Bunga menyusuri laluan yang sama seperti dua tahun lalu, di mana dia pernah terbabit dengan sindiket di teres lama itu. Selalunya, setiap kali pulang, Bunga akan memilih jalan lain, namun entah kenapa hari ini dia terdorong untuk singgah ke tempat itu.
Sejenak, memori itu terimbas kembali. Kadang-kadang dia tersengih sendiri, rasa bodoh sebab selalu mengganggu tugas orang lain. Nasib baik dia selamat, kalau tidak... sakit dapat, merugikan pihak ATM pun ya juga.
PIN! PIN!
Bunga yang sedang termenung di hadapan rumah teres itu tersentak, lantas berpaling. Sebuah jelingan pasrah terlempar pada Hud yang melambai dari dalam kereta. Ingatkan siapalah tadi.
Kereta Hud perlahan-lahan menghampiri Bunga.
"Kenapa tenung teres tu lama sangat? Rindu nak jadi umpan lagi ke?" usik Hud.
"Rindu dengan sindiket tu. Biasalah, orang Siam... hensem, rawr." jawab Bunga sambil berpeluk tubuh, sengaja mahu membangkitkan rasa cemburu Hud.
Hud tidak berkata apa-apa, sebaliknya keluar dari kereta dengan pandangan tajam, seolah-olah ada gemercik api di matanya. Tanpa amaran, dia menarik pergelangan tangan Bunga yang dibaluti handsock itu dengan selamba agar mengikuti pergerakannya.
"Hud! Awak nak bawa saya ke mana ni?" soal Bunga kehairanan.
Hud membuka pintu kereta dan memberi isyarat agar Bunga masuk ke dalam.
"Siapa yang patut masuk ni?" tanya Bunga.
"Awaklah. Takkan saya pula. Siapa lagi yang nak memandu?" balas Hud. Bunga mencebik tetapi tetap menurut. Hud tersenyum lebar sambil menutup pintu. Usahanya untuk mendekati Bunga nampaknya berjaya lagi.
Sepanjang perjalanan, suasana hening menyelimuti mereka. Kedua-duanya diam, menunggu siapa yang akan memecahkan kesunyian terlebih dahulu.
"Bunga." akhirnya Hud bersuara.
"Mesti dari tadi awak nak panggil saya kan?" usik Bunga. Hud ketawa kecil dan mengangguk, matanya masih tertumpu ke hadapan.
"Kenapa panggil saya?" Bunga menyambung, menanti jawapan.
Hud menarik nafas dalam-dalam, jelas sekali ada sesuatu yang ingin disampaikannya.
"Nak tak... jadi partner saya nanti?" soalan itu keluar dengan tenang tetapi penuh makna.
"Hmm?"
Bunga terkejut, dahinya berkerut. Dia memandang Hud, namun lelaki itu terus memandu, bibirnya mengukir senyuman tipis. Suasana di luar kereta berlalu dengan perlahan, namun bagi Bunga, dunia seakan-akan berhenti sejenak. Fokusnya kini sepenuhnya pada lelaki di sebelahnya itu.
"Partner?" Bunga mengulangi perkataan Hud.
Hud menghela nafas panjang, tangan kirinya menggenggam erat stereng sebelum melepaskannya perlahan-lahan.
"Ya, partner saya. Amir akan kahwin minggu depan. Saya nak awak ikut saya... sebagai partner saya kat sana."
Bunga terdiam, matanya tertumpu ke luar jendela. Jantungnya berdegup semakin kencang, cuba menenangkan diri sendiri.
"Saya tak nak pergi seorang." Hud bersuara lagi, nadanya nakal dengan senyuman tipis di tubir bibirnya.
Bunga mengerling ke arahnya, sambil tersenyum kecil.
"Kalau saya ikut, saya dapat apa?" tanyanya. Hud tunjuk muka acah-acah berfikir.
"Dapat saya." jawab Hud selamba.
Bunga ketawa lagi, jarinya bermain-main dengan hujung lengan bajunya. Menghilangkan rasa segan yang menyeliputi hatinya.
"Aneh kan, tiba-tiba kita terjumpa macam ni, seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi bagi saya, ini peluang kita... nak perbaiki hubungan satu sama lain." tutur Hud dengan yakin, dalam erti kata lain mahu memujuk Bunga untuk menyambung semula apa yang sudah lama terputus.
YOU ARE READING
Bunga Untuk Leftenan (COMPLETED)
FanfictionLeftenan Hud Azim × Bunga Sofea --- Blurb coming soon...