"Payung terbang?"
Aku tergamam. Bukankah lelaki ini yang telah membantu aku tempoh hari? Dia masih ingat tentang kejadian payung terbang itu?
"Err... ya. Saya lah tu."
"Jadi awak dah tak berniaga lagi?"soalnya lagi.
Aku menggeleng. "Saya nak cuba kerja di sini pula. Terima kasih tuan, sudi ambil saya bekerja di sini."
"Saya tak tahu pula awak pembantu baru tu sebab saya dah serahkan pada Mak Timah untuk carikan pembantu,"beritahunya.
Aku hanya sekadar senyum. Tak sangka pula dia majikan aku.
" Tapi elok juga awak berkerja di sini daripada berniaga di tepi jalan. Kesian anak awak terpaksa berpanas."
Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Memang betul cakap Kak Yana. Tuan rumah ini baik orangnya.
"Mak Timah, ibu dah makan malam?"
"Dah Tuan, tadi Risya dah suapkan puan makan."
Tuan Arkan kembali merenung aku. "Awak dah makan?"
"Sekejap lagi saya makan."
"Mari lah makan dengan saya sekali. Mak Timah dah makan?" Dia memandang Mak Timah pula.
"Tuan makan lah dulu. Mak timah nak kena kemas dapur. Sekejap lagi Mak timah datang." Mak timah sudah meminta diri ke dapur.
"Duduklah." Tuan Arkan menyuruhku duduk bersamanya.
"Tapi..."
"Awak nak saya bukakan kerusi untuk awak?"
"Eh... tak tak! Saya cuma..."
"Tak perlu segan lah. Lagi pun banyak perkara saya nak tahu tentang awak,"ucapnya sambil tersenyum kecil.
Aku sedikit gementar. Perlahan-lahan aku bergerak untuk duduk di atas kerusi berhadapan dengannya.
"Nama penuh awak apa?" Setelah melabuhkan punggung, aku terus dituju dengan soalan.
"Arisya Qizara. Tuan boleh panggil saya Risya."
"Arisya Qizara. Sedap nama tu. Lebih kurang nama anak saya. Alisya Izara."
Aku meliarkan mata mencari kelibat anaknya. Rasanya sejak tadi tiada budak kecil yang kelihatan dalam rumah ini.
"Awak cari siapa?"
"Anak Tuan. Saya tak nampak pun dia sejak petang tadi."
"Dia ada di rumah mommy dia." Aku mengerutkan kening masih kurang faham.
"Saya duda anak dua. Anak-anak saya dalam jagaan bekas isteri saya. Kadang-kadang aje dia orang akan datang ke sini." Tuan Arkan sambung menyuap nasi ke dalam mulut.
"Oh..."
"Eh, awak makan lah sama. Takkan awak nak tengok saya makan aje."
Aku mula menyenduk nasi ke dalam pinggan. Pertama kali makan berdua bersama majikan sendiri mestilah terasa kekok.
"Umur awak berapa?" soalnya lagi.
"24 tahun."
"Oh, muda lagi. Kahwin awal lah ni. Anak dah masuk setahun?"
"Dah."
"Suami awak pula kerja apa sekarang?"
Aku terdiam. Mungkin Mak Timah belum ceritakan apa-apa tentang aku pada dia.
"Saya dan suami dah berpisah."
.
Sejak aku berkerja di rumah Tuan Arkan, segala keperluan asas aku dan anak aku mula terjaga. Aku dapat membeli pampers dan susu tepung untuk anak aku. Sebelum ini aku hanya mampu membeli susu pekat manis menggantikan susu tepung. Susu pekat itu dicampur dengan air suam lalu aku beri anak aku minum.
Pejam celik pejam celik sudah tiga bulan aku berkerja di sini. Puan Yasmin pula mudah dijaga. Dia tak banyak kerenah. Mungkin orang gaji sebelum ini melarikan diri disebabkan terpaksa melakukan kerja pembersihan air kecil dan air besar Puan Yasmin. Puan Yasmin tak dapat menggerakkan kedua belah kakinya akibat strok. Kadangkala dia terbuang air besar di atas tilam atau kerusi rodanya. Dia juga tidak dapat bercakap dengan lancar.
