Chapter 6

113 8 0
                                    

Perkara pertama yang Iruka lakukan setelah pulang ke rumahnya, adalah mengemas tempat tidurnya. Kesan darah kering dan bau hamis darah sangat mengganggu. Dia membuat keputusan untuk membakar segalanya dan mendapatkan yang baru kemudian.

Ketika dia membungkus kain kotor, pintu rumahnya diketuk. Dia mengeluh cuba memikirkan siapa yang datang mengganggu tetapi baru sahaja dua langkah menuju ke pintu dia merasakan dunianya berputar. Dia terus jatuh terduduk. Menahan kepalanya yang sakit.

Dalam samar-samar dia mendengar tapak kaki berlari di lorong menuju ruang tamu. Iruka mengangkat wajah untuk melihat Pasukan tujuh keseluruhannya telah berdiri di ambang pintu. Hanya sesaat di hadapan matanya terdapat kabur jingga merenungnya.

"Sensei awak okey? Awak cedera ke?" Matanya tidak dapat fokus dan suara itu membingitkan telinganya. Kemudian dia merasakan tubuhnya melayang dan perkara seterusnya adalah dia merasakan dia dibaringkan di atas sesuatu yang lebih lembut.

"Sensei, berehat dan tidurlah" Satu suara yang tidak asing mencapainya, suara yang lebih matang. Seperti anak yang baik Iruka memejamkan matanya dan tidur mengambil alih.

"Kakashi sensei, adakah Iruka sensei baik-baik saja?" Suara Naruto kecil di belakang. Anak itu masih duduk diatas lantai tempat dimana dia menemui Iruka duduk sambil memegang kepalanya.

Kakashi merenung Iruka yang terbaring diatas sofa. "Dia hanya penat" Jawabnya ringkas, cuba untuk tidak merisaukan pelajarnya.

"Sensei nampaknya Iruka sensei belum makan apa-apa, dapurnya kosong dan berhabuk." Jawab Sakura yang muncul dari dapur chunin itu.

"Nah, sementara Iruka sensei tidur, ada baiknya awak bertiga pergi ke pasar dan beli sesuatu dan saya akan masak makan malam untuk kita berempat kemudian" Kakashi mencadangkan. Sakura pantas bersetuju, Sasuke dan Naruto hanya menurut.

Setelah memberikan sejumlah wang, ketiga genin itu melangkah pergi meninggalkan Kakashi yang masih berdiri di tengah-tengah ruang tamu Iruka, manakala pemiliknya tertidur di atas sofa.

Kakashi memandang sekeliling, matanya segera menangkap sebuah bungkusan di tepi pintu biliknya, ketika dia memeriksa dia dapati itu adalah selimut dan bantal berdarah Iruka. Guru itu mungkin mahu membuangnya.

Tanpa berfikir dia membantu untuk membuangnya untuk Iruka. Ketika dia kembali guru itu masih lagi dalam kedudukan yang ditinggalkan. Kakashi merenung seketika, wajah guru itu kurang pucat daripada yang dia lihat ketika Iruka di hospital tetapi cengkung wajahnya masih kelihatan jelas.

Guru itu sangat kurus, tidak seperti yang dilihatnya sebelum kejadian berdarah itu. Tanpa sedar dia berjanji dengan dirinya untuk menyumbat guru itu dengan lebih banyak makanan untuk menaikkan semula berat badannya.

Puas merenung guru yang tidak dapat mempertahankan diri itu, dia melihat-lihat di sekitar pangsapuri itu. Pangsapuri yang tidak kecil tidak juga besar, sesuai dengan bayaran guru akademi.

Di satu sudut dinding dia melihat terdapat beberapa lukisan, kemungkinan adalah hasil karya anak didiknya, Bibir yang terlindung topeng sedikit mencebik apabila melihat satu lukisan tentang seorang lelaki dewasa berekor kuda coklat sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak dalam pakaian jingga yang mengganggu.

Dia yakin itu hasil kerja tangan Naruto.

Kemudian dia beralih kepada beberapa bingkai gambar yang tersusun di atas almari kabinet, kebanyakan adalah gambar kanak-kanak dan dia tidak terkejut melihat foto Naruto mendominasi ruang itu. Kemudian dia melihat satu bingkai berwarna biru tua, pasukan tujuh terpampang di dalamnya. Dia pasti Naruto memberikan satu salinan kepada Iruka.

Lalu dia bergerak menuju ke rak buku mini di sebelah kabinet itu, tidak aneh untuk melihat terdapat banyak buku pelajaran. Lelaki itu adalah guru. Dia akan terkejut jika dia menjumpai koleksi Icha-icha di sana. Fikirnya sambil ketawa kecil.

Dan dalam simpanan itu juga terdapat tentang beberapa buah buku berkaitan perubatan dan penyakit misteri. Buku-buku itu menarik minatnya terutamanya sebuah buku yang kelihatan agak lusuh untuk dipakai. 

Dengan berhati-hati dia mengambilnya membaca sekilas tajuknya. "Bunga Amritamaya" Tajuk yang menarik dan entah mengapa dia seperti pernah melihat buku itu. Sementara menunggu pelajarnya kembali dan memandang Iruka masih tidur dia mengambil keputusan untuk membaca sekilas buku itu.

"Bunga Amritamaya yang dalam mitologi kuno, disebut sebagai Bunga Amrita, yang secara harfiah berarti 'Bunga yang Penuh dengan Air Kehidupan Abadi'. Dalam mitologi, Amrita dianggap sebagai minuman keabadian yang memberikan kehidupan abadi kepada mereka yang meminumnya. Dalam konteks penyembuhan, Bunga Amritamaya mewakili harapan untuk kesembuhan yang abadi dan mengalahkan penyakit misteri yang mematikan." Kakashi merenung seketika kemudian dia memandangkan Iruka

Satu perasaan yang menggigil menyelinap ke tulang belakangnya. Tertanya-tanya adakah penyakit yang dilalui Iruka boleh membawa maut. Dia menyelak lagi helaian demi helaian dan berhenti apabila terdapat sekeping kertas di dalamnya. Sebelum mengambil dia jelas kelihatan muka surat itu telah ditanda dengan menggunakan dakwat merah.

'Gunung Mandara' telah di bulatkan, setahu Kakashi Gunung Mandara adalah sebuah gunung misteri yang memakan banyak korban yang kononnya siapa sahaja yang memiliki niat jahat tidak akan pernah sampai dan siapa sahaja yang pernah pergi tidak pernah pulang.

Gunung Mandara terletak jauh di wilayah Air yang bersempadan dengan tanah Kilat. Gunung itu di bawah milik negara Air tetapi dalam sejarahnya terdapat satu keluarga yang sangat tertutup pernah tinggal di sana menjadi penjaga gunung tersebut dan kini tiada siapa yang tahu kemana perginya keluarga itu.

Suatu ketika Daimyo Negara Air telah mengarahkan Mizukage untuk menyiasat tetapi sehingga sekarang masih tiada tanda-tanda keluarga tersebut, sama ada mereka bersembunyi ataupun mereka sudah tiada. Kemudian ada yang berpendapat bawah beberapa ahli keluarga itu telah berhijrah ke Tanah Pusaran Air.

Tetapi alangkah malangnya bahawa negara itu juga telah dibantai satu ketika dulu. Jika benar keluarga itu berada di Uzushio, berkemungkinan mereka juga sudah dibunuh beramai-ramai bersama puak Uzumaki.

Kakashi membuang fikiran lalu mengambil kertas yang kelihatan agak tebal dari kertas biasanya kemudian dia sedar itu bukan kertas melainkan sekeping gambar lama. Apabila di terbalikkan, nafasnya hampir putus apabila melihat wajah yang tertera.

Bersambung...

MalédictionTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang