Kakashi duduk bersandar pada dinding gua yang sejuk, matanya memandang ke arah api kecil yang dia nyalakan untuk menghangatkan dirinya. Bunyi renyai hujan di luar gua dan angin yang bertiup di antara batu-batu besar seolah-olah menjadi latar bunyi yang menambah kekosongan dalam fikirannya.
Sudah tiga hari sejak dia bercakap dengan Tsunade dan Jiraiya tentang penyakit Iruka, bayangan wajah pucat guru itu terus terpapar jelas dalam fikirannya. Kakashi tidak pernah terlalu rapat dengan Iruka—mereka jarang bercakap, dan hanya berinteraksi ketika keadaan memerlukan. Tetapi sesuatu tentang melihat Iruka terbaring tidak sedarkan diri telah menimbulkan rasa tidak enak di dalam perutnya, seolah-olah ada sesuatu yang penting hilang dari hidupnya.
Dia cuba menumpukan perhatian pada misi yang sedang dijalankan—misi pengintipan dan mengambil semula skrol yang dicuri oleh ninja Kirigakure. Namun, setiap kali dia menutup matanya, bayangan Iruka kembali menghantui fikirannya. Kakashi bukanlah seseorang yang mudah terganggu, tetapi kali ini, dia tidak dapat mengabaikan rasa cemas yang melanda hatinya.
"Apa yang berlaku sebenarnya?" Kakashi bertanya pada dirinya sendiri, suaranya hampir tidak kedengaran di tengah-tengah bunyi hujan. "Kenapa saya merasa seperti ini terhadap seseorang yang saya hampir tidak kenal?"
Dia melepaskan nafas panjang, menyedari bahawa dia tidak akan mendapat jawapan yang memuaskan malam ini. Namun, satu perkara yang jelas—dia perlu segera menyelesaikan misi ini dan kembali ke Konoha. Ada sesuatu yang mendesaknya untuk berada di sisi Iruka, walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya yang membuatnya merasa begitu.
Setelah berjaya mendapatkan semula skrol yang dicuri, Kakashi merasakan angin kemenangan hanya seketika. Tanpa diduga, salah seorang daripada ninja musuh berjaya mengesannya. Detik itu, segala perancangannya menjadi porak-peranda. Suasana di sekelilingnya berubah menjadi huru-hara ketika ninja-ninja musuh terus mengejarnya.
Kakashi melarikan diri dengan pantas, melompat dari satu dahan ke dahan yang lain di hutan tebal, dengan musuh-musuh yang tidak berhenti memburunya. Namun, sebelum dia sempat melangkah ke sempadan negara, tanah di bawahnya tiba-tiba terbelah, dan sebuah jutsu tanah yang kuat menjatuhkannya ke tanah.
"Takkan mudah begitu," Kakashi mendesis, pantas bangkit dari tanah yang menghimpitnya. Dia segera menarik kunai dari tempatnya dan bersiap sedia menghadapi musuh-musuhnya.
Ninja-ninja musuh melompat dari balik pokok dan bayang-bayang, menyerang Kakashi tanpa belas kasihan. Serangan datang dari semua arah—shuriken, kunai, jutsu tanah, dan air yang cuba menghentikan langkah Kakashi. Tetapi dia bukanlah seorang shinobi yang mudah dijatuhkan.
Dengan gerakan yang cepat dan tepat, Kakashi mengelak dan mematahkan setiap serangan yang datang. Dia menggunakan segala kemahiran dan strategi yang ada untuk mempertahankan diri dan memastikan skrol itu tetap berada dalam tangannya. Perlawanan semakin sengit, dengan setiap detik yang berlalu semakin mendekatkan Kakashi ke titik keletihan.
Namun, Kakashi tahu dia tidak boleh kalah. Dia harus melindungi skrol itu dan kembali ke Konoha. Dengan satu serangan terakhir yang penuh dengan tekad, Kakashi mengaktifkan Sharingan-nya, mencari kelemahan dalam serangan musuh, dan dengan satu gerakan cepat, dia berhasil menewaskan musuh yang paling dekat dengannya.
Walaupun pertempuran itu melelahkan, Kakashi akhirnya berhasil melepaskan diri daripada kepungan musuh. Dia tahu dia perlu segera kembali ke Konoha—bukan hanya untuk menyerahkan skrol itu, tetapi juga kerana satu sebab yang lebih peribadi—Iruka.
Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, Kakashi akhirnya tiba di Konoha, malangnya tubuhnya sudah tidak mampu bertahan lagi. Langkahnya menjadi goyah sebaik sahaja dia melewati pintu masuk kampung.
Di hadapan kedua penjaga pintu, Izumo dan Kotetsu, Kakashi rebah dengan nafas yang tersekat-sekat. Tanpa sedar nama yang keluar dari bibirnya yang lemah sebelum dia tidak sedarkan diri adalah "Iruka."
Izumo dan Kotetsu saling berpandangan, terkejut dengan apa yang baru berlaku. Tanpa menunggu lebih lama, Kotetsu segera mengangkat tubuh Kakashi yang lemah dan membawanya terus ke hospital. Izumo mengekorinya dengan cepat, berlari di sepanjang jalan yang sibuk di Konoha, hati mereka penuh kebimbangan.
Di hospital, Tsunade segera mengambil alih situasi. Dengan pantas, dia dan pasukan perubatannya mula merawat Kakashi yang berada dalam keadaan kritikal yang berkemungkinan jounin itu kekurangan cakra yang teruk.
Dan jika Kakashi mengetahui tentang keadaan Iruka sekarang, pasti dia akan berkeras untuk menyalurkan cakranya kepada Iruka. Tetapi, dengan keadaan Kakashi yang sudah begitu lemah, tindakan itu hanya akan membahayakan nyawanya sendiri. Oleh itu keputusan telah dibuat, keadaan Iruka harus dirahsiakan daripada Kakashi
"Jangan beritahu Kakashi tentang Iruka," Tsunade memberi arahan tegas kepada pasukannya. "Dia perlu stabil dahulu sebelum dia tahu apa-apa. Jika tidak, anak nakal ini akan melompat kearah Iruka dan memberikan cakranya."
Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Kakashi mula tenggelam dalam mimpi yang sangat aneh, namun penuh dengan keindahan dan ketenangan. Sesuatu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Di dalam mimpi itu, dia melihat dua lelaki yang duduk di bawah sebuah pohon sakura yang sedang mekar, kelopak bunganya yang lembut berterbangan ditiup angin.
Kakashi terkejut apabila mengenali salah seorang lelaki itu sebagai ayahnya, Hatake Sakumo, yang kelihatan sangat muda dan bertenaga, jauh berbeza daripada kenangan terakhirnya. Di sebelahnya duduk seorang lelaki lain yang Kakashi hanya pernah lihat melalui sekeping gambar lama. Umino Ikkaku, ayah Iruka.
Kedua-dua lelaki itu kelihatan sangat akrab, seperti dua sahabat lama yang tidak pernah berjauhan. Mereka sedang memegang cawan seramik yang berisi teh hijau, kelihatan tenang dan damai.
Angin lembut yang bertiup membawa kelopak sakura berterbangan di udara, dan salah satu kelopak itu jatuh ke dalam teh Ikkaku. Lelaki itu hanya tersenyum, tidak terganggu oleh gangguan kecil itu, malah mengangkat cawannya seolah-olah ingin menikmati keindahan kelopak tersebut.
Sementara itu, Kakashi melihat ayahnya tersenyum tenang sambil mengamati satu kelopak sakura yang jatuh di atas tangannya. Sakumo perlahan-lahan menghulurkan tangannya, menyerahkan kelopak itu kepada Ikkaku, sambil berkata sesuatu yang Kakashi tidak dapat dengar. Keduanya kelihatan begitu muda dan riang, ketawa bersama, berbual mesra dalam keheningan yang tidak dapat Kakashi tembusi.
Kemudian, dari arah kejauhan, muncul dua orang wanita yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Salah seorang daripada wanita itu menggendong seorang bayi dengan penuh kasih sayang, manakala yang seorang lagi sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak kecil, mungkin berusia sekitar empat tahun.
Walaupun suasana itu begitu asing, Kakashi merasa ada sesuatu yang sangat akrab—seperti dia sedang melihat satu kenangan yang bukan miliknya, tetapi penuh dengan kehangatan yang aneh. Mimpi itu begitu nyata, tetapi Kakashi tidak dapat menyingkap makna di sebalik pertemuan tersebut. Seolah-olah ada satu pesan yang ingin disampaikan kepadanya, tetapi dia tidak dapat mencapainya.
Suasana di sekeliling mereka tetap tenang, dengan pohon sakura yang terus menghamburkan kelopak-kelopaknya, seakan-akan melambangkan kehidupan yang terus berjalan, walaupun dengan segala kesukaran dan pengorbanan yang telah dilalui. Kakashi hanya mampu melihat, merasai kedamaian yang entah mengapa terasa seperti miliknya juga, walaupun dalam mimpi.
BERSAMBUNG....

ANDA SEDANG MEMBACA
Malédiction
Fiksi PenggemarSesuatu telah berlaku 👫Character hanya pinjaman dan sesungguhnya hak milik Masashi Kishimoto ⚠️Warning mengandungi unsur-unsur Mpreg bl boylove bxb ooc dan sewaktu dengannya. ❌Tak suka jangan baca ✍️Typo itu pasti