama pernah terluka. Kerana luka itu, mereka jadi trauma dan takut untuk jatuh cinta buat sekali lagi. Start: 13 jun 2024 End: