Bab 13

345 48 3
                                    

Setelah menyiapkan makan tengahari, aku ke bilik ibu mertuaku untuk mengajaknya makan bersama. Aku lihat dia masih lagi terbaring di atas katil. Tadi katanya penat dan ingin berehat di bilik.

Tuan Arkan akan kembali ke tempat kerja hari ini. Selepas makan tengahari dan solat zohor, baru dia akan bertolak ke Terengganu.

"Ibu..." Aku menepuk perlahan bahunya.

Melihatkan tiada respon dari ibu meskipun sudah berkali-kali aku memanggilnya, membuatkan aku berfikir sesuatu. Takkan lah...

Bergetar jariku bergerak ke hidungnya untuk memeriksa nafasnya.

"Ya Allah... ibu..." Tanganku laju memeriksa nadinya pula. Masih belum percaya dengan apa yang berlaku. Aku menerkup mulut sambil air mataku mengalir keluar.

"Ibu..." Aku menangis sebak di sisi ibu mertuaku. Tangan tuanya aku genggam kemas dan tak mahu lepaskan. Meskipun dia bukan ibu kandungku tapi dia lah wanita yang mengajarkan aku erti kasih sayang seorang ibu.

"Arisya, kenapa?" Muncul Tuan Arkan di jenang pintu bilik.

"Ibu..." Aku masih teresak-esak menangis. Lidah tak mampu menuturkan kata. Bagaimana perasaan Tuan Arkan apabila dia tahu ibunya telah dijemput Illahi.

"Ibu dah tak ada." Aku kuatkan semangat untuk menuturkan kalimah itu meskipun kenyataan itu amat perit ditelan.

Tuan Arkan berhenti melangkah. Wajahnya masih kurang percaya. Kemudian, dia tergesa-gesa menghampiri tubuh ibunya dan memeriksa sendiri pernafasan wanita itu. Air matanya mula mengalir deras apabila dia pasti ibunya sudah tidak bernyawa lagi.

"Ibuuu..." Tuan Arkan menggogoi kesedihan di sisi Puan Yasmin. Belakang tangan Puan Yasmin dikucup lalu dibawa ke pipi.

"Ibu, An sayang ibu..." Matanya kelihatan merah. Air matanya laju turun membasahi pipi.

Dahi Puan Yasmin dikucup Tuan Arkan penuh kasih. Begitu sayang dan cintanya Tuan Arkan kepada ibunya. Siapa tak sedih apabila kehilangan insan yang bergelar ibu.

.

Sewaktu proses memandikan jenazah Puan Yasmin, Tuan Arkan meminta izin untuk turut serta memandikan arwah. Tatkala upacara pengebumian pula Tuan Arkan sendiri yang masuk ke liang lahad untuk meletakkan jasad Puan Yasmin di dalam tanah dan Tuan Arkan juga yang membacakan talkin pada hari tersebut.

Selesai upacara pengebumian, orang ramai sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya aku, Puan Tania dan Tuan Arkan. Alya, Arjuna dan Izara dijaga oleh Mak Timah di rumah.

Puan Tania masih menangis teresak-esak di tepi pusara arwah. Tuan Arkan pula kelihatan sedikit tenang berbanding tadi. Cuma matanya masih kelihatan berair.

"I banyak salah dengan ibu. Sebab I juga ibu sakit. Ibu... maafkan Nia, ibu. Semua salah Nia. Kalau bukan sebab Nia, ibu takkan jadi macam ni." Puan Tania mengelap air mata dengan selendang hitam yang dipakainya.

Tuan Arkan menghela nafas berat. Aku nampak dia sedang berusaha untuk tidak menangis. Entah apa yang sebenarnya yang berlaku sebelum ini. Mengapa Puan Tania berasa amat bersalah terhadap arwah? Apa kesalahan dia terhadap arwah?

"Bukan salah you. Jadi, you tak perlu rasa bersalah. Kita cuma doakan aje ibu. Ajal maut di tangan Tuhan, Nia. Tak ada siapa yang berkuasa menghalang. Jom lah kita balik." Tuan Arkan memujuk Puan Tania untuk pulang.

Tuan Arkan membantu Puan Tania untuk bangun berdiri. Bahu wanita itu didakap kemas oleh Tuan Arkan. Aku sedikit terkesan melihat sentuhan yang Tuan Arkan berikan pada Puan Tania. Nampak seakan lelaki itu masih mengambil berat terhadap bekas isterinya itu.

"Ibu, nanti Arkan datang lagi jumpa ibu ya. Nanti Arkan datang dengan Arfan." Tutur tuan Arkan sebelum kami bertiga melangkah pergi meninggalkan pusara Puan Yasmin.

.

Malam itu Tuan Arkan tidak turun untuk makan malam. Aku tahu dia masih bersedih dengan pemergian arwah ibunya. Sepatutnya hari ini dia ke Terengganu tetapi terpaksa ditangguhkan.

Makanan yang sudah tersedia di dalam pinggan aku renung sebentar. Patutkah aku bawa makanan ini ke biliknya? Macam mana kalau dia tak mahu diganggu? Tapi macam mana pula kalau dia lapar nanti.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke biliknya sambil membawa makanan. Jika dia tak mahu makan, aku akan bawa turun semula makanan ini nanti.

Ketukan di pintu biliknya tidak bersahut. Aku cuba memulas tombol pintu dan ternyata pintunya tidak berkunci. Masuk saja ke dalam bilik, tiada satu cahaya pun kelihatan.

Aku menekan suis lampu yang berada dekat dengan pintu masuk. Kemudian, kelihatan sekujur tubuh sedang terbaring meringkuk di atas katil. Aku menghampiri tubuh tuan Arkan yang sedang tidur itu. Dulang makanan, aku letakkan di atas meja.

Ada sehelai kain di tangannya. Hidungnya pula kelihatan merah. Dia masih menangisi pemergian Puan Yasmin. Di tangannya itu pasti baju arwah. Mungkin dia sudah mula merindukan arwah ibunya.

Wajahnya aku tatap lama. Matanya kelihatan basah dengan air mata. Ada air mata yang masih keluar dari tubir mata. Tanpa sedar ibu jariku mengusap pipinya perlahan. Entah mengapa aku jatuh kasihan melihatnya.

Sedang aku menyeka air mata yang menyalir di pipinya, sepasang mata yang tadinya terkatup rapat kini sudah terbuka luas. Aku menarik kembali tanganku yang sejak tadi di pipinya.

Matanya redup melihat aku di depan. Mata yang sebelum ini selalu membuat aku resah, kini mata itu seakan sedang meminta belas simpati.

"Arisya..." Dia capai tangan aku lalu dia genggam.

"Ya... a...wak." Aku terkedu saat dia menyentuh tanganku.

"Ibu dah tak ada." Air matanya mengalir lagi.

"Saya tahu awak sedih. Saya pun sedih bila ibu dah pergi. Kita doakan untuk ibu semoga ibu tenang di alam sana ya." Aku menyeka air mata di pipinya dengan ibu jari aku. Entah mengapa aku sudah berani menyentuhnya sebegini. Mungkin kerana aku terlalu kasihan melihat situasinya ketika ini.

Tuan Arkan bangun dari terus berbaring. Dia duduk bersandar di kepala katil. Tanganku masih dalam genggamannya seperti tak ingin dilepaskan.

"Awak mesti lapar kan? Sejak tengahari tadi awak tak makan. Saya ada bawakan nasi untuk awak." Aku ingin meleraikan pegangannya untuk pergi mengambil makanan. Tapi tiba-tiba Tuan Arkan menarik tanganku sehingga membuatkan aku jatuh  terduduk di sisinya kembali.

"Saya tak nak makan. Saya cuma nak..." Belum sempat aku berpaling melihatnya, tubuhku dipeluknya dari belakang. Aku terdiam dan tubuhku mengeras seketika.

"...Peluk awak."

Kepalanya sedang berehat di belakang bahuku dan pelukannya begitu kemas di pinggangku. Pertama kali aku dan dia serapat ini. Jantung aku semakin berdebar. Meskipun begitu, aku hanya merelakan saja dia memeluk aku. Tak sampai hati untuk menolak permintaannya.

"An rindu ibu..." Luah Tuan Arkan.

Aku masih diam membisu. Tak tahu mahu memujuknya bagaimana. Belakang bajuku terasa basah dek kerana Air mata Tuan Arkan.

Hampir 15 minit kami dalam keadaan begitu sehinggalah aku terdengar bunyi dengkuran halus dari arah belakang.

"Awak..."Aku mengintai sedikit wajahnya di belakang. Ternyata dia sudah pun terlelap.

Perlahan-lahan aku melepaskan pautan tangannya di pinggang. Setelah itu, aku mengalaskan kepalanya di atas bantal dengan berhati-hati.

Nampaknya makanan yang aku bawa tadi terpaksa dibawa turun semula. Sebelum melangkah keluar dari bilik itu, aku menyelimuti tubuhnya lalu menutup lampu.

Kita Pernah TerlukaWhere stories live. Discover now