Chapter 18

17 3 0
                                    

Iruka turun dari katilnya dengan hati-hati, langkahnya perlahan tetapi bertekad. Sejak Naruto pergi bersama Pasukan Tujuh untuk misi, dia merasa sepi dan sedikit terganggu. Kakashi, yang telah melawatnya dalam keadaan yang sangat tidak sihat, masih dalam fikirannya. Iruka merasa sedikit rasa bersalah kerana Kakashi telah memaksa dirinya untuk melawatnya walaupun dia sendiri memerlukan rawatan.

Dia membuka pintu wadnya dan melangkah keluar, tujuan hatinya adalah untuk melawat Kakashi, memastikan lelaki itu baik-baik saja. Dengan langkah yang teragak-agak tetapi penuh azam, Iruka menapak ke arah wad Kakashi, hatinya dipenuhi dengan keinginan untuk melihat keadaan Kakashi dengan mata kepalanya sendiri. Dia tidak pasti apa yang akan ditemuinya, tetapi dia tahu bahawa dia perlu melihat Kakashi, perlu tahu bahawa lelaki itu selamat.

Jarak yang sepatutnya hanya mengambil masa kurang dari sepuluh minit terasa seperti perjalanan yang panjang dan melelahkan bagi Iruka. Dia akhirnya tiba di hadapan wad Kakashi selepas tujuh belas minit, setiap langkah terasa berat dan perlahan, tetapi semangat untuk memastikan keadaan Kakashi baik-baik saja telah memberinya kekuatan untuk meneruskan.

Naruto telah memberitahunya di mana bilik jounin itu berada, dan kini Iruka berdiri di hadapan pintu tersebut, hatinya berdebar-debar dengan rasa bimbang dan ketidakpastian. Dia menghulurkan tangan untuk membuka pintu, tetapi berhenti sejenak, menarik nafas panjang dan mempersiapkan dirinya untuk apa jua yang menantinya di sebalik pintu itu.

Dengan nafas yang pasti, Iruka membuka pintu wad itu perlahan-lahan. Pintu berderit sedikit saat ia terbuka, memperlihatkan suasana bilik yang sunyi dan tenang. Cahaya lembut dari tingkap menyinari satu kujur tubuh yang terbaring di atas katil putih. Selimut menutup separuh badan Kakashi, dan topeng hitam yang biasanya menutupi wajahnya kini telah diganti dengan topeng perubatan, hanya menampakkan mata yang tertutup rapat.

Tanpa teragak-agak, Iruka merapati Kakashi, setiap langkahnya dipenuhi dengan keprihatinan. Dia memerhatikan wajah lelaki itu dengan teliti, mencari tanda-tanda kehidupan dalam ketenangan yang seolah-olah menakutkan. Mata Kakashi masih tertutup rapat, wajahnya kelihatan lebih pucat daripada biasa, tetapi nafasnya kelihatan teratur, memberi sedikit kelegaan kepada hati Iruka yang berdebar-debar.

Iruka berhenti di tepi katil. Dia tidak pasti apa yang patut dilakukan seterusnya, tetapi hanya melihat Kakashi berada dalam keadaan yang tenang itu sudah cukup untuk mengurangkan sedikit kebimbangannya. Perlahan-lahan, dia menghulurkan tangan dan meletakkan tangannya di atas tangan Kakashi yang terdedah, merasakan suhu tubuh lelaki itu melalui sentuhan lembut. Suhu Kakashi sedikit lebih panas daripada biasa, mungkin kerana demam, tetapi masih ada kehangatan yang menenangkan hati Iruka.

"Iruka-sensei..." Suara Kakashi tiba-tiba bergema dengan lembut, mata yang tertutup itu terbuka sedikit, menampakkan mata merah Sharingan yang kini kelihatan letih dan redup.

Iruka terkejut seketika, tetapi dia segera menenangkan dirinya dan tersenyum lemah. "Kakashi-san, awak dah sedar. Saya... Saya datang untuk pastikan awak okey."

Kakashi mengangguk perlahan, bibirnya di sebalik topeng perubatan mengukir senyuman tipis yang sukar dilihat. "Saya okey... cuma... penat sikit." Dia menjawab dengan suara yang serak, suaranya hampir tenggelam di dalam keheningan bilik.

Iruka menyentuh lembut mata Sharingan Kakashi, menutupnya dengan teliti untuk mengelakkan lebih banyak cakra Kakashi daripada digunakan. Dia menarik nafas panjang, merasakan kehangatan yang lembut dari jari-jemarinya pada dahi Kakashi. Walaupun Iruka tidak tahu banyak tentang Sharingan, dia tahu cukup untuk memahami kesannya terhadap pengguna, dan dia mahu mengurangkan sebarang beban yang Kakashi mungkin sedang tanggung.

"Awak tak patut datang," kata Kakashi, nadanya lebih lemah kali ini, hampir seperti gumaman. "Awak perlu banyak rehat..."

Iruka tersenyum tipis, walaupun rasa risau dan sayu menyelubungi hatinya. "Saya tak boleh hanya duduk dan rehat apabila awak di sini. Saya... saya mahu pastikan awak okey."

Kakashi cuba membuka matanya dengan lebih luas, tetapi hanya mata satunya yang terbuka sedikit sebelum dia menyerah kalah, kepenatan. "Iruka..." Suara Kakashi semakin perlahan, seakan-akan dia sedang berperang untuk kekal sedar. "Saya... saya cuma mahu awak selamat."

Iruka duduk di sisi katil, tangannya sekali lagi menyentuh lengan Kakashi dengan lembut, memberikan sokongan yang dia tahu Kakashi sangat perlukan. "Saya akan okey, Kakashi. Saya janji." walaupun jauh dalam dasar hatinya, dia merasakan itu tidak mungkin.

Kakashi hanya mengangguk kecil, kelihatan puas dengan jawapan Iruka walaupun matanya semakin terpejam. Kesedarannya mulai pudar, dan sebelum dia benar-benar tertidur, Kakashi sempat berkata dengan suara yang hampir tidak kedengaran, "Jangan risaukan saya... saya cuma mahu awak terus hidup."

Iruka merasakan hatinya tersentuh dengan kata-kata itu, dan dia hanya mampu menatap wajah Kakashi yang kini kembali tenggelam dalam tidur. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab, jadi dia hanya duduk di situ, menunggu sehingga Kakashi benar-benar lena sebelum bangun untuk meninggalkan bilik.

_________________________________

Di dalam istana megah yang dikelilingi oleh taman-taman yang tenang dan permai, daimyo Tanah Air sedang menikmati waktu paginya ketika salah seorang pegawai istana mengetuk pintu biliknya. Dengan penuh sopan, pegawai itu menyerahkan sepucuk surat yang dimeterai dengan mohor rasmi Hokage Konoha.

Daimyo mengambil surat itu dengan tenang, tetapi dengan kewaspadaan seorang pemimpin yang berpengalaman, dia memberikan isyarat kepada pengawal peribadinya. Beberapa pegawai segera mengelilingi surat itu, memeriksa setiap inci untuk memastikan tiada perangkap atau ancaman yang tersembunyi. Selepas beberapa minit pemeriksaan teliti, mereka mengangguk dengan penuh yakin, mengesahkan bahawa surat itu selamat untuk dibaca.

Dengan penuh keanggunan, daimyo membuka surat itu dan mula membaca kandungannya. Mata bijaksana lelaki itu menyelusuri setiap perkataan dengan teliti, bibirnya tidak menunjukkan sebarang emosi. Kandungan surat itu cukup untuk menarik minatnya, dan dia mengambil masa untuk merenung sejenak setelah selesai membacanya.

Surat itu, walaupun ringkas, membawa permintaan penting dari Konoha, izin untuk memasuki tanah terlarang yang telah lama tidak disentuh oleh manusia sejak berakhirnya Perang Shinobi Pertama. Permintaan itu datang bukan untuk tujuan peperangan atau perebutan kuasa, tetapi untuk mencari jawapan yang telah lama tersembunyi di tanah yang penuh misteri itu.

Daimyo memandang keluar dari tingkap, merenung sejauh mana implikasi dari permintaan ini. Klan Umino, dan sumpahan yang dikatakan menghantui mereka selama ini, semua ini kini menghantui pewarisnya, Umino Iruka. Tanah yang dimaksudkan itu penuh dengan sejarah dan bahaya yang tidak diketahui, dan melepaskan sesiapa untuk memasuki wilayah tersebut bukanlah keputusan yang boleh dibuat dengan ringan.

Namun, permintaan dari Hokage membawa berat dan kepercayaan yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Daimyo meletakkan surat itu di atas meja berhias ukiran kayu, memanggil penasihat-penasihatnya untuk mendapatkan pandangan mereka sebelum memberikan jawapan terakhir. Bagi Daimyo, ini bukan sekadar keputusan mengenai hak masuk ke tanah yang terlarang, tetapi juga mengenai kepercayaan antara Tanah Air dan Konoha, dan mungkin, mengenai masa depan seorang shinobi yang membawa beban warisan keluarganya.

Daimyo Tanah Air duduk dengan tenang di biliknya, memikirkan permintaan dari Konoha. Bagi beliau, masalah yang dihadapi oleh shinobi Konoha mungkin bukanlah urusannya—bukan sesuatu yang perlu dia ambil pusing. Namun, sejarah dan jasa Klan Umino tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Klan tersebut bukan sahaja pernah berbakti kepada Tanah Air, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membantu Kirigakure dalam ilmu laut, suatu bidang yang amat penting bagi Tanah Air yang dikelilingi oleh lautan.

Setelah beberapa pertimbangan dan perbincangan dengan penasihatnya, Daimyo akhirnya membuat keputusan. Dia bersetuju untuk memberikan izin kepada shinobi Konoha untuk memasuki tanah terlarang itu, tetapi bukan tanpa syarat. Beliau mahu memastikan keselamatan wilayahnya dan mengekalkan kawalan terhadap situasi ini.

Surat balasan segera disiapkan dan dimeterai dengan mohor rasmi Daimyo. Dalam surat itu, Daimyo menetapkan dua syarat utama.

Pertama shinobi Konoha yang datang mesti diiringi oleh ninja dari Kirigakure. Ini adalah untuk memastikan tidak ada sebarang tindakan yang melanggar batasan atau melibatkan ancaman kepada Tanah Air. Daimyo ingin memastikan bahawa pergerakan mereka diawasi dan diuruskan dengan betul.

Kedua sebagai waris Klan Umino, Iruka memiliki kepentingan yang unik dalam situasi ini. Daimyo ingin bertemu dengan Iruka secara peribadi sebelum mereka memulakan misi mereka di tanah terlarang.

BERSAMBUNG....


MalédictionTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang