Hud tersengih sambil merenung tiga keping cool fever yang Bunga berikan melalui Amir sebentar tadi, sementara Amir sudah ketawa terbahak-bahak di sebelahnya.
“Kau kenapa gelak?” Hud memandang Amir dengan wajah serius.
Amir menutup mulut, cuba menahan tawa.
“Aku bukan nak ejek Bunga, tapi... comel je dia bagi kau cool fever. Beg dia tu dah macam poket Doraemon serba guna.” jawab Amir, matanya masih berair akibat ketawa.
Hud tersenyum bangga, wajahnya jelas menunjukkan rasa gembira.
“Sweet kan dia? Bukan semua perempuan boleh tunjuk effort macam ni.” ujarnya dengan nada puas hati.
“Memang sweet, tapi kau tipu dia pula. Kononnya demam, sampai Bunga mati-matian ingat kau tengah sakit betul-betul.” sindir Amir sambil menggeleng kepala.
Hud memandang Amir tak percaya.
“Aku ke kau yang bagi alasan tu? Jangan nak jual nama aku pula.” balas Hud dengan nada tak puas hati. Amir tersentak sejenak, kemudian ketawa kekok. Baru dia teringat, idea tu datang dari dirinya sendiri.
“Kau yang suruh jangan bagi dia rasa bersalah, aku pun bagi la alasan tu...” Amir menjawab dengan senyuman tawar.
Hud masih tersenyum, namun perlahan-lahan senyuman itu memudar. Dia menarik nafas panjang, wajahnya mulai kelihatan resah.
“Lepas ni aku kena hadap abang-abang dia pula. Aku tak takut, tapi sendiri tahu, diorang tu susah sikit nak dibaca. Lagi-lagi abang sulung dia, diam-diam garang sungguh.” ujar Hud sambil meletakkan cool fever ke atas meja.
Amir tersengih, seolah-olah dia tahu sesuatu yang Hud tak tahu.
“Relaxlah, abang sulung dia Syafiq tu, okay sebenarnya. Aku jumpa dia tadi, steady aje. Tak banyak cakap, malah dia minta maaf atas apa yang jadi. Dia kata, disebabkan Bunga, kau pula yang kena tempias.” kata Amir sambil mengangguk.
Hud menarik nafas lega. Hilang satu beban di hati bila tahu Syafiq tak banyak songeh.
“Tentang apa dia cakap dekat kau waktu operasi malam tu, lupakan aje. Biasa la setiap abang mesti marah kalau adik dia terlibat dalam hal yang membahayakan nyawa. Tapi yang kau kena risau, Zambri dengan Fakhrul tu. Diorang berdua yang panas baran sikit, terutama Fakhrul. Kau tau tak, bila dia dah naik angin... nak dekat pun aku fikir dua kali.” Amir menggeleng kepala sambil memikirkan pengalaman lalu. Pandang wajahnya saja sudah kecut perut.
Hud menelan liur sambil tersenyum tipis.
“Haa, itulah masalahnya. Aku tak tahu macam mana nak handle kalau dia buat hal. Bukan setakat panas baran, aku risau kena terajang je nanti.” gurau Hud sambil ketawa kecil.
Amir turut ikut ketawa sambil menepuk bahu Hud.
“Kau jangan risau sangat. Bunga tu mesti backup kau punya. Lagipun, kalau kau betul-betul ikhlas dengan dia, abang-abang dia pun akan nampak. Cuma... bersedialah untuk kena soal macam interview polis.” kata Amir, separuh bergurau.
Hud menghela nafas panjang.
“Kena kuatkan mental la jawabnya.” katanya lagi sambil tersengih. Pandangannya kembali pada cool fever di atas meja. Dia termenung sebentar, berfikir nak buat apa dengan benda ni? Kalau tak pakai, sayang pula. Ah! Bedal sajalah Hud.
----
"Assalamualaikum."
Syafiq membuka pintu rumah, diikuti oleh Bunga yang mengikut langkah abang sulungnya dari belakang. Perlahan-lahan, anak matanya menjenguk ke ruang tamu dan terlihat kelibat kakak iparnya menghiasi kornea mata.
Wajah Maya kelihatan masam, dan dia memalingkan muka ke arah TV, seolah-olah tidak suka dengan kehadiran Bunga.
Bunga menjeling dan memeluk lengan Syafiq erat.
Syafiq memandang Bunga, memberi isyarat agar dia menyapa isterinya dengan lembut.