Tapi jika ada Tuan Arkan, dia banyak meluangkan masa dengan Puan Yasmin. Dia sendiri yang menguruskan Puan Yasmin dan aku hanya membantu serba sedikit. Bertuah Puan Yasmin dapat anak sebaik Tuan Arkan yang mampu menjaga ibunya ketika sakit. Namun waktu ini, Tuan Arkan tiada di rumah kerana dia sedang bertugas di pelantar minyak.
Bunyi rengekan Alya di tengah malam, mengejutkan aku dari tidur. Pasti dia menangis kelaparan. Aku ke dapur untuk membancuh susu Alya. Sedang aku memasukkan susu tepung ke dalam botol susu, aku terdengar bunyi seseorang sedang cuba membuka pintu dari luar rumah.
Jantung aku berdegup laju. Jangan-jangan ada perompak yang cuba memecah masuk rumah ini. Aku pantas mencapai pisau dapur sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Keadaan di ruang tamu masih gelap kerana aku tak membuka lampu. Hanya lampu dapur sahaja yang terpasang.
Di saat aku mula melangkah keluar dari dapur, ruang tamu yang gelap gelita tadi bertukar terang- benderang.
Mataku terpaku pada sekujur tubuh seorang lelaki yang sedang berdiri melihat aku dengan wajah terkejut. Lelaki itu kemudiannya mengurut dada.
"Arisya... terkejut saya. Awak tak tidur lagi?"
"Tuan..." Tanganku menggigil. Aku sangka ada pencuri. Mujur orang itu adalah Tuan Arkan.
"Arisya? Awak okey?" Tuan Arkan menghampiri aku dengan lebih dekat.
"Kenapa awak pegang pisau ni?" Tuan Arkan mengambil pisau yang berada di tanganku.
"Sa-saya ingatkan tadi ada pencuri. Maaf Tuan, saya tak tahu Tuan akan balik malam ni." Aku tak dapat bayangkan jika memang ada perompak yang cuba masuk tadi.
"Oh ya. Saya lupa nak beritahu Mak Timah saya balik malam ni. Tapi awak betul ke okey? Muka awak nampak pucat aje ni."
Aku mengangguk. Tiba-tiba kedengaran bunyi tangisan Alya dari dalam bilik tidur.
"Saya nak pergi buatkan susu untuk anak saya sekejap." Aku masuk semula ke dapur untuk meneruskan kerja aku yang tergendala sebentar tadi.
Tak berapa lama kemudian, baru aku teringat yang sejak tadi aku tidak memakai tudung. Ini bermakna Tuan Arkan dah nampak rambut aku! Ya Allah... malunya!
Aku menerkup muka. Terasa berbahang muka. Kaki menghentak-hentak lantai dapur.
"Arisya... awak okey?" Tiba-tiba ada suara garau dari belakang menegur. Suara Tuan Arkan. Aku pantas bersembunyi di sebalik meja island.
"Arisya?" Mungkin dia pelik melihat aku menyorok tiba-tiba.
"Tuan! Jangan datang dekat."
"Kenapa awak menyorok?"soalnya.
"Tuan pusing menghadap peti ais tu boleh?"pintaku.
"Untuk apa?"
"Tuan buat aje lah."
"O-okey." Dia hanya menurut. Aku lihat tubuhnya sudah berpusing menghadap pintu peti ais di belakangnya. Perlahan-lahan aku mengambil botol susu Alya lalu aku berlari keluar dari kawasan dapur meninggalkan Tuan Arkan.
Bersambung...
YOU ARE READING
Kita Pernah Terluka
RomanceSeorang bergelar duda dan seorang lagi janda, sama-sama pernah terluka. Kerana luka itu, mereka jadi trauma dan takut untuk jatuh cinta buat sekali lagi. Start: 13 jun 2024 End: