BAB 35

1.4K 111 3
                                    

"Mana perginya Bunga, Hud?" soal Puan Zaharah sambil melangkah ke anjung rumah, tempat Hud bersantai.

Hud menoleh, sempat dia memandang jalan di hadapan yang masih sepi.

"Tadi dia kata nak pergi kedai Uncle Muttu. Tapi sampai sekarang tak balik-balik lagi. Nak saya kejar dia ke, makcik?" tanya Hud lembut.

Puan Zaharah pantas menggeleng sambil tersenyum pada Hud.

"Tak payah, kejap lagi baliklah tu." balasnya sambil masuk semula ke dalam rumah.

Hud sekali lagi memandang ke hadapan. Kelibat Bunga sudah kelihatan. Panjang umur budak nakal ni, desis hatinya.

Sebaik saja motosikal itu berhenti di hadapan Hud, Bunga menurunkan tongkat motosikal dan membuka helmetnya. Dia segera mengeluarkan barang-barang yang dibeli dari kedai runcit tadi.

"Lama betul beli barang? Dating dengan Uncle Muttu ke?" Hud mula mengusik.

Bunga menjeling tajam, wajahnya muram. Langsung tidak terusik dengan gurauan Hud kali ini.

"Kenapa ni?" Hud segera bangkit dari tempat duduknya dan menghampiri Bunga yang masih di atas motosikal.

"Tak cakap pun datang sini dengan girlfriend." sindir Bunga dengan nada yang menyengat.

Hud mengerutkan kening, dahinya berkerut-kerut, cuba memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata Bunga.

"Girlfriend?"

"Ha'ah lah, Alya tu siapa? Bukan ke dia girlfriend awak?" Bunga menjeling lagi, mata yang sembab jelas menampakkan dia baru saja menangis.

"Saya datang sini seorang diri, wallahi. Tak ada bawa siapa-siapa pun. Kenapa dengan Alya? Awak jumpa dia ke?" tanya Hud, risau. Bukan Alya yang dia pedulikan, tapi Bunga. Hud takut kalau benteng hati yang telah terbina di antara mereka selama ini semakin tebal.

Bunga diam sambil tertunduk, jari jemarinya bermain dengan kunci motosikal, cuba menenangkan hati yang bergelora. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia hadiahkan ‘flying kick’  pada Alya tadi, tapi rasa sakit hati yang terlalu mencengkam membuatnya terlupa akan tindakan itu.

"Sudahlah Hud, saya penat. Awak tak kesian ke kat saya?" keluh Bunga dengan suara yang rendah, seakan berbisik.

Tatapan Bunga yang penuh kepiluan meruntuhkan hati Hud. Dia tak suka melihat air mata Bunga jatuh disebabkan dirinya.

"Tinggalkanlah saya, Hud. Saya tak suka orang cari gaduh dengan saya hanya kerana seorang lelaki. Lagipun, tak lama lagi saya akan mendirikan rumah tangga. Ada baiknya kita mulakan hidup masing-masing mulai hari ini. Awak dengan arus awak, saya dengan arus saya sendiri." ucapnya tenang, walaupun suara Bunga sedikit bergetar menahan emosi.

"Saya minta maaf kalau kehadiran saya dalam hidup awak hanya membawa kesengsaraan. Tapi demi Allah, saya tak pernah berniat masuk ke hidup awak dengan membawa masa lalu saya. Mungkin pendirian kita berbeza, awak nak tahu masa lalu saya, sedangkan saya tak mahu ungkit masa lalu saya depan awak. Awak orang yang saya cintai, saya hormati hati dan perasaan awak. Saya tak mahu awak akhirnya terluka kerana perkara yang sudah lama berlalu." tutur Hud, penuh kejujuran.

Bunga hanya mendengar tanpa mencelah, memberi Hud peluang membela dirinya.

"Masa lalu saya tak penting kalau dibandingkan dengan perempuan seperti awak. Saya nak bina masa depan yang indah, dan saya cuma mahu awak seorang di sisi saya. Jadi, perlukah libatkan perempuan lain? Walau pernah ada orang lain dalam hidup saya, yang penting sekarang, saya nak awak tahu. Awak datang pada saat saya berniat untuk tidak mencintai sesiapa lagi. Awak pemenangnya, Bunga Sofea. Awak yang berjaya menakluk hati saya." suara Hud tegas, namun ada getaran emosional yang sukar disembunyikan.

Bunga Untuk Leftenan (COMPLETED)Where stories live. Discover now