1

24 1 0
                                    

Qarina membaca kembali emel yang baru diterimanya pagi tadi. Rambutnya yang panjang melepasi bahu diikat rapi. Dia terkedu dan tergamam. Habis segelas air milo diteguk dek perasaan gundah setelah membaca emel daripada bekas teman baiknya. Aduhai, kenapalah Balqis sengaja bermain dengan jiwa laranya? 

Qina, aku akan sambut ulang tahun perkahwinan aku kat Pulau Pinang. Kau tunggu aku ya. Dah lama kita tak jumpa, mesti banyak cerita. Kita jumpa lagi tiga bulan. 

Wassalam,

-Balqis

Qarina membaca lagi emel itu. Masuk kali ini, sudah lima kali dia membaca emel yang tidak pernah diduga kehadirannya. Pelik, macam mana perempuan ini tahu alamat emelnya? Pasti ada mulut-mulut gatal yang sengaja menempah maut dengan memberitahu alamat emelnya kepada bekas teman baiknya itu. Memang sakit hati! Marah Qarina dalam hati. 

"Cik Qina, bos panggil," ujar Fatin, pembantu Qarina. 

Qarina merengus lagi. Dengan malas, dia melangkah keluar dari biliknya. 

"Ada apa, bos?" soal Qarina sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi. 

"Macam mana dengan pengambilan jurutera untuk projek baru tu?" soal Firhad, pengarah urusan Setia Holdings. 

Mata lelaki itu tetap menumpu ke arah skrin komputer riba tanpa menatap wajah manis Qarina.

"Hmm... dah ada tiga orang calon untuk sesi temu duga. Cuma tunggu bos aje. Kalau bos tak keberatan, mungkin bulan depan saya akan tetapkan tarikh temu duga," jawab Qarina. 

Geramnya dengan sikap acuh tak acuh bos aku ni. Buruk sangat ke muka aku sampai sedikit pun dia tak menoleh? Buar penat aje aku bersolek, rungut hati Qarina. 

"Hmm... kalau bulan depan, lambat sangat. Awak tetapkan tarikh minggu depan dan bincang dengan Mas. Ada apa-apa lagi?" soal Firhad. 

Hisy, dia panggil aku dia pulak yang soal aku, getus hati Qarina. 

"Tak ada apa. Saya keluar dululah. Nanti, saya bincang dengan Mas," jawan Qarina. 

Firhad mengangguk. 

***********************************************************************************************

"BOS tu teruk betullah, Mas," ujar Qarina, tidak puas hati. 

"Kenapa pulak ni? Kena marah ek?" duga Mastura, wanita yang seusia Qarina tetapi sudah mempunyai anak tiga. 

"Bukan kena marah, tapi dia langsung tak pandang muka aku bila bercakap. Menghadap komputer aje. Kenapa? Cantik lagi ke komputer tu daripada muka aku ni?" soal Qarina. 

"Ada hati nak mengurat bos sendiri ke, Qina? Jangan main-main. Tak takut dengan isteri dia ke? Isteri dia tu garang tau," ujar Mastura, mengingatkan. 

"Kau ni, ke situ pulak. Aku bukan nak mengurat dialah. Gila kau? Tapi sekurang-kurangnya, pandanglah muka aku yang comel ni. Susah payah tau, tiap-tiap bulan aku buat rawatan muka. Tapi tak dipandangnya muka aku ni," rungut Qarina lagi. 

"Kau ni nak menopaus ke apa, awal-awal pagi dah merungut. Bos jumpa kau kenapa?" soal Mastura, sudah malas hendak melayan rungutan Qarina. 

"Jahatnya mulut. Oh, lupalah pulak, bos suruh aku bincang dengan kau tarikh untuk temu duga jurutera baru minggu depan," jawab Qarina. 

"Bos kau ni dah nyanyuk ke apa? Minggu depan kan dia cuti seminggu, nak bawa isteri dia pergi Bali," ujar Mastura. 

"Ya ke? Kau pergi masuk tanya dia, aku tunggu kat luar ajelah."

Mastura kemudian melangkah masuk ke bilik Firhad. Tidak lama kemudian, dia keluar dengan senyuman meleret. 

"Bila?" soal Qarina, tidak sabar ingin tahu. 

"Minggu depan. Tak jadi ke Bali. Perang dingin kut. Patutlah muka masam aje," jawab Mastura. 

Qarina menarik nafas lega. Lagi cepat urusan pengambilan jurutera baru itu dijalankan, lagi mudahlah kerjanya. 

***********************************************************************************************

"FATIN, awak tolong siapkan surat panggilan temu duga pada mereka ni. Temu duganya pada hari Rabu minggu depn. Pukul 9.00 pagi," arah Qarina sambil menghulurkan tiga set salinan resume kepada Fatin. 

"Okey, petang nanti saya siapkan boleh? Saya nak siapkan laporan kewangan ni dulu," ujar Fatin. 

"Okey, awak siapkan surat ni dulu, lepas tu suruh Mat buat pos laju. Nanti tak sempat pulak calon-calon tu buat persediaan. Laporan tu bukan saya nak cepat pun. Dalam dua tiga hari lagi," ujar Qarina. 

"Kalau macam tu, okeylah. Cik Qina nak keluar makan ke? Kalau tak nak keluar, saya boleh tolong belikan. Sebab saya nak ke kedai Mak Timah yang kat hujung tu," ujar Fatin. Besar hatinya untuk membelikan makanan tengah hari buat ketuanya. 

"Tak naklah. Saya diet hari ni. Terasa macam badan dah naiklah," tolak Qarina dengan baik. 

"Nak naik pelamin ke, Cik Qina? Amboi, senyap-senyap aje dah dapat buah hati," usik Fatin kepada gadis yang sudah pun menjangkau usia 30 tahun bulan lepas. 

"Buah hati? Buah tangan adalah, nak ke?" jawab Qarina. Geram sungguh kalau statusnya diperkatakan. 

"Janganlah marah, Cik Qina. Saya gurau ajelah," ujar Fatin. 

"Tahu takut. Saya tak marahlah, Fatin. Cepat siapkan surat tu ya. Kalau boleh, poskan hari ni jugak," pesan Qarina lagi. 

"Okey, bos," jawab Fatin bersahaja.

  Dia memang senang bekerja di bawah seliaan Qarina, seorang ketua yang bertimbang rasa. Kadang-kadang, Qarina sendiri akan membantu menyiapkan laporan yang perlu disediakan. 

Qarina membuka kembali emel yang diterimanya pagi tadi. Dia mula menaip dan membalas kembali emel itu. 

Bestnya! Lama tak jumpa dengan kau, kan? Tak sabar nak jumpa. Jangan lupa hubungi aku tau.

Hipokrit! Marah Qarina pada diri sendiri. Biarlah, ada aku kisah? Yang pasti, dia tidak akan membuka emel ini lagi. Dia tersenyum lega.   

Isteriku Naik Hantu karya Syikin ZainalTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang