"Orang yang nak pakaikan inai dah sampai ke?"
tanya Husnie di hujung talian. Bunga melirik sekilas ke arah beberapa wanita yang sedang menyiapkan peralatan inai di hadapan pelamin.
"Dah sampai, abang je yang tak sampai-sampai lagi. Esok dah nak kahwin tau? Ish, abang ni... Nak suruh saya sanding seorang diri ke?"
usik Bunga dengan nada manja.
Husnie tersenyum, mendengar keluhan lembut Bunga. Seketika, segala penat lelahnya bertugas itu lenyap dari mindanya.
"Kerja abang dah selesai, sekarang ni abang tengah dalam perjalanan balik ke pelabuhan. Tunggu abang, ya?" balas Husnie lembut, menenangkan Bunga.
"Hmm... kalau abang dah memandu balik, hati-hati ya." pesan Bunga, nadanya sedikit risau.
"Insya-Allah. Abang matikan telefon dulu. Pergilah pakai inai tu, cantik-cantik tau, abang nak tengok nanti."
Bunga tersenyum kecil di hujung bibirnya. Usai mematikan telefon, dia melangkah perlahan menuju pelamin, bersedia untuk dipakaikan inai di tangannya.
Tatkala si pemakai inai mula menjalankan tugasnya, pandangan Bunga terarah pada hidangan kuih-muih di tepi. Entah mengapa, kebelakangan ini fikirannya sering menerawang, memikirkan Hud. Khabar tentang perpindahan Hud ke tempat bertugas baru pun dia dapat tahu melalui Zambri.
Kadang-kadang, sehingga saat ini, dia masih tak percaya yang akhirnya dia dan Husnie akan bersatu di pelamin. Segala impian dan angannya untuk membina kebahagiaan bersama Hud runtuh begitu sahaja, tanpa disangka-sangka.
----
Hud merenung jauh ke luar tingkap, matanya kabur melihat senja yang hampir menyapa langit biru. Detik-detik berharga bersamanya dan Bunga berputar dalam fikirannya, setiap senyuman dan tawa seolah-olah menjelma semula, menghantui hatinya dengan rasa yang tidak tertanggung.
“Esok hari nikah Bunga dan Husnie.”
suara Amir berulang-ulang dalam ingatannya, seolah-olah setiap patah perkataan itu adalah satu bilah pisau yang menghiris jiwanya. Dalam kelam malam itu, dia merasakan kesunyian yang mencekam, seakan-akan dunia di sekelilingnya tiba-tiba menjadi tidak bermakna.
Dia teringat kembali saat-saat manis mereka, saat Bunga menyemai harapan dalam hatinya dengan setiap senyuman dan tatapan penuh makna. Kenangan itu kini terasa seperti serpihan kaca, menyakitkan setiap kali dia mengingatnya.
“Kenapa semua ini berlaku?”
soalnya dalam hati, mengabaikan rasa sakit yang menjalar di dalam dadanya.
Bibirnya mengukir senyum getir, tetapi di sebalik senyuman itu, hatinya bergetar dengan kepiluan. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa kehadiran Bunga. Setiap detik berlalu semakin mendekatkannya kepada kenyataan yang pahit, cinta yang tidak bersatu, saat-saat yang tidak mungkin akan kembali.
Dia berdiri di hadapan cermin, Hud memandang wajahnya yang keletihan, dengan bayang-bayang kesedihan terpapar di wajahnya. Dia merasakan sesuatu yang lebih dari sekadar kehilangan, ia adalah perasaan dikhianati oleh takdir sendiri.
Sebuah suara dalam dirinya berbisik.
“Bunga berhak bahagia, walaupun bukan bersamamu.”
Namun, kebenaran itu terasa seperti tamparan yang membuatnya semakin terpuruk.
Ketika senja semakin hampir, dan kesunyian menyelubungi, Hud merasakan air mata mengalir di pipinya tanpa sedar. Dalam hati, dia berdoa agar ada keajaiban yang membawanya kembali ke pelukan Bunga, walau dia tahu itu hanyalah angan-angan. Dia berharap agar suatu hari nanti, dia dapat mengikhlaskan perasaannya dan melihat Bunga bahagia, meskipun tidak bersamanya.
YOU ARE READING
Bunga Untuk Leftenan (COMPLETED)
Fiksi PenggemarLeftenan Hud Azim × Bunga Sofea --- Blurb coming soon...