"Habislah aku..." Bisik Bunga perlahan sambil matanya dipejam rapat, menahan debar di dada.
"Bunga Sofea." Nama penuhnya diseru.
"Iya, ayahku..." Bunga teragap-gagap ingin menyahut. Walaupun rasa takut meliputi hatinya, dia tetap berusaha menceriakan suasana tegang itu.
"Siapa Hud?" Encik Megat ingin mendengar sendiri jawapan dari mulut anak bongsunya itu.
"Kan abang Fakhrul dah bagitahu ayah tadi." Nada suaranya mula mendatar, kuih yang dipegangnya tadi diletak perlahan ke dalam balang. Hilang seleranya mahu menjamah.
Syafiq dan Zambri memandang ke arah Fakhrul yang sudah tunduk, tak berani juga dia melangut kepalanya.
"Oh... Nak acah-acah berani depan boyfriend, ya?" Sindir ayahnya.
"Ayah ini, tak baik tuduh orang. Bunga ikhlas nak bantu, bukan sebab sesiapa." Bunga menafikan, bibirnya sedikit muncung ke hadapan.
"Iyalah, tapi mesti rasa bersemangat sedikit sebab ada cinta hati memantau di luar." Ujar ayahnya lagi.
Bunga kemam bibir, menahan senyum.
"Bunga, ayah nak marah ni. Ada masa pula kamu nak senyum." Encik Megat mengurut dada, rasa tak percaya dengan sikap anak perempuannya yang tak pernah nak serius.
"Ayah tu lah!" Bunga merengek sedikit.
"Kenapa ayah pula yang kena?"
"Perlu ke nak cakap bersemangat sebab ada cinta hati? Tak profesional lah ayah ini." Bunga menjeling.
"Banyaklah kamu nak melawan ayah. Tak pernah lagi ayah bising-bising, kamu nak diam aje... Sehari tak buat ayah memekik, tak sah." Ayahnya geleng kepala, lalu berjalan perlahan menuju tingkap.
"Ayah pergi jendela tu dah kenapa? Nak Bunga pujuk ke?" Guraunya lagi. Puan Zaharah menepuk paha Bunga sambil menahan rasa kelakar yang hampir pecah. Sejak tadi, Bunga tak henti-henti mengusik.
Bunga berdehem, mencuba mengawal sifat humorisnya. Ketiga-tiga abangnya hanya memerhati, masing-masing sudah kecut perut. Antara mereka, Bunga saja yang berani mengusik Encik Megat.
"Ayah." Bunga menghampiri ayahnya dan menyentuh lembut lengan lelaki tua itu.
"Janganlah marah, Bunga dah selamat pun... Bunga akui, semua tu salah Bunga. Bunga yang mendesak Hud untuk beri keizinan supaya Bunga dijadikan umpan memerangkap pihak sindiket tu, Hud tak salah pun, ayah. Maafkan Bunga dan bakal menantu ayah tau?" Bunga merenung wajah Encik Megat.
Wajah Encik Megat masih tegang, keningnya berkerut sambil memandang ke hadapan.
"Belum jadi suami lagi, tak pandai nak tegas kat kamu, ikut aje telunjuk kamu nak buat apa-apa. Itu nak jadi khalifah dalam rumah tangga? Lelaki macam tu, kamu nak jadikan imam yang mendidik kamu nanti?" Kata ayahnya tegas.
Bunga menghela nafas panjang, sejurus saja dia mendengar ada unsur-unsur cinta yang terhalang. Semangatnya serta merta patah, dia terus tundukkan kepala di hadapan ayahnya.
Encik Megat yang perasan dengan tingkah anak perempuannya itu pantas menoleh.
"Dah kenapa kepala macam tu?" Tanyanya. Bunga menggeleng dalam posisi yang sama.
"Haih budak ini... Bunga, jangan macam budak kecil lah... Kamu tu sudah dewasa!" Ujar Encik Megat.
"Bunga nak kahwin, ayah." Bunga angkat kepala dan memandang ayahnya dengan mimik muka nak nangis.
Syafiq tersengih-sengih memerhati adik perempuannya.
"Gila ke apa? Tiba-tiba nak kahwin." Encik Megat memandang isterinya yang berada di belakang.
YOU ARE READING
Bunga Untuk Leftenan (COMPLETED)
FanficLeftenan Hud Azim × Bunga Sofea --- Blurb coming soon...