"Hi kak Maya. How are you? Sihat ke? Lama tak jumpa you." Tegur Bunga dengan slang Kuala Lumpurnya. Sengaja mahu mengusik.
Maya diam dan tidak mengendahkan sapaan Bunga.
"Abang... Dia tak balas pun," bisik Bunga ke telinga Syafiq.
Syafiq kedipkan mata, memberi isyarat lagi agar Bunga tetap diam. Dia mula melangkah ke tingkat atas, tidak mahu berlama-lama di hadapan isterinya.
"Abang, kak Maya period ke hari ni? Moody semacam." tanya Bunga lagi. Syafiq ketawa halus.
"Entahlah dia."
Syafiq membuka pintu bilik hujung, menunjukkan bilik sederhana besar berwarna peach yang menarik minat Bunga.
"Ini bilik untuk Bunga. Buat macam rumah sendiri, tau? Kalau nak makan apa-apa, tak perlu tunggu kak Maya masak. Ambil je apa yang Bunga nak." ujar Syafiq sambil mengukir senyuman.
Bunga senyum teruja dan terus duduk di birai katil sambil mengangguk laju.
"Bunga tak nak buat kerja boleh kan?" Bunga sengaja mahu menguji abangnya.
Syafiq memamerkan senyuman dan angguk sekilas, mengiyakan permintaan adiknya itu.
"Jangan paksa, Bunga rehatlah dulu. Abang nak turun kerja." kata Syafiq.
"Bye!" Bunga lambaikan tangan. Syafiq masih tersengih-sengih mengiringi perjalanannya menuju ke tingkat bawah. Sesampainya di ruang tamu, Maya sudah menatapnya tajam.
"I tak suka you bawa budak tu tinggal kat sini." nadanya terdengar kesal.
Syafiq menghela nafas panjang, menahan geram.
"Jaga pertuturan awak Maya. Dia adik saya... Tak lama pun dia kat sini, esok lusa dia balik kampung juga. Awak boleh tak jangan selfish?" Syafiq hampir naik angin.
Maya bangkit dari tempat duduk dan menghampiri Syafiq yang masih berdiri di hadapan tangga.
"I selfish? Ini hak I! I isteri you... Rumah you, is mine!" Maya jegilkan mata.
Syafiq ketawa sinis.
"Awak pandai sebut tentang hak sekarang ni? Hak ni awak pandai tuntut pula, hak awak sebagai seorang isteri dah campak kat mana? Nak saya bagi list kat awak ke?" Syafiq berkias, tapi dia tahu Maya faham maksudnya.
Maya diam tak berkutik. Rahangnya diketap kuat, terpancar rasa amarah yang mendalam.
"Saya kerja dulu, jangan cakap bukan-bukan dekat Bunga pula. Please tolerance," kata Syafiq sambil menuju ke pintu keluar.
Maya menjeling, lalu memandang ke arah bilik Bunga.
---
Hud pejam mata, akhirnya rasa rindunya pada Bunga terubat juga bila dia dapat mendengar suara gadis itu melalui panggilan telefon. Dia duduk di sofa yang menghadap tingkap bilik, matanya memandang kawasan luar kem namun fikirannya sudah menyapa Bunga terlebih dahulu.
"Terima kasih bagi cool fever."
Hud masih geli hati memikirkan cool fever pemberian Bunga.
Bunga ketawa halus sebelum menjawab.
"Saya bantu apa yang mampu. Memanglah benda tu tak boleh hilangkan demam terus, tapi sekurang-kurangnya reda."
Walaupun Hud gembira dengan kesungguhan Bunga, jauh di sudut hati rasa bersalahnya tak kunjung hilang.
"Memang dalam beg awak ada stok cool fever ke?"
"Ha'ah, kadang-kadang saya beli satu kotak."
"Satu kotak? Awak nak buat apa dengan cool fever tu?" Kening Hud berkerut, tak percaya. Takkan sekotak itu juga dia pakai kesemuanya? Kerap sangat ke dia demam?
"Iphone problem. Kadang panas, jadi saya lekat cool fever tu kat belakang. Alhamdulillah panasnya reda sikit." jawab Bunga selamba.
Hud terdiam beberapa minit sebelum ketawa kuat. Mukanya merah padam mendengar jawapan Bunga. Memang Bunga seorang yang panjang akal. Sehari tak muncul idea pelik, bukan Bunga namanya.
YOU ARE READING
Bunga Untuk Leftenan (COMPLETED)
FanfictionLeftenan Hud Azim × Bunga Sofea --- Blurb coming soon